12 Jun 2023, 10:13

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Wadiassofi Jaafar menemui dan menemu bual Tuan Haji Sholihin Haji Osman atau lebih dikenali sebagai Solihin Osman, seorang penyair prolifik yang karya puisinya sentiasa mendapat tempat di ruang media massa.

Seseorang penulis perlulah berusaha untuk berkembang, diri dan kebolehannya, dari semasa ke semasa tanpa henti.

Penyair Perlis Indera Kayangan, Solihin Osman merupakan salah seorang penulis yang cuba membawa wadah sastera yang segar dan bersifat semasa. Sudah beberapa kumpulan puisi yang dihasilkannya, selain beratus antologi puisi bersama yang melibatkan karyanya. Beliau sememangnya seorang penyair yang tidak pernah tahu erti jemu mengarang kata-kata.

Solihin ialah lulusan Sarjana Sastera dalam bidang Reka Bentuk Grafik Institut Teknologi MARA (ITM, kini UiTM), Shah Alam. Beliau telah bergiat dan berkecimpung dalam bidang seni lukis dan penulisan semenjak tahun 1970-an. Solihin mula menulis berita dalam majalah Bujal sekitar tahun 1976 sewaktu di tingkatan tiga. Semasa di tingkatan empat, sajak beliau yang bertajuk “Satu Rima Di Pesta Biru” tersiar dalam rancangan Bunga Bangsa, Radio Malaysia.

“Sewaktu saya berumur 5 tahun lagi, saya mula berjinak-jinak dalam bidang lukisan. Antara lakaran yang amat saya minati ialah lukisan potret. Semasa di tingkatan lima (1978), saya mula menulis berita dan rencana di Berita Harian.

“Tahun 1979, saya mendapat tawaran menjadi pemberita di Berita Harian dan juga Bintang Timur (di bawah Utusan Malaysia). Tetapi terpaksa ditolak kerana melanjutkan pelajaran di ITM. Namun, semasa di ITM, saya masih lagi menulis berita dan rencana ke Berita Harian,” jelasnya.

Selepas menamatkan pelajaran di ITM, Solihin berkhidmat sebagai seorang guru seni lukis di negeri Perak dan mula menjadi pemberita sambilan di Utusan Melayu hingga tahun 1991. Beliau aktif menulis berita dan rencana sehingga sekarang. Beliau juga turut terlibat dalam bidang fotografi peringkat kebangsaan dan juga pameran-pameran seni lukis, melalui Persatuan Pelukis Malaysia, Angkatan Pelukis Kedah serta Persatuan Pelukis Perak.

“Sewaktu saya menjalani kursus di Australia pada tahun 1993, puisi pertama yang saya hasilkan bertajuk ‘Padamu Bunga’, tersiar di Mingguan Malaysia, manakala puisi yang bertajuk ‘Anak Yang Merah’ tersiar di Mingguan pada tahun 1994,” beritahunya.

Menurut Sholihin lagi, bagi petua mengapa karyanya sering mendapat tempat dan laluan di media massa seperti Mingguan Malaysia dan Utusan Zaman, seseorang penulis perlulah berusaha untuk berkembang, diri dan kebolehannya, dari semasa ke semasa tanpa henti.

“Setiap hari saya akan menulis puisi untuk dihantar ke media massa. Penghasilan karya puisi tidak menentu, baik masa atau keadaannya sekalipun. Dianggarkan, sebanyak 100 buah puisi ditulis dalam masa sebulan,” jelasnya.

Bagi Solihin, menulis puisi ialah kemampuan dan pengolahan daya fikirnya untuk menyemarakkan dunia seni sastera agar dapat dibaca dan ditatap oleh masyarakat sebagai renungan hidup dan persekitaran semasa yang sentiasa mencabar.

“Saya tidak serik untuk menulis puisi kerana dengan menulis puisi, saya mendapat ilham dan dorongan untuk mencipta puisi-puisi yang indah dan menarik untuk tatapan pembaca,” katanya.

_________________________

Wadiassofi Jaafar pernah memenangi Hadiah Penghargaan Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1998 bagi kategori cerpen remaja, Hadiah Pertama Pertandingan Mengarang Puisi Sempena Sambutan Maulidur Rasul 1998 anjuran Majlis Agama Islam Negeri Kedah, Hadiah Pertama Pertandingan Menulis Cerpen anjuran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok 2012, Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Puisi 2012 anjuran Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI), Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Puisi Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Wilayah Utara 2015, dan Hadiah Penghargaan Pertandingan Menulis Puisi Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan Peringat Wilayah Utara 2018. Beliau mempunyai dua kumpulan cerpen kanak-kanak, Umi, Maafkan Adik (UUM Press, 2018) dan Manisnya Kejayaan (2019).

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.