4 Ogos 2023, 16:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Majlis Penutupan Pertandingan Jejak Puisi Perlis (Poetry Trail Perlis) telah diadakan di LT6 dan Foyer, Kompleks Star, Universiti Institut Teknologi MARA (UITM) Cawangan Perlis, Arau.

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Akademi Pengajian Bahasa, UITM Cawangan Perlis dengan kerjasama Think City Sdn Bhd. Sebanyak 62 puisi telah dipertandingkan dalam Program Jejak Puisi Perlis bermula 6 Mei lepas.

Program Jejak Puisi Perlis tersebut bertujuan untuk memperkenalkan pertandingan filem puisi, menerbitkan filem puisi dan buku puisi digital dalam laman YouTube, selain mengangkat tapak warisan dan lokasi pelancongan menarik di Perlis.

Selain itu, penganjuran program ini juga merupakan sebuah platform untuk menonjolkan aspek sejarah, bahasa, warisan, kearifan tempatan, budaya, kesusasteraan dan keindahan alam semula jadi Perlis menerusi puisi.

Peserta Program Perjalanan Puisi Perlis bergambar kenang-kenangan dengan SN Rahman Shaari (dua dari kiri).

Penganjuran program ini telah diusahakan menerusi Geran Pemangkin Ekonomi Budaya Kitaran Kedua dalam Rangkaian Pelancongan Wilayah Utara dan Pembangunan Ekonomi Tempatan. Selain itu, pelaksanaan geran ini juga merupakan program di bawah kelolaan Think City Sdn. Bhd. di bawah Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) yang bertujuan untuk mempromosikan aset budaya ketara dan keunikan aset budaya tidak ketara di Wilayah Utara Semenanjung Malaysia.

Menurut Profesor Madya Dr. Latisha Asmaak Shafie, penganjuran dan pelaksanaan program ini memberi peluang kepada masyarakat untuk meraikan kepelbagaian budaya, warisan dan kearifan tempatan yang dimiliki oleh penduduk tempatan di Perlis. Selain itu, bakat penulis muda dalam genre puisi juga dapat dicungkil menerusi program tersebut.

Sepanjang program ini berlangsung, semua peserta telah dibawa melawat lokasi sejarah, warisan dan budaya Perlis. Antara tempat yang dilawati ialah Rumah Awang Batil Perlis, Muzium Kota Kayang, Puncak Bukit Wang Kelian, Taman Eko-Rimba Bukit Ayer, Kampung Tok Tina Aluih, Gunung Medan, Taman Negeri Perlis, Geotapak Taman Rekreasi Bukit Jernih, Kampung Warna Warni, Kampung Seberang Ramai dan Tasik Timah Tasoh.

SN Rahman Shaari sedang mendeklamasikan sajak beliau.

Proses penjurian Program Perjalanan Jejak Puisi Perlis telah diadili oleh seramai 21 orang juri yang diketuai oleh Sasterawan Negara (SN) Malaysia ke-15, Dato Rahman Shaari yang sememangnya berasal dari Perlis. Beliau juga berkesempatan mendeklamasikan sebuah puisi istimewa semasa majlis penutupan program tersebut.

Puisi bertajuk “Ada Rasa Cinta” telah dinobatkan sebagai Juara Pertandingan Perjalanan Jejak Puisi Perlis. Majlis penutupan program tersebut diakhiri dengan Persembahan Tarian Canggung oleh Kumpulan Pancaseri UITM Cawangan Perlis Arau dan Pelancaran Penerbitan e-Buku: Poetic Trails of Perlis yang menghimpunkan 62 puisi bertemakan sejarah, warisan, budaya, kearifan tempatan dan kesusasteraan di Perlis oleh 62 orang penyair muda yang telah menyertai program tersebut.

(Sumber Foto: Poetry Trail Perlis UITM dengan Kerjasama Facebook Akademi Pengajian Bahasa, UITM Cawangan Perlis, Arau.)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.