Oleh Shahkang
21 Ogos 2024, 07:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shahkang membuat pemerhatian jika pelbagai persatuan di sesebuah tempat suatu masalah atau peluang.

Dalam konteks aktiviti sastera tanah air, kepelbagaian persatuan tidak wajar dianggap sebagai membuka ruang-ruang perpecahan.

Baru-baru ini, seorang kenalan saya menyertai suatu perhimpunan peminat sastera. Ujarnya, timbul isu berkenaan kepelbagaian persatuan di sesuatu tempat. Saya tidak berada di situ, juga tidak dijemput secara rasmi kerana bukan sebahagian daripada badan naungan penganjur. Jadi, saya tidak tahu pucuk pangkal perbincangan atau bagaimana isu ini mula-mula dicetuskan. Menurutnya lagi, mereka yang menyuarakan isu ini seolah-olah menganggap bahawa adanya lebih daripada satu persatuan di sesuatu lokaliti merupakan satu masalah.

Sebagai Ketua Satu sebuah persatuan penulis, iaitu Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA), kisah seumpama ini sering diperkatakan kepada saya, sementelahan terdapat persatuan-persatuan lain di wilayah utara tanah air atau Perlis sendiri, antaranya Persatuan Penulis Perlis (3P) dan Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI).

Rata-rata, masyarakat beranggapan bahawa kepelbagaian kumpulan manusia ialah suatu petanda perpecahan. Betullah, mengapa tidak bernaung di bawah satu payung? Bukankah begitu lebih menggambarkan kekuatan? Kepelbagaian kelompok manusia dikatakan satu indikator ketidakbersamaan.

Saya juga pernah berpendapat sebegitu, walaupun bukan dalam gelanggang sastera tempatan.

Sewaktu tiba di Manchester untuk melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda pada tahun 2009, usia saya baru mencecah 20-an. Populasi rakyat Malaysia di Manchester cukup ramai, memandangkan universiti-universiti di sini menawarkan rencam program pengajian, selain terletak tidak jauh di antara satu sama lain. Meskipun tidak seramai London (yang lebih serabut komposisi masyarakatnya), bilangan universiti dan kawasan tidak seluas London membolehkan hubungan antara rakyat Malaysia di Manchester lebih akrab, sehingga diberi nama jolokan “Kampung Melayu”.

Hubungan akrab ini telah melahirkan banyak persatuan pelajar di Manchester. Ketika itu, terdapat Malaysian Community of Old Trafford (MCOT), Malaysian Student Society of Manchester (MSSM), Malaysian Community of Cheetam Hill (MCCH), dan Kelab UMNO Salford Manchester (KUSMA). Ya, banyak sekali.. Dalam kalangan orang Melayu pula, terdapat pula pecahan mengikut jemaah usrahnya, termasuk ISMA, Majlis Syura Muslimun (kemudiannya IKRAM), HALUAN, dan Hizbi.

Sebagai pelajar baharu, saya melihat situasi ini sebagai suatu perpecahan. Persoalan sama berlegar – kenapa tidak boleh bersatu di bawah satu bumbung? “Perpecahan” ini dilihat ketara sewaktu perayaan, yang mana setiap persatuan ingin melaksanakan sambutannya sendiri. Apabila pelajar baharu sampai, setiap persatuan berlumba-lumba untuk menjemput di lapangan terbang. Ada waktunya kelihatan seperti tidak ada penyelarasan.

Lama-kelamaan, saya mulai faham setiap persatuan wujud atas keperluannya yang tersendiri. MCOT dan MCCH muncul atas dasar keberadaan komuniti. KUSMA pula ialah sayap kelab UMNO di luar negara. MSSM pula ialah wakil rasmi universiti. Kesemua persatuan ini berfungsi atas kapasiti berbeza.

Saya sendiri pada tahun 2013 telah mengusulkan penubuhan persatuan baharu di Manchester, iaitu Malay Language of Culture Society (MALECS). Persatuan ini masih aktif saat saya menukangi artikel ini. Tentunya ada bisik-bisik mengapa ingin memperbanyak lagi persatuan. Tegas saya dan teman-teman, MALECS fokusnya adalah untuk budaya dan bahasa Melayu, merangkumi mana-mana sahaja negara yang berkaitan, termasuklah Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, dan Singapura. Kelulusan pendaftaran persatuan ini oleh Students Union universiti juga disebabkan oleh faktor kekuatan persatuan ini untuk berdiri atas hala tuju yang tidak sama dengan persatuan pelajar Malaysia, iaitu MSSM.

Dalam konteks aktiviti sastera tanah air, kepelbagaian persatuan tidak wajar dianggap sebagai membuka ruang-ruang perpecahan. Persatuan merupakan medan untuk berhimpun dalam usaha mengasah bakat, bertukar idea, mengusulkan pendapat dan bersosial. Kepelbagaian medan akan memberikan ruang untuk lebih ramai karyawan dan peminat sastera melibatkan diri.

Persatuan penulis bukan pihak berkuasa atau autoriti untuk memerintah atau dijadikan sebagai rujukan utama. Persatuan juga bukan agensi kerajaan yang secara rasmi menaungi segala aktiviti kesusasteraan di sesuatu tempat. Individu yang memikirkan berbilang persatuan ialah suatu masalah, berkemungkinan ingin menjadikan persatuan (atau dirinya) satu-satunya rujukan dan wakil rasmi. Jika seseorang inginkan autoriti mutlak, sebaik-baiknya dia melangkah masuk ke alam politik atau bertugas sebagai pihak berkuasa, bukannya merealisasikan hasrat peribadi melalui badan bukan kerajaan.

Berbilang persatuan seharusnya dilihat sebagai peluang berbanding masalah. Dengan lebih banyak pelibatan, aktiviti dapat dijalankan dengan lebih rancak. Kepelbagaian persatuan membolehkan lebih ramai aktivis memegang jawatan, mempelajari selok-belok pentadbiran persatuan selain mencorakkan persatuan mengikut kehendak sendiri. Ahli jawatankuasa akan turut dapat menyertai pelbagai bengkel untuk meningkatkan kemahiran pengurusan, seperti penghasilan kertas kerja dan permohonan insentif kewangan daripada pihak berkuasa, seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN). Hasilnya, banyak program boleh dianjurkan untuk manfaat ahli dan masyarakat setempat.

Persatuan penulis bukan pihak berkuasa atau autoriti untuk memerintah atau dijadikan sebagai rujukan utama. Persatuan juga bukan agensi kerajaan yang secara rasmi menaungi segala aktiviti kesusasteraan di sesuatu tempat.

Kerap timbul satu persoalan, mengapa tidak bergabung dalam satu persatuan sahaja? Jawapannya, hal itu tidak praktikal. Melihat pada kecenderungan setiap persatuan, perbezaan hala tuju dan rencam generasi, gabungan besar ini akan lebih banyak menimbulkan masalah.

Di Perlis, terdapat beberapa persatuan penulis. Antaranya termasuk AKSARA yang saya ketuai dan 3P. Tidak timbul sebarang perkelahian antara kedua-duanya kerana masing-masing bergerak atas kapasiti sendiri dalam melaksanakan aktiviti untuk ahli dan komuniti setempat. Sejak menerajui AKSARA mulai tahun 2018, saya kerap menghantar jemputan kepada ahli-ahli persatuan lain untuk menyertai aktiviti AKSARA, seperti deklamasi puisi dan bengkel. Untuk bacaan lanjut mengetahui aktiviti persatuan penulis di Perlis, anda boleh membaca artikel tulisan Nordin Saad berjudul “Kelangsungan Sastera Perlis” dalam majalah Dewan Sastera isu Ogos 2018.

Penyelesaian terhadap “permasalahan” ini adalah dengan tidak memikirkan kepelbagaian kumpulan manusia ini sebagai suatu masalah, sebaliknya sesuatu yang perlu diraikan. Perpecahan yang terlalu ditakuti itu tidak akan timbul jika pemimpin setiap persatuan boleh duduk semeja dan saling menyokong. Matlamat utama bukanlah kemegahan nama tetapi hasil yang dituai daripada program-program persatuan. Keharmonian dapat dibentuk apabila kita saling menghargai. Tamsilnya, apabila Persatuan A mengadakan bicara buku, ahli Persatuan B hadir sebagai peserta. Apabila Persatuan B menganjurkan pesta berbalas pantun, Persatuan A menghantar sebuah pasukan untuk bertanding. Apabila Persatuan C menganjurkan forum penulis muda, ahli Persatuan D dijemput sebagai panel. Kebersamaan ini sebenarnya menjadi ukuran meriah (atau tidak) suatu kegiatan sastera tempatan, bukannya isu persatuan mana yang mendominasi atau menjadi “peneraju”. Natijahnya, manfaat kepada penulis dan peminat sastera yang perlu dititikberatkan.

Rata-ratanya, penulis muda yang saya kenal kurang teruja (atau dalam erti lain, malas) untuk melibatkan diri dalam persatuan kerana kerapnya muncul perbalahan isu remeh yang diperbesar, sama ada dalam persatuan sendiri atau melibatkan persatuan lain. Bagi mereka, terdapat unsur negatif yang membelenggu aktiviti berpersatuan – bibit-bibit sengketa, mengata belakang serta tarik muka antara satu sama lain.

Walhal, unsur negatif ini lazimnya dimulai orang seseorang atau sebahagian ahli dalam persatuan yang tak ada apa hendak dibuat, lalu cuba mencari suatu sensasi. Kebanyakan ahli hanya mahukan kegiatan dijalankan. Mereka ingin mendapat manfaat seperti ilmu penulisan dan bimbingan untuk permohonan geran penerbitan, selain ruang bersosial. Penting buat kepimpinan persatuan untuk menutup persepsi negatif ini dan melayan sebarang perbezaan sebagai suatu lumrah. Sebarang konflik kecil harus ditangani dan segera move on – jalan terus! Sedikit polemik silang persatuan ialah kerugian kerana akan membunuh minat para penulis neutral atau tanpa persatuan untuk bersama-sama meraikan aktiviti sastera tempatan.

Persatuan penulis ialah platform untuk para karyawan bersosial melalui aktiviti atau berhimpun untuk menyuarakan suatu pandangan. Tidak dinafikan, berbilang persatuan boleh mengundang aspek negatif seperti tidak fokus dan masalah pengurusan, terutamanya mereka yang tidak berpengalaman dalam pentadbiran tetapi tetap juga mahu berpersatuan (dalam bahasa biasa – dia pun nak juga!). Namun begitu, dalam era tanpa sempadan ini, kita tidak boleh menghalang hasrat sekelompok manusia untuk menubuhkan organisasi sendiri atas apa-apa sebab sekalipun, sama ada persatuan tersebut berdaftar secara rasmi atau sekadar “geli-geli” santai. Sebaik-baiknya, kita patut berusaha melihat peluang di sebalik masalah yang acap kalinya, kita sendiri yang wujudkan.

Kredit Foto: Fabio Santaniello Bruun/Unsplash 

_________________________

Shahkang atau nama sebenarnya, Dr. Norshah Aizat bin Shuaib merupakan Ketua Satu Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA). Bertugas sebagai pensyarah dalam bidang kejuruteraan mekanikal di sebuah universiti awam.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.