Diterbitkan pada 23 Mei 2025, 14:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur “Bahasa cerita sentiasa berubah mengikut peredaran zaman,” demikian antara inti pati ucapan perasmian YBhg. Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari dalam Majlis Pelancaran Buku Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award bersempena dengan hari pertama Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) ke-42 di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur pagi tadi.

Beliau menyatakan bahawa dalam konteks anjakan makna, karya-karya bersifat malar segar bukan sekadar teks yang tertakluk pada pemikiran atau komunikasi dalam ruang dan masa tertentu, sebaliknya bergerak seiring dengan keperluan zaman.

Bahasa cerita dalam buku-buku ini kekal relevan meskipun wacana dan latar berubah mengikut persekitaran dan pemikiran pembaca.

Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari menzahirkan penghargaan terhadap sumbangan sastera yang kekal relevan sepanjang zaman.

Selain itu, beliau mengaitkan usaha ini dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025.

“Usaha (menerbitkan Edisi Karya Malar Segar SEA Write Award) ini menunjukkan kita bukan sahaja memiliki infrastruktur fizikal, tetapi juga kepimpinan yang menyeluruh, termasuk dari aspek pemikiran, spiritual dan futuristik,” jelas beliau.

Tema PBAKL tahun ini, “Buku, Membaca, Memimpin”, turut ditekankan sebagai satu usaha membina keintelektualan masyarakat. Rahman Shaari menyifatkan tema ini sebagai satu kronologi jelas dalam usaha melahirkan pemimpin berilmu, bermula dengan membaca buku yang baik dan membina pemikiran berasaskan ilmu.

Beliau turut menekankan bahawa dalam konteks kepengerusian ASEAN 2025 yang bertemakan “Keterangkuman dan Kemampanan”, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui penerbitan buku edisi malar segar ini secara tidak langsung telah merealisasikan kedua-dua nilai tersebut. 

“Karya-karya nukilan penulis sedia mampan yang diterbitkan ini memberikan makna yang besar dalam pembangunan masyarakat yang lestari dan inklusif.”

Sehubungan itu, beliau menggesa agar usaha untuk terus menerbitkan buku malar segar dijadikan agenda utama dalam pelan pembangunan masyarakat. 

“Buku-buku yang berkualiti tinggi, dalam pelbagai genre termasuklah puisi, novel, cerpen, dan drama perlu dipastikan sampai ke tangan generasi muda dari peringkat sekolah sehingga institusi pengajian tinggi.

“Secara tidak langsung, pendidikan membaca bahan terbaik sudah dimulakan dari awal, dan hal ini akan memberikan kesan besar kepada masyarakat sehingga membaca menjadi budaya pembelajaran sepanjang hayat,” katanya.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP Encik Zulfa Hamzah, Ketua Editor Bahagian Majalah Dr. Rosmani Omar (mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan) dan para penerima Anugerah SEA Write meraikan karya sastera bermutu dan lestari di Majlis Pelancaran Edisi Karya Malar Segar SEA Write Award bersempena dengan PBAKL 2025.

Rahman Shaari turut menegaskan bahawa buku ialah medium penting untuk menyemai nilai murni, meluaskan ilmu dan membentuk masyarakat berpengetahuan. Oleh itu, beliau menggalakkan DBP supaya memperluas penerbitan karya malar segar bukan hanya dalam bidang sastera, tetapi juga bagi bidang-bidang lain yang ditulis oleh penulis yang mapan dan berwibawa. 

Turut hadir termasuklah  Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP mewakili Ketua Pengarah DBP, YBrs. Encik Zulfa Hamzah, Ketua Editor Bahagian Majalah DBP, YBrs. Dr. Rosmani Omar mewakili Pengarah Jabatan Penerbitan, penerima Anugerah SEA Write Award, para karyawan DBP, dan masyarakat umum.

Antara karya terpilih dalam Edisi Karya Malar Segar Penerima SEA Write Award termasuklah Tempat Jatuh Lagi Dikenang (Adibah Amin, 1983); Sungai Mekong (A. Latiff Mohidin, 1981); Seorang Tua di Kaki Gunung (Azizi Haji Abdullah, 2022); Bagaton (Ismail Abbas/Amil Jaya, 1988): Derita Buana (Kamaruzzaman Abdul Kadir/Dharmawijaya, 1992); Menterjemah Bintang (Suhaimi Haji Muhammad, 1985); Panglima Salleh Selempang Merah (Zaharah Nawawi, 1988); Pangkalan Kedua (Othman Puteh, 1993); Orkidnya Sudah Menjadi (Khadijah Hashim, 2005); Selendang Anum (Lim Swee Tin); Trilogi Pentas Opera (Zakaria Ariffin, 2015); Empangan (Zakaria Ali, 1990); Yang Yang (A. Ghafar Ibrahim/AGI, 1986); Gugurnya Langit Hijau Nanga Tiga (Jong Chian Lai, 2001); Dunia Belum Kiamat (Hatta Azad Khan, 2016); Enigma (Azmah Nordin, 2015); Katarsis (Zaen Kasturi, 1993); Serigala dan Sekuntum Tulip (S.M. Zakir, 2010); Cerita Sarah Leong (Malim Ghozali PK, 2020); Basah dalam Ingatan (Zam Ismail, 1994); Hujan Putih (Jasni Matlani, 2006); Papaverine (Rejab Ismail, 2015); Membentuk Elok di Teluk Esok (Zainal Abidin Suhaili/Abizai, 2001); dan Coklat Mengalir dari Ruang Buncah (Mawar Safei, 2015); Taman Percakapan (Shamsudin Othman, 2006); Diari Seorang Jururawat (Aminah Mokhtar, 2005); dan Nun Bulan (Rosli K. Matari, 2021).

Kredit Foto: Hanafi Mohd Yusof
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi