Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangOsman Ayob menyampaikan belasungkawa buat sahabatnya, penulis Perlis Rejab F.I. serta jasa besarnya dalam kesusasteraan Melayu.
Rejab F.I. telah menyumbang jasa baktinya dan menjadi ikon yang disegani. Sebagai Ketua Satu 3P selama 23 tahun (1977–2004), beliau membimbing kelahiran penulis baharu di negeri kelahirannya.
Pada 27 September 2025 sewaktu berlangsungnya Seminar Kesusasteraan Kedah 11 di Sungai Petani, awal pagi lagi penulis menerima panggilan telefon daripada Cikgu Rejab Ismail (Rejab F,I.). Beliau bertanya tentang seminar pada pagi itu yang diisi dengan pembentangan kertas kerja Pemikiran Sasterawan Utara, Siti Zaleha M. Hashim, Rejab F.I., Osman Ayob, dan Mahizan Husin.

“Siapa bercakap tentang aku?” Dia bertanya dengan suara serak. Saya tidak terkejut dengan nada suaranya kerana kami sering berbual melalui panggilan telefon, bertanya khabar tentang diri masing-masing. Saya tahu sejak beberapa bulan lalu, Allahyarham kurang sihat. Lantaran itu sama ada saya menerima panggilannya atau saya yang memanggil beliau. Perbualan kami ringkas, menjurus pada perkara pokok, kerana saya tahu dia tidak dapat berbual panjang kerana kepenatan.
“Dr. Shahkang dari UNIMAP akan bercakap tentang Cikgu Jab atas tajuk ‘Pembentukan Insan Seimbang dalam karya Rejab F.I: Analisis melalui perspektif teori SPB4K.’
“Bagus ’tu,” ujarnya dengan nada gembira.
“Mengapa cikgu tak mari?” tanya penulis cuma menguji. Penulis tahu beberapa hari lalu ketika berbual, dia telah menyatakan tidak dapat hadir kerana uzur.
“Tak dapat hadir tak apa.” Penulis menegaskan. “Cikgu boleh ikuti pembentangan penuh. DBP buat siaran langsung melalui FBnya.”
“Maaf, Man,” ujarnya sungguh-sungguh. “Aku tak dapat ikut. Aku uzur sangat. Dah berbaring ’ni. Tak berdaya nak bangun lagi.”
Demikian perbualan akhir antara penulis dengan Rejab F.I., seorang sasterawan besar yang banyak jasanya pada aktiviti dan perkembangan sastera dan budaya, bukan sahaja di negeri Perlis, tetapi juga pada peringkat nasional. Ketika menjadi Ketua Satu Persatuan Penulis Perlis (3P) yang bernaung di bawah badan induk GAPENA, Rejab F.I. pernah menjadi Ahli Jawatankuasa GAPENA dari tahun 2000–2004. Beliau ikut menyertai delegasi GAPENA ke beberapa buah negara serantau, di samping ke negara yang ada kaitan dengan Dunia Melayu, seperti Sri Lanka, Afrika Selatan dan Arab Saudi.
Hubungan penulis dengan Rejab F.I. amat rapat sejak berdekad lalu. Penulis memilih karya Rejab F.I. bagi memenuhi keperluan tesis peringkat Sarjana di Universiti Sains Malaysia. Tesis yang berjudul “Cerpen-cerpen Terpilih Rejab F.I: Kajian dari Perspektif Teori Pengkaedahan Melayu” menghendaki penulis mengenali lebih rapat tentang Rejab F.I. bagi menyelongkar hal peribadi, pendidikan, profesion dan komitmennya dalam aktiviti sastera dan bahasa Melayu yang menjadi teras perjuangan hingga ke akhir hayatnya.
Sepanjang penulisan tesis, Rejab F.I. memberi sepenuh kerjasama, meminjamkan penulis, tesis-tesis sebelum dalam simpanannya yang dihasilkan oleh pelajar Sarjana Muda. Penulis bersyukur dapat mengutip dan mengkaji maklumat penting tentang Rejab F.I. hingga siap tesis dengan jayanya.
Sebagai seorang aktivis sastera dan budaya, Rejab F.I. telah menyumbang jasa baktinya dan menjadi ikon yang disegani. Sebagai Ketua Satu 3P selama 23 tahun (1977–2004), beliau membimbing kelahiran penulis baharu di negeri kelahirannya. Nama seperti Mansor Othman, Rosli Tajudin, Nordin Saad, dan beberapa orang lagi merupakan anak didik beliau yang telah berjaya menempa nama dalam bidang penulisan kreatif.
Malah, setelah berundur sebagai Ketua Satu 3P, beliau masih bergiat dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu. Sebagai Naib Pengerusi Persatuan Melayu Negeri Perlis (PEMANIS), beliau pernah menghantar memorendum kepada pihak berkuasa tentang pentingnya bahasa Melayu dimartabatkan lagi demi kesinambungan jati diri negara bangsa yang berdaulat.
Komitmen Rejab F.I. terhadap kesusasteraan Melayu terserlah dalam karyanya dalam bentuk sajak, cerpen, novel, drama, cerita rakyat, dan esei. Sehingga akhir hayatnya, Rejab sudah menghasilkan sebanyak 137 buah novel, 500 buah puisi, 202 buah cerpen, 20 skrip drama radio, 15 judul drama TV, empat drama pentas, sembilan buah karya umum, dan sebanyak 362 buah esei dan rencana. Ketekalan beliau dalam menghasilkan karya yang begitu banyak membuktikan minat yang mendalam beliau terhadap dunia penulisan.
Rejab bin Ismail dilahirkan pada tahun 12 September 1941 di Kampung Bongkok, Perlis dalam keluarga anak petani. Rejab menerima pendidikan awal di Sekolah Melayu Santan, Perlis dan belajar sendiri sehingga lulus Sijil Tinggi Persekolahan pada tahun 1975. Pada tahun 1980, beliau menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) melalui pengajian luar kampus dan lulus Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian). Rejab bertugas sebagai guru di beberapa buah sekolah di Perlis dan bersara pilihan pada usia 50 tahun untuk menjadi penulis sepenuh masa.
Beliau mula bergiat dalam bidang penulisan sejak tahun 1960-an. Karya pertamanya berupa skrip drama radio berjudul “Seri Perlis” yang ke udara melalui Radio Pulau Pinang pada 16 Februari 1962, manakala novel pertama beliau ialah Gerhana (1968) diterbitkan oleh Sinaran Bros, Pulau Pinang.
Kecemerlangan Rejab F.I. dalam penulisan kreatif dibuktikan dengan kejayaannya yang pertama, memenangi Hadiah Sastera Nasional 1971 melalui tiga buah puisi berjudul “Peladang” (Berita Minggu 7 Februari 1971), “Antara Jurang” (Utusan Zaman 31 Oktober 1971) dan “Lagu Anak Permatang” (Berita Minggu 21 November 1971). Pada tahun berikutnya, puisi beliau “Kesepian” (Dewan Sastera Ogos 1972) turut memenangi Hadiah Sastera Nasional.
Antara cerpen beliau yang turut menerima pengiktirafan hadiah pihak swasta dan badan bukan kerajaan termasulah “Keusangan” (Hadiah Esso-GAPENA 1985); “Kemanusiaan” dan “Nyanyuk” (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Public Bank 1985 dan 1989), puisi “Kutadah Sepuluh Jari”, “Kebenaran” dan “Ketanduaan Sebuah Lembah” (Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 1987, 1988 dan 1996) serta novel remaja Lautan Tak Selamanya Bergelombang (1993).
Sepanjang kegiatannya dalam penghasilan buku, beliau juga meminati bidang sejarah, sastera tradisional dan kebudayaan.
Kebanyakan cerpen beliau telah diterbitkan dalam kumpulan cerpen persendirian, antaranya termasuk Deklamasi Belantara (DBP, 2007), Papaverine (DBP, 2015) dan Duka Belantara (ITBM, 2016). Papaverine diterbitkan semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada tahun 2025 atas siri Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award.
Sebagai pendidik yang dedikasi, pengalaman beliau turut digarap dalam cerpen dan novel yang bermanfaat dan sesuai untuk pendidikan remaja. Novel Sejambak Bakti (DBP, 2008) terpilih bagi kegunaan KOMSAS.
Selain itu, cerpen “Sebuah Kampung di Daerah Pedalaman” (1970), “Suatu Subuh yang Bening” (1980) dan “Memori Kehidupan” (1989) digunakan sebagai teks sastera subjek Kesusasteraan Melayu Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sebagai membuktikan komitmen dan sumbangan idea pentingnya dalam mendidik anak bangsa, cerpen “Hadiah Hari Guru” (2000) bagi kegunaan KOMSAS tingkatan satu dan cerpen “Maaf Kupinta” (2010) digunakan dalam silibus KOMSAS tingkatan dua. Malah, puisi beliau, “Antara Dua Jurang” (1971), “Peladang” (1971) dan “Lagu Anak di Permatang” (1971) turut dipilih sebagai teks sastera bagi SPM, manakala puisi “Waktu” (1981) terpilih untuk teks sastera tingkatan enam dan puisi “Bangkitlah” (2010) digunakan sebagai teks KOMSAS tingkatan lima.
Sepanjang kegiatannya dalam penghasilan buku, beliau juga meminati bidang sejarah, sastera tradisional dan kebudayaan. Antara buku kajian dan biografi yang dihasilkannya termasuklah Cerita Peribahasa (1994), Warisan Kebudayaan Negeri Perlis (1994), Intisari Kesenian Tradisional Perlis (2002), Sejarah dan Tarian Terinai Perlis (2002), Koleksi Kesenian Tradisional Negeri Perlis 1 (2006), Koleksi Kesenian Tradisional Negeri Perlis 2 (2009), Biografi Tokoh Budaya Negeri Perlis (2011), dan Memoir Seribu Riak di Pantai Usia. (2013).
Atas sumbangan beliau terhadap perkembangan bahasa, budaya dan sastera negara, beliau telah dianugerahkan Tokoh Penulis Perlis 2001, Tokoh Budaya GAPENA 2008, Tokoh Guru Negeri Perlis 2011, Tokoh Bahasa dan Sastera Perlis (2013), Penerima Anugerah SEA. Write Award (Malaysia) 2016, dan Tokoh Penyair GAPENA 2024.
Ke bawah DYMM Raja Perlis pernah menganugerahkannya Pingat Jasa Kebaktian (PJK) 1974, Pingat Ahli Mahkota Perlis (AMP) 1987 dan Setia Mahkota Perlis (SMP) 2003.
Rejab F.I. yang mula menulis semenjak tahun 1960, terkenal dengan semangat cintakan bahasa Melayu yang mendalam. Sebagai seorang penulis yang melalui zaman awal kemerdekaan, beliau memiliki semangat patriotisme yang tinggi dan hal ini diterapkan ke dalam karyanya, sama ada cerpen, novel, puisi, drama, mahupun cerita rakyat.
Berpegang pada falsafah “berdisiplin dalam kehidupan dengan menepati masa” dan “budayalah yang memanusiakan manusia”, Rejab pernah diberi penghormatan dengan menjadi Penulis Tamu DBP Wilayah Utara pada tahun 2005 dengan projek penulisan “Seribu Riak di Pantai Usia’.
Panel penilai SEA Write Award 2016 merumuskan:
Rejab F.I. sebagai seorang penulis beraliran realisme yang peka dengan hal ehwal kemasyarakatan. Karyanya memaparkan keprihatinan seorang guru terhadap keharmonian hidup. Alam yang berkembang turut membentuk jiwanya yang romantis dan naturalis. Malahan beliau teguh sebagai seorang pejuang bahasa dan penggiat seni serta budaya yang sentiasa awas dengan cabaran semasa. Kepimpinannya dalam persatuan penulis menegaskan prinsip perjuangan yang tidak pernah goyah. Sebagai seorang guru, dan juga seorang penulis, Rejab telah melakukan tugas mendidik murid dan masyarakat sekali gus. Beliau menjadi guru dalam bilik darjah, bahkan juga menjadi guru kepada masyarakat di luar bilik darjah. Sumbangan karyanya yang melebihi tempoh separuh abad terbukti merangkumi pelbagai genre, dan beliau ialah penulis yang disegani generasi lama dan generasi muda sehingga kini.
Demikianlah Rejab F.I. Ketika penulis dan Ketua Satu Angkatan Sasterawan Nasional Kedah (ASASI) pada masa itu, Tuan Haji Abu Hassan Morad menziarahi beliau pada Hari Raya Aidilfitri Kedua tahun 2025, kami dapati beliau dan isterinya, Puan Fatimah Taha sudah dalam keadaan uzur dan kedua-duanya terpaksa bertongkat untuk menyambut kami. Kami amat terharu melihat keadaan mereka berdua. Namun pertemuan itu sungguh manis dan besar maknanya dalam erti jalinan hubungan sesama penulis yang sudah berusia senja.

Penulis sungguh terkejut pada sekitar jam 6.00 pagi, 30 September lalu, telefon tangan tiba-tiba berdering. Panggilan daripada Rizal Irwandi, anak ketiga Rejab F.I. yang tinggal bersama-samanya, memaklumkan berita berpulangnnya ke rahmatullah ayahandanya pada pukul 3.50 pagi.
Menurut isteri Allahyarham, kira-kira pada pukul 2.00 pagi, suaminya bangun dalam keadaan resah gelisah. Dia menyediakan secawan susu bersama-sama sekeping roti, namun selain tidak mahu bercakap, suaminya tidak lagi menjamah hidangan yang disediakan. Sebaliknya dalam keadaan sesak nafas, suaminya yang hampir terjatuh dipapah dan dibaringkan di atas katil. Dalam keadaan cemas begini, Puan Fatimah Taha mengejutkan anak mereka, Rizal Irwandi di bilik tidurnya. Mereka dapati, Rejab F.I, sudah tidak berdaya dan menghembuskan nafas terakhir. Hal ini disahkan oleh kakitangan ambulans yang tiba kemudian.
Jenazah Rejab F.I. selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam Tok Kembang, Kampung Repuh, Kangar, Perlis selepas waktu zohor. Sesunguhnya, negara telah kehilangan seorang tokoh penulis yang terbilang. Semoga rohnya dicucuri dan ditempatkan dalam kalangan mereka yang beriman. Al-Fatihah.
_________________________
Osman Ayob ialah penerima SEA Write Award (Malaysia) 2022. Beliau juga penerima Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2008/2009 bagi kumpulan cerpen Bayangan Silam (DBP, 2009). Antara kumpulan cerpennya termasuklah Bayangan Rindu (1981), Musim itu Telah Berlalu (1984), Detik yang Tergugat (1988), Di Pinggir Kesedaran (1993), Melamar Rindu (2001), Perginya Seorang Srikandi (2011), Tembok Masih Tinggi (2014), dan Gila Tak Gila (2017). Selain menulis cerpen, beliau juga menghasilkan lebih 30 buah novel. Novel remajanya, Meniti Impian menjadi teks KOMSAS tingkatan dua di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan bagi tahun 2016–2020.3