Diterbitkan pada 28 November 2025, 14:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Nordin Saad masih tertanya-tanya, bilakah Anugerah Sastera Perlis akan direalisasikan?

Pengorbanan beberapa orang penulis seangkatan Rejab seperti Mokhtar AK, Pawana, Mastono, Sharif Shaari, Nahmar Jamil (Allahyarham), Ramli Ismail, dan beberapa orang penulis lagi yang mempopularkan penulisan karya sastera ini, sehingga tertubuhnya 3P yang hampir setengah abad lalu tidak wajar dibiarkan hilang ditiup angin masa begitu sahaja …

Apabila membaca beberapa iklan di media sosial yang mempelawa para penulis dari negeri-negeri tertentu untuk mengirimkan pencalonan anugerah atau hadiah sastera peringkat negeri masing-masing, bagaikan menjentik-jentik hati saya untuk menulis artikel ini.

Hal ini kerana negeri kelahiran saya ini merupakan satu-satunya negeri di tanah air yang belum memberikan anugerah peringkat negeri kepada para penulisnya.

Bukanlah niat saya untuk mendesak, jauh sekali untuk memaksa pihak berwajib mewujudkan Anugerah Sastera Perlis ini, namun pastinya, para penulis Perlis juga turut mengharapkan sumbangan mereka dalam bidang sastera dan budaya ini dilihat, dihargai dan diberikan sedikit pengiktirafan, sekali gus meletakkan negeri Perlis setanding dengan negeri-negeri lain dalam bidang sastera dan budaya.

Sebenarnya, negeri paling utara dan terkecil ini juga memiliki jumlah penulis atau penggiat sastera dan budaya yang tidak kurang ramainya serta hebat berbanding negeri-negeri lain. Walau bagaimanapun, sebagaimana yang dinyatakan di atas, sehingga kini, belum ada sebarang anugerah yang diberikan oleh kerajaan negeri untuk mengiktiraf atau menghargai sumbangan para penulis Indera Kayangan ini.

Kewujudan dua buah persatuan penulis, iaitu Persatuan Penulis Perlis (3P) dan Angkatan Sasterawan Indera (AKSARA) nampaknya masih belum mampu membuka hati pihak yang berwajib untuk melihat kewujudan para pengkarya dan seterusnya menghargai sumbangan golongan ini.

Rejab F.I.

Sebetulnya, para penulis Perlis juga tidak kurang hebatnya daripada para penulis di negeri-negeri lain. Malah, ramai dalam kalangan penulis Perlis berjaya menggondol pelbagai hadiah atau anugerah pada peringkat kebangsaan.

Salah seorang penerima Anugerah Sasterawan Negara (SN) iaitu Dato’ Rahman Shaari merupakan penulis kelahiran Perlis yang cukup dikenali dan dihormati di negara kita. Kehebatan Rahman dalam bidang puisi khususnya penghasilan puisi dan deklamasi puisi, sehingga kini agak sukar ditandingi oleh penulis lain.

Begitu juga dengan Rejab F.I. (Allahyarham) yang telah berjaya menerima SEA Write Award 2016. Rejab yang telah berkarya menjangkau tempoh setengah abad itu juga turut menerima pelbagai anugerah atas sumbangannya dalam bidang penulisan sastera. Beberapa buah karyanya juga seperti novel remaja, cerpen dan sajak telah diangkat sebagai teks Komponen Sastera dalam subjek Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu Komunikatif.

Pengorbanan beberapa orang penulis seangkatan Rejab seperti Mokhtar AK, Pawana, Mastono, Sharif Shaari, Nahmar Jamil (Allahyarham), Ramli Ismail, dan beberapa orang penulis lagi yang mempopularkan penulisan karya sastera ini, sehingga tertubuhnya 3P yang hampir setengah abad lalu tidak wajar dibiarkan hilang ditiup angin masa begitu sahaja. Malah, nama-nama lain yang seiring dengan nama Rejab dan rakan-rakannya seperti Dr. Azizan Bahari, Nazel Hashim Mohamad dan Abdul Ahmad (Allahyarham) juga tidak harus dilupakan.

Ridzuan Kamis

Selepas angkatan Rejab dan rakan-rakannya yang boleh dianggap sebagai peneroka karya kreatif Perlis, muncul pula penulis golongan pertengahan seperti Mustaffa Ahmad, Asri Abidin, Nasir Ali, Roslan Bidin, Siti Zubaidah Haris, Bibi Baharum, Haniza Hamzah, Nooramilia Hussain, Muhammad Harun, dan Kamarudin On. Hal ini diikuti pula oleh penulis hebat seperti Dr. Norhasimah Ismail, Ridzuan Kamis dan Solihin Osman (sekadar beberapa nama). Mustafa dan Solihin lebih banyak menumpukan bidang penulisan puisi, manakala Ridzuan pula menulis puisi, kritikan dan rencana.

Golongan penulis muda pula mula mengisi tempat dalam dunia sastera Perlis dengan kemunculan beberapa nama seperti Shahkang, Khairol Anuar Harith Fadilah, Zalina Ahmad (penulis pemula), dan beberapa penulis lagi yang menganggotai 3P dan AKSARA.

Walau bagaimanapun, senarai pengkarya sastera Perlis pasti akan menjadi lebih panjang jika dimasukkan penulis kelahiran Perlis tetapi berkarya di luar Perlis. Antaranya termasuklah Dr. A. Rahim Abdullah dan Dr. Mohamad Shahidan, di samping Shukri Abdullah, Jimadie Shah, A. Hamid Halim dan beberapa orang lagi.

Besar kemungkinan juga, nama-nama penulis yang selama ini tidak diketahui kewujudannya akan memunculkan diri melalui pelaksanaan Anugerah Sastera Perlis ini, termasuk para penulis yang bergerak secara bersendirian tanpa menganggotai sebarang persatuan penulis.

Para penggiat budaya di negeri Perlis yang tidak kurang ramainya pula, mungkin boleh digabungkan dalam majlis Anugerah Sastera Perlis ini juga, namun dimasukkan dalam kategorinya yang tersendiri.

Kelewatan atau tiada usaha ke arah mewujudkan Anugerah Sastera Perlis ini tidak dinafikan akan merugikan catatan sejarah dan warisan negeri Perlis sendiri.

Seharusnya diakui bahawa terdapat beberapa penulis kelahiran Perlis, sama ada pengkarya di Perlis atau di luar Perlis sudah ada yang mulai menyepi diri dengan meninggalkan dunia sastera ini.

Selain itu, terdapat beberapa orang penulis Perlis juga yang sudah dijemput Ilahi sebelum sempat dihargai sumbangan mereka dalam bidang sastera dan budaya. Antaranya termasuklah Nahmar Jamil, Abdul Ahmad, Adnan Jahaya, Saleha Ahmad, dan Wan Khazim Wan Din. Pastinya kita tidak lupa dengan pemergian penulis bukan Melayu yang turut mewarnai sastera Perlis suatu ketika dahulu, iaitu mendiang Cheng Poh Hock.

Malah, diharapkan dengan kewujudan Anugerah Sastera Perlis ini, sastera dan budaya Perlis akan terus menyinar dan bergemerlapan mewarnai dunia sastera tanah air.

Hadiah atau anugerah ini juga pastinya mampu meletakkan negeri Perlis setanding dengan negeri-negeri lain yang sudah lama mengiktiraf para pengkaryanya, sekali gus menarik minat golongan muda untuk mendekati dunia sastera dan mengekalkan kewujudan generasi penulis pelapis negeri Perlis.

Semoga Anugerah Sastera Perlis yang diharap-harapkan akan menjadi kenyataan suatu hari nanti, dan bukan lagi hanya menanti buah yang belum tentu akan gugurnya.

_________________________

Nordin Saad tinggal di Beseri, Perlis. Beliau banyak menghasilkan cerpen selain amat aktif dalam penulisan sastera remaja. Antara karyanya termasuk kumpulan puisi remaja Bercakap dengan Kucing (ITBM, 2014), kumpulan cerpen Bihun Goreng Berkuah Laksa (ITBM, 2015) dan Perempuan dalam Ombak (ITBM). Beliau merupakan Karyawan Bulan Ini Dewan Sastera Jun 2016.

Kredit Foto: Iffah Ishak/Unsplash
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi