Oleh Shahkang
28 Oktober 2024, 12:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Tidak ramai penulis yang boleh menterjemah. Juga, tidak semua penterjemah mempunyai pengalaman sebagai seorang penulis, terutamanya dalam dunia fiksyen.

Nazel Hashim Mohamad atau mesra dipanggil Pak Nazel, mempunyai kedua-dua pengalaman sebagai seorang penulis fiksyen dan penterjemah.

Hasilnya, terjemahan Pak Nazel mempunyai sentuhan seorang pengarang, membolehkan pembaca menikmati karya terjemahan dengan lebih bermakna.

Kebolehan Pak Nazel mirip pengarang tersohor dunia seperti Vladimir Nabokov dan Samuel Taylor Coleridge.

Begitulah sebahagian inti pati pembentangan oleh Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail, pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) sewaktu Seminar Kepengarangan Pak Nazel.

Dr. Sharifah Fazliyaton Shaik Ismail membentangkan kertas kerjanya yang berjudul “Memugar Benua Afrika Menerusi Aksara Penterjemah” untuk mendalami usaha penterjemahan Pak Nazel.

Dr. Sharifah membawa peserta seminar untuk menghayati kualiti terjemahan Pak Nazel dalam karya Things Fall Apart nukilan Chinua Achebe.

Karya ini telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu dengan nama Okonkwo, terbitan Heinemann Education Books (Asia) pada tahun 1981 dan Terlerai dan Berkecai terbitan Institut Terjemahan Negara Malaysia, tahun 2011.

“Berkemungkinan Chinua Achebe dipilih kerana tidak ramai penterjemah memilih karya Afrika ketika itu. Kebanyakan memilih penulis Barat seperti dari Eropah,” ujar Dr. Syarifah.

Dalam hal ini, Dr. Sharifah menerangkan kaedah foreignization dan domestication yang sering digunakan oleh para penterjemah.

Dengan berpandukan kaedah foreignization, Pak Nazel mengekalkan beberapa perkataan asing semasa menterjemah Things Fall Apart, membolehkan konsep masyarakat Igbo dalam novel ini berjaya disampaikan dengan baik.

Dr. Syarifah turut mengulas bagaimana Pak Nazel menterjemahkan bahasa kiasan yang terdapat dalam karya ini.

Meskipun karya Chinua Acebe sarat dengan budaya Afrika, gaya terjemahan berseni Pak Nazel membolehkan terjemahan berlaku dengan “natural”.

Dr. Sharifah menambah, ada waktu Pak Nazel berjaya mencantikkan ayat asal lebih baik daripada pengarang asal. Contohnya untuk frasa “it came slowly” dalam Things Fall Apart, Pak Nazel telah menggunakan pengalaman kreatifnya dengan menterjemah kepada “musim kering merangkak tiba”. Hal ini menjadikan ayat tersebut lebih dekat dan mudah dihayati pembaca.

Ketokohan Pak Nazel dalam terjemahan turut disentuh oleh pengucaptama, Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari. Selain mengulas mesej dan pemikiran Pak Nazel lewat pelbagai genre, Rahman Shaari memerihalkan bagaimana Pak Nazel boleh menterjemah secara aktif bagi membolehkan pembaca tempatan dapat menikmati karya-karya luar dalam bahasa Melayu.

Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari memperkenalkan ketokohan kepengarangan Pak Nazel kepada khalayak seminar.

Selain Dr. Sharifah, seorang lagi ahli akademik UUM, iaitu Dr. Phat a/l Awang Deng membentangkan kertas kajian bertajuk “Pengakhiran Watak dan Tamat Sebuah Cerita dalam Novel Remaja Nazel Hashim Mohamad”.

Kajian ini menjelaskan perihal pengakhiran watak dan jalan cerita, sama ada berbentuk deus ex machina, keadilan puitika, bahagia ceria, dan sebagainya.

Bagi cerita kanak-kanak dan remaja, penamat dengan kaedah bahagia ceria adalah yang paling dominan digunakan oleh Pak Nazel bagi membolehkan golongan ini mahu menjadi seorang insan dalam masyarakat.

Dr. Phat a/l Awang Deng memperlihatkan sisi keistimewaan pena Pak Nazel dalam sastera kanak-kanak dan remaja.

Seminar Kepengarangan Pak Nazel anjuran Angkatan Sasterawan Indera Perlis (AKSARA) dengan sokongan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara telah berlangsung pada 24 Oktober 2024 bertempat di Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Perlis.

Program ini merupakan sebahagian acara dalam Perkampungan Sastera Perlis (PSP) 2024, selain bersempena dengan sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan peringkat negeri Perlis 2024.

Nazel Hashim Mohamad turut dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Sastera Indera (ATSI) 2024 dalam suatu acara berasingan dalam PSP 2024.

Anugerah yang julung-julung kali diberikan ini merupakan inisiatif AKSARA dalam usaha mengangkat nama serta meraikan karyawan tersohor di negeri Perlis.

Beli Pantun Pak Nazel: Indahnya Pantun Melayu di sini.

Kredit Foto: Khairul Azhar/Bhg. Multimedia DBP
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.