Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangDalam populariti konsert nyanyian kumpulan dan individu popular yang dianjurkan di negara ini saban bulan, Raja Yusoff Ariffin terfikir tentang penganjuran konsert lagu puisi.
Benar, tidak banyak penyanyi atau pejuang lagu puisi di negara kita. Selain Kopratasa, kita hanya ada Ahmad Ramli yang kini lebih banyak berehat ketimbang sibuk di studio rakaman …
Seingat saya, selepas muncul dengan album pertama yang memuatkan lagu puisi, Keringat dalam Pasrah pada tahun 1987, kumpulan Kopratasa pernah membuat persembahan semacam konsert mini di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Saya yang ketika itu terlalu “hijau” dalam penulisan sastera tanah air, berpeluang menonton persembahan Sani Sudin, Usop dan Siso, tiga ahli Kopratasa yang mendendangkan lagu-lagu popular daripada album tersebut, seperti Masihkah Kau Ingat (daripada sajak karya Sani),Tetamu Senja (Sasterawan Negara [SN] A. Samad Said) dan Rinduku (Oh Kuala Lumpur).
Album Keringat dalam Pasrah diterbitkan oleh Dato’ M. Nasir yang tertarik dengan persembahan Kopratasa beberapa ketika di Pasar Budaya, Kuala Lumpur.
Seingat saya, penganjuran konsert mini tersebut diusahakan oleh Allahyarham Ayob Yamin yang ketika itu salah seorang pegawai sastera di DBP. Persembahan Kopratasa mantap, dan berjaya menarik perhatian penonton.
Walau bagaimanapun, terasa ralat dan sedih kerana pementasan sedemikian tidak berterusan – usaha itu menjadi yang pertama dan terakhir.
Benar, tidak banyak penyanyi atau pejuang lagu puisi di negara kita. Selain Kopratasa, kita hanya ada Ahmad Ramli yang kini lebih banyak berehat ketimbang sibuk di studio rakaman. Ledet yang kira-kira tiga dekad lalu aktif kini entah di mana. Nik Jidan yang kerap muncul di pentas-pentas acara sastera seperti tidak “didendang” (mungkin kerana lagu-lagunya keras mengkritik). Kita juga masih “murung” dengan pemergian Allahyarham Zubir Ali, yang sekali gus menghilangkan kumpulan Harmoni.
Saya tidak pasti adakah Sohaimi Mior Hassan seorang penyanyi lagu puisi atau penyanyi lagu berlirik puitis? Beliau mula tampil dengan album Prolog dan Dedikasi pada tahun 1983, diikuti dengan Misteri Cinta (1985), Kenangan Manis (1993), 14 Klasik Selamanya (1999), Dwi Emas dengan Harmoni (2000), Suatu Hari Nanti dan Memori Hit (2007), Yang Berpacaran (2010), dan Kalau Berpacaran (2011).
Adik kepada kartunis legenda Allahyarham Mishar ini popular dengan lagu Epilog Cinta dari Bromley, Misteri Cinta, Kau Kepunyaanku, Senandung Getah Asli, Senandung Sambal Tumis, Di Suatu Musim Bunga, Ros, Apabila Isteri Ku Tertawa, Sedari Dulu, Sandarkan Resahmu di Bahuku, dan Kalau Berpacaran.
Saya boleh katakana, kini hanya Kopratasa yang masih aktif berlagu puisi, terutama Sani yang lebih kerap tampil solo dalam mana-mana acara sastera seperti Baca Puisi PENA dan pelbagai pesta buku (kerana beliau turut menghasilkan kumpulan sajak, dan mempromosi jualannya).
Lagu puisi (masih banyak yang tidak memahami) ialah lagu yang mengangkat sajak dijadikan lagu. Dalam kata lain, karya puisi moden tersebut dimelodikan, biasanya balada – perlahan. Ada juga yang rancak, termasuk irama tradisional.
Lama dahulu, melodi lagu-lagu puisi tanah air dihasilkan oleh Allahyarham Dato’ Ibrahim Bachik seperti Berkolek Bersajak (J.M. Aziz), Zalikamari dan Zubir, sebelum kemunculan Sani, Usop, Siso dan Ahmad.
Sani dan Usop pernah menghasilkan album lagu puisi solo masing-masing.
Hal ini berbeza daripada lagu yang berlirik puitis – ia bukan lagu puisi. Banyak yang terkeliru mengatakan Kembara ialah penyanyi lagu puisi. Sebenarnya, kumpulan dari Singapura yang diketuai oleh Dato’ M. Nasir itu mempersembahkan lagu-lagu berlirik puitis yang banyak ditulis oleh S. Amin Shahab.
Seingat saya, hanya sebuah lagu sahaja yang boleh dianggap sebagai lagu puisi daripada Kembara, iaitu Kepadamu Kekasih (album Perjuangan, 1982) kerana M. Nasir memelodikannya untuk sajak berjudul serupa karya Eunos Asah (juga dari Singapura).
Harmoni yang ditubuhkan pada tahun 1973, biasa tampil menghiasi acara-acara anjuran Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA), dan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Kumpulan ini hanya merakamkan dua buah album selepas mendapat tawaran daripada Zalikamari, iaitu Penantian (1991) dan Nyanyian Ombak (1983).
Daripada album-album tersebut, Harmoni diminati ramai menerusi lagu Penantian (ciptaan Zubir – juara carta lagu popular radio Malaysia buat 13 minggu berturut-turut), Doa, Balada Anak Desa (Zubir), Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang (SN Zurinah Hassan), Tanahair (SN Usman Awang), Sebuah Bas Berwarna Biru serta Siapakah Memberi Khabar (Latiff Mohidin), Nyanyian Pantai Timur, dan Balada Seorang Gadis Kecil.
Kopratasa pula, selain Keringat dalam Pasrah, muncul dengan album Kunci (1988), Episod 3 (1996), Sesetia Malam (1996), Nikmat (1997), Antologi (1999), Best of Kopratasa (2001), Mulia (2003), dan Kopratasa Masih Bertiga… Tetap Berbisa (2006).
Hasilnya, mereka turut terkenal dengan lagu Dondang Mustika dan Dabus Rohani (album Antologi), Mulia, Di Dalam Dalam; Dara, Bunga dan Bulan serta Berkolek dan Bersajak (JM Aziz – Mulia), Akhir Disember (Abdul Aziz HM), Teluk Bidara (Keringat dalam Pasrah), Aku Bukan Musuh Harta, dan Kekasih (Usman Awang).
Sementara itu, Ahmad Ramli sangat dikenali walaupun hanya dengan lagu Katakan Padaku (Latiff Mohidin) dan Menambat Rakit (A. Samad Said).
Sani dan Usop pernah menghasilkan album lagu puisi solo masing-masing. Namun begitu, rezeki mereka tidak sebaik Kopratasa sendiri yang menanjak semula pada tahun 1997 menerusi Permata untuk Isteri yang dirakamkan semula dalam album Sesetia Malam. Usop gagal meneruskan jalan sebagai penyanyi solo, ketimbang Sani yang agak lebih berjaya.
Sani terkenal dengan lagu Kopi dan Roti daripada album Saya (1993), meskipun tiada lagu yang popular daripada album keduanya, Dalam Rimba Karya (1997).
Dengan sejumlah lagu puisi popular yang disebutkan tadi, tidak wajarkah konsert lagu puisi dianjurkan? Saya yakin yang Sani, Usop dan Siso tiada masalah untuk menjayakannya. Ahmad Ramli masih bertenaga menyanyi secara langsung. Lagu-lagu Harmoni boleh didendangkan oleh penyanyi lain yang sesuai.
Konsert lagu puisi adalah antara cara yang diyakini ampuh untuk memasyarakatkan puisi umumnya, atau sajak khususnya.
Adakah atas faktor kelembapan lagu puisi sekarang maka konsert lagu puisi tidak wajar atau sesuai dianjurkan?
Barangkali ada (banyak, malah daripada kalangan peminat sastera dan seni suara sendiri) yang bertanya apakah manfaatnya penganjuran konsert lagu puisi?
Namun begitu, saya ingin bertanya kembali apakah faedah yang diperoleh daripada penganjuran konsert lagu rock atau popular dan sebagainya, selain menguntungkan si penganjur? Apakah pula manfaat yang didapati jika tidak menganjurkan konsert lagu puisi? Kalau tidak dianjurkan, terlepaslah kita mendengar alunan melodi dan lontaran bait-bait indah.

Sekiranya penganjuran konsert lagu puisi ini dapat menjadi kenyataan, pastilah beberapa buah lagu “mesti didendangkan”, seperti Kepadamu Kekasih, Penantian, Doa, Masihkah Kau Ingat, Tetamu Senja, Permata untuk Isteriku, Katakan Padaku, Sepanjang Jalan ke Pulau Pinang, Menambat Rakit, Balada Seorang Gadis Kecil, dan Kekasih.
Jika konsert ini diadakan menjelang bulan kemerdekaan, lagu Tanahair yang diangkat amat sesuai turut didendangkan. Sekiranya dipentaskan pada bulan Disember, pastilah Akhir Disember amat cocok sebagai “peringatan” untuk kita semua.
Sebagai daya penarik utama, Nasir bersama-sama Kembara, atau beliau berseorangan sahaja perlu ditampilkan untuk dendangan Kepadamu Kekasih.
Bagi Penantian, tidak syak lagi Lah Ahmad wajar menjadi pilihan sebagai pendendang kerana beliau telah menyanyikannya semula untuk album projek “100 Lagu 100 Tahun” bersama-sama Luncai Emas Sdn. Bhd. Lah boleh juga menyanyikan lagu-lagu popular Harmoni yang lain.
Sani, Usop dan Siso pastinya terbaik untuk lagu masing-masing (Masihkah Kau Ingat dan Rinduku [Oh Kuala Lumpur], Permata untuk Isteriku dan Kekasih, dan Tetamu Senja). Demikian juga dengan Ahmad Ramli.
Namun demikian, masalah utama tentulah penganjur atau penerbitnya. Difahamkan bahawa DBP tidak dapat atau boleh terlibat kerana penganjuran konsert nyanyian bukan antara kegiatan atau tanggungjawabnya.
Bagaimana dengan ICON Entertainment yang setakat ini telah tiga kali menganjurkan Konsert Cipta M. Nasir yang dianggap “mesra” lagu puisi? Nasir yang akrab dengan Iman Tang, tentu boleh membantu melobi Pengasas ICON itu menganjurkan konsert lagu puisi, sambil kita mengharapkan pemilik syarikat swasta yang mungkin pernah meminati Kepadamu Kekasih, Masihkah Kau Ingat dan Tetamu Senja sudi “melabur”.
Kalau tahap ikon dan legenda menjadi asas, ICON atau penganjur lain jangan bimbang kerana Harmoni, Kopratasa dan Ahmad Ramli telah bertaraf ikon/legenda dalam lagu puisi tanah air.
Dengan catatan rekod yang baik sebagai penganjur konsert setakat ini untuk KRU dan Melly Goeslaw selain M. Nasir yang mencapai kejayaan besar, bersama-sama populariti M. Nasir dan Kopratasa, serta Iman yang kian dikenali, dan lagu-lagu puisi popular, tidak mustahil konsert lagu puisi akan turut mendapat sambutan hangat!
Jikalau pun Sohaimi tidak dianggap sebagai penyanyi lagu puisi, lirik-lirik puitis lagunya seperti Epilog Cinta dari Bromley, Ros, Misteri Cinta, Kau Kepunyaanku, dan Sedari Dulu boleh menjadi alasan kuat mewajarkan beliau diundang sebagai penyanyi undangan khas.
Bersempena dengan sambutan Hari Puisi Malaysia ke-5 pada 13 Jun yang lepas, marilah kita memikir-mikirkannya. Konsert lagu puisi adalah antara cara yang diyakini ampuh untuk memasyarakatkan puisi umumnya, atau sajak khususnya.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).