Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRaja Yusoff Ariffin terkenang kembali pernah menjadi penulis lirik-lirik indah untuk kad ucapan Hari Raya Aidilfitri, lalu terpanggil untuk menulis artikel ini ketika Syawal kian menjelang.
Kad ucapan dihasilkan kerana kadang-kadang seseorang itu tidak dapat atau malu menyatakan isi hati secara lisan, dan bersemuka dengan orang berkenaan.
Sebelum kepesatan teknologi maklumat (IT) dan media bercetak masih berlambak di pasaran, saya melihat terdapat sebuah lagi media sedemikian yang turut mengembangkan karya sastera secara meluas dalam kalangan masyarakat.
Sama ada disedari atau tidak, perkara besar atau remeh, media yang dimaksudkan ialah kad ucapan, tanpa mengira jenis apa-apa pun.
Terdapat pelbagai jenis kad ucapan sedemikian. Antaranya termasuklah ucapan tahniah menyambut kelahiran, perkahwinan dan menyambut perayaan, yang disampaikan menerusi kata-kata indah untuk dinikmati oleh penerimanya.
Sebelum IT melanda dengan hebat, sejak sekian lama, penggunaan kad ucapan bercetak atau fizikal memang popular dan dinanti-nantikan oleh mereka yang berkenaan.
Kad ucapan dihasilkan kerana kadang-kadang seseorang itu tidak dapat atau malu menyatakan isi hati secara lisan, dan bersemuka dengan orang berkenaan.
Memang ada penulis khas untuk menulis kata-kata atau lirik puitis kad ucapan sebegini. Penulis tersebut pastilah berkemampuan mencipta kata-kata indah bagi tujuan memikat pembeli dan memberikan keuntungan kepada penerbitnya.
Walau bagaimanapun, saya ingin bertanya, mengapakah lirik puitis dalam kad ucapan dapat diterima oleh sebahagian besar anggota masyarakat, terutamanya remaja, sedangkan sajak yang boleh dianggap segolongan dengannya hanya diterima oleh para penulis sahaja?
Mengapa karya sastera tidak mendapat perhatian utama masyarakat di negara ini merupakan persoalan yang belum selesai. Namun demikian, adakah kad ucapan berlirik puitis turut diremehkan apabila telah dikenal pasti sebagai karya sastera?
Cuba kita kembali ke zaman sebelum ledakan IT. Jualan kad ucapan, terutamanya untuk Hari Raya Aidilfitri mendapat sambutan hangat. Pada permulaannya, mereka meneliti satu per satu, memahami dan akhirnya membeli dengan gembira.
Ada antara mereka yang menyedari yang kad berlirik sedemikian ialah kad yang menampilkan karya sastera. Akan tetapi, yang agak menghairankan, sikap tersebut tidak ada semasa menatap sajak, baik dalam bentuk eceran, antologi atau kumpulan.
Barangkali mereka berasa bosan apabila menatap sajak yang sebenarnya. Mungkin mereka takut atau tidak suka mendengar nama sastera hingga menolak karyanya, seperti sajak.
Seperti yang dinyatakan tadi, kebanyakan peminat dan pembeli kad ucapan berlirik puitis secara fizikal tersebut ialah remaja dan belia. Ramai dalam kalangan mereka yang berpelajaran tinggi dan boleh menilai yang mana kata-kata yang baik dan menarik atau sebaliknya. Tidak mustahil, mereka juga boleh memahami sajak dan karya sastera lain.
Sesuatu yang berbeza dirasakan setelah kad ucapan secara fizikal, terutamanya untuk Hari Raya Aidilfitri kini sudah pupus.
Sebagai orang yang pernah terlibat menulis lirik puitis kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri, saya menganggapnya sebagai karya yang berasaskan sajak, ada ciri-ciri karya tersebut meskipun kebanyakan kalimatnya bombastik, imej bercampur dan salah ejaan.
Peluang yang saya peroleh pertama kali (mungkin juga yang terakhir) pada tahun 1992 itu pun atas syor seorang kawan rapat di tempat tinggal, iaitu Taman Batu, Gombak, yang mengetahui bahawa saya banyak menulis sajak dalam akhbar dan majalah. Dia membawa saya bertemu dengan seorang peniaga buku yang dikenalinya yang menyewa kedai di sebuah bank tempatan di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur.
Menurut rakan saya itu, peniaga berkenaan (seorang India Muslim) mahu mencari penulis kata-kata indah untuk kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri yang turut diterbitkannya untuk menyambut Syawal.
Peniaga berkenaan mahu kata-kata indah itu dihasilkan mengikut beberapa kategori – kira-kira 12 kategori. Sudah menjadi rezeki saya kerana lulus untuk terbitan. Terima kasih kepadanya dan rakan saya itu, meskipun saya tidak tahu di mana mereka berada sekarang.
Tempoh 33 tahun memang menghapuskan ingatan saya terhadap semua lirik puitis tersebut, sementelah kehilangan kad-kad yang telah siap dicetak itu daripada simpanan.
Mujurlah saya masih diizinkan oleh-Nya untuk berkongsi serba sedikit dengan pembaca kerana tidak semuanya lenyap. Cuma, lirik untuk ayah, ibu, sahabat remaja, dan salam dari kota sahaja yang dapat ditemui, yang tambah mendorong saya untuk menulis artikel ini.
Lirik puitis untuk umum, datuk, nenek, abang, kakak, adik, rakan, dan teman istimewa tidak dapat saya kongsikan bersama-sama pembaca.
Untuk ayah, saya menulis:
…..Dari kejauhan
…..anakanda utuskan kad pengganti diri
…..namun bukanlah ertinya
…..anakanda enggan bersama.
Kepada ibu pula, saya hasilkan:
…..Dengan apa lagi
…..untukku balas budi kasihmu
…..jika bukan ingatan
…..biar di mana pun
…..tempatku berpijak.
Sementara itu, untuk sahabat remaja, saya menulis:
…..Detik-detik bersama-sama
…..jelas menyuburkan kemesraan
…..kenakalanmu rupanya pengerat
…..meski sesekali aku tersentuh.
Salam dari kota boleh dianggap sebagai percubaan penerbit berkenaan untuk mengemukakan lirik yang lain daripada kebiasaan. Kadi ini menampilkan ucapan daripada sahabat di kota kepada sahabatnya di desa. Untuk kategori ini, saya menulis:
…..Ada kota di desa ada desa di kota
…..tiada desa tiadalah kota
…..kita warganya tetap serupa
…..rakyat negara.
…..Selain itu, warna kota tidak memalitku
…..dengan alpa
…..aku tetap pada kenyataan
…..tiada kota tanpa desa
…..meski aku jati anak kelahirannya
…..kau temanku tetap di hati.
Semua ini ialah perkembangan yang sihat. Sebelum kemunculan pelbagai aplikasi IT hari ini, saya fikir lirik puitis kad ucapan secara fizikal boleh membantu mendekatkan masyarakat dengan karya sastera, terutamanya atau khususnya sajak. Meskipun ada prasangka atau kesangsian tertentu, tetapi fungsinya tidak boleh dilupakan begitu sahaja.
Sesuatu yang berbeza dirasakan setelah kad ucapan secara fizikal, terutamanya untuk Hari Raya Aidilfitri kini sudah pupus. Tiada lagi kad konvensional, sebaliknya kad ucapan boleh dihasilkan sendiri oleh setiap pemilik telefon bimbit, asalkan mahir IT. Tidak lagi dicetak dan dipos menerusi pejabat pos, sebaliknya hanya dikirim menerusi aplikasi WhatsApp, Instagram dan TikTok.
Dengan perkembangan yang semakin pesat kini yang memunculkan kecerdasan buatan atau AI, pengucapan puitis kepada seseorang boleh tampil lebih canggih.
Memang benar, dengan telefon bimbit di tangan, semua orang boleh menyampaikan ucapan kepada ayah, ibu, isteri, suami, anak, saudara mara, rakan, teman istimewa, dan sebagainya, tanpa mencetak apa-apa.
Walau bagaimanapun, tidak semua orang mampu menulis kata-kata indah dalam kad ucapan secara maya. Saya percaya, penyair sangat mampu berbuat sedemikian. Akan tetapi, bagaimana dengan yang bukan penyair?
Mungkin ada yang mempertikai mengapa perlu runsing dengan masalah ini. Hal ini bukan masalah besar dalam hidup. Diucapkan atau tidak, hari raya tetap tiba. Banyak lagi masalah hidup yang lebih penting, yang perlu diselesaikan.
Benar. Hal ucapan ini tidaklah terlalu dirunsingkan hingga sukar tidur malam. Cuma, sebagai orang yang pernah terbabit, saya gembira jika kad ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri secara maya atau dalam talian ini berlirik puitis dan sentiasa puitis liriknya.
Usah lakukan dengan separuh hati. Kalau mahu mengucapkan, ucapkan dengan penuh ikhlas dan seindah mungkin.
Ketiadaan kad ucapan secara fizikal di pasaran hari ini menyebabkan kita tidak lagi dapat menatap kata-kata puitis, selain keindahan reka bentuk yang pelbagai dan penuh warna-warni.
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (berseorangan/ITBM, 2016).