Diterbitkan pada 16 Januari 2026, 09:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sebagai penerima SEA Write Award (Malaysia) 2024, Roslan Jomel mencatatkan pengalamannya menerima anugerah sastera berprestij dari negara gajah putih pada bulan Disember tahun lalu.

Adakah saya sememangnya layak untuk menerima anugerah sebesar ini?

Sometimes the quilts were white
For wedding, the design
Made up of stitches and the
Shadows cast by stitches.
And the quilts for funeral? How do
You sew the night?

Petikan di atas merupakan sajak karya Michael Longley yang didedikasikan kepada penyair Maya Angelou yang meninggal dunia pada 28 May 2014.

Benar, segalanya kelihatan cantik, mempesona, fenomenal, dan menakjubkan ketika waktu malam. Malam menjadikan yang biasa kelihatan menawan. Matahari terbenam. Langit umpama sebuah kanvas lukisan yang disapu dengan pemandangan misterius dan sudah tentu lampu-lampu disusun berwarna-warni menatakan kesan ekstravaganza untuk menyerlahkan nuansa suasana malam. Umpama mimpi. Sehingga kita lupa senario membosankan, menyeksakan dan menjerutkan fikiran pada siang hari, kerana suasana malam bagai berus magis, memadam visual kasar, hodoh, kejam, dan brutal dari pandangan mata. Inilah anehnya planet bumi.

Bersama-sama Hafizah Iszahanid, setelah menerima Plak SEA Write  Award daripada YTM Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya.

Pada pagi 1 Disember 2025, jam 11.00 pagi, bertempat di Anjung Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur, Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari mengumumkan keputusan dua pengarang Malaysia yang dinilai oleh barisan panel untuk menerima SEA Write Award (Malaysia) untuk tahun 2024 dan 2025. Tiada drama, kontroversi dan spekulasi sepanjang sesi media massa. Saya (2024) dan Hafizah Iszahanid (2025) telah dipilih mewakili Malaysia sebagai pengarang yang bakal diundang ke Thailand untuk menerima anugerah ini dalam kediaman diraja di Sukhotai Palaca, Bangkok. Selepas duduk dengan tenang di kerusi depan, menghadap para hadirin, juruacara menjemput untuk memberi sepatah dua kata sebagai penerima. Detik itu ialah suatu babak yang tidak ingin dikenang.

Adapun fiksyen, bak kata Juan Gabriel Vásquez, penulis Colombia, ialah seni yang berkeupayaan membebaskan pembaca daripada perspektif terhad tentang kehidupan, ada beberapa perkara yang tidak mampu diungkapkan melalui perkakas lain. Hanya sastera yang lebih ampuh menyelami hati nurani manusia. Tidak perlu segulung ijazah dan pengiktirafan setinggi peringkat Hadiah Nobel untuk mengerti betapa karya sastera lebih berkesan menyelami fabrik sosial berbanding laporan akhbar atau buku akademik tentang kajian kemasyarakatan. Sajak “Sungai Mekong” karya Latiff Mohidin membuktikan betapa karya seni lebih hidup menggambarkan konflik yang berlaku dengan perantaraan metaforanya.

Sastera masih wujud sehingga sekarang kerana semakin bertambah pengarang yang berkecimpung dalam kerja penulisan dan mengapresiasi kesusasteraan. Pengarang terus dan terus menulis, bukan semata-mata untuk membebaskan diri daripada kerosakan dunia semasa, tetapi kesusasteraan memanggil mereka dari dalam sepanjang masa. Realiti yang berlaku tidak semestinya patuh kepada penulisan lurus. Maka, teknik penulisan yang lebih canggih dan mendobrak naratif umum dicipta daripada tangan seniman. Sebuah karya seumpama Naratif Ogonshoto tidak kalah kualitinya dengan novel One Hundred Years of Solitude oleh Gabriel Garcia Márquez. Biarpun semakin diketepikan dan disingkir hingga jauh terperosok ke belakang, kesusasteraan tetap berdiri teguh kerana akarnya tertanam dalam sanubari sesebuah bangsa.

Buku cenderamata yang disediakan oleh pihak penganjur SEA Write di Thailand, menampilkan biodata dan secebis karya saya, berserta dengan terjemahan Inggeris dan Thainya.

Betapa kompleksnya jalinan urat emosi. Belum pun selesai menzahirkan rasa terima kasih dan penghargaan kepada pihak penganjur, kerajaan Thailand, DBP dan para panel penilai yang memilih kerja penulisan saya, bayangan kepedihan sepanjang fasa penulisan merenggut ulu jantung. Kekal dengan minat pada kesusasteraan bukanlah pengalaman yang menyenangkan sepanjang masa, apatah lagi apabila terlibat dengan serius sebagai pengarang. Perasaan saya kosong pada pagi itu. Adakah saya sememangnya layak untuk menerima anugerah sebesar ini? Demikian insiden yang serupa berlaku, sewaktu Hafizah Iszhanid mengambil tempat di rostrum. Dia juga tumbang dibadai perasaan, menangis dan terhenti seketika disangkut keharuan. Ada suatu kenangan berharga yang mungkin dikenang oleh Hafizah Iszahanid, individu yang menjadi inspirasi menjelma dalam fikirannya sepanjang kerjaya sebagai pengarang. Sepatutnya kami gembira. Bukan anugerah itu yang mendorong saya dilentur emosi. Tidak sama sekali. Namun suatu pengalaman peribadi yang tidak mungkin mampu dijelaskan secara harfiah. Biarlah hal itu disimpan dalam dan terus berada di tempat yang tersembunyi. Saya tidak terkejut dengan pemilihan saya sebagai penerima.

Sememangnya, saya tidak pernah berharap dengan anugerah sebesar itu jika hendak diukur pada kualiti kerja kepengarangan. Malahan berasa malu. Bayangkan, nama-nama penerima sebelum ini, misalnya sekadar contoh, Sasterawan Negara (SN) Anwar Ridhwan, SN Usman Awang, SN Shahnon Ahmad, SN A. Samad Said, dan SN Muhammad Haji Salleh. Saya? Masih terlalu kecil dan belum menyumbang apa-apa yang bermakna kepada khazanah kesusasteraan negara. Malahan, buku-buku dihasilkan, sangat jarang diperkatakan.

Saya sangat berharap diusahakan penterjemahan karya-karya para penerima Anugerah SEA Write yang lain ke dalam bahasa Ibunda masing-masing.

Pada 15 Disember 2025, rombongan dari Malaysia, saya ditemani oleh isteri, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera DBP, YBrs. Encik Abang Haliman Abang Julai dan Hafizah bersama-sama suaminya, berada di Terminal Lapangan Terbang KLIA 1 untuk terbang ke Bangkok, Thailand. Sebagaimana dijadualkan melalui pernyataan rasmi kiriman e-mel oleh pihak penganjur dari Thailand, kami menginap di hotel yang disediakan, Renaissance Bangkok Ratchaprasong. Beberapa buah buku tulisan sendiri dibawa yang nantinya hendak diberikan kepada rakan-rakan pengarang penerima Anugerah SEA Write. Demikian saya berharap untuk membaca buku-buku daripada para penerima yang lain. Hanya dengan pertukaran hasil kerja penulisan, ikatan sastera diperteguhkan. Saya sangat berharap diusahakan penterjemahan karya-karya para penerima Anugerah SEA Write yang lain ke dalam bahasa Ibunda masing-masing.

Hotel yang kami inap, Renaissance Bangkok Ratchaprasong, yang terletak di kawasan elit bandar raya Bangkok.

Buku karya Syed Farid Alatas, Hegemoni dan Kemandirian Ilmu, memang dicadang untuk dihadiahkan kepada Martin Suryajaya, penerima dari Indonesia. Saya mengikuti tulisan-tulisan beliau yang menjurus khusus pada kupasan teori sastera dan falsafah melalui capaian internet. Hujah-hujahnya kontemporari dan mencabar. Sudah tentu, saya juga meluaskan bacaan daripada beberapa penulis penting Indonesia yang lain. Tidak terhad dalam bidang kesusasteraan semata-mata. Malangnya, kerana keterbatasan bahasa, saya tidak mampu mengikuti perkembangan sastera di Mynmar, Laos dan Vietnam. Kecuali, andai ditulis dalam bahasa Inggeris. Kepada Ralph Lorenz Gapac Fonte, penerima SEA Write Award dari Filipina, saya memberitahunya bahawa di Malaysia, Jose Rizal bukanlah nama asing buat cendekiawan tempatan. Dan saya juga melahirkan kekaguman kepada pengarah filem seperti Lav Diaz dan Lino Brocka serta Brillante Mendoza.

Hadiah daripada Ralph Lorenz Gapac Fonte, buku puisinya, Dati Ritong May Dagat dengan terjemahan Inggerisnya, Here Once Was An Ocean.

Pesawat mendarat dengan selamat di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok, sekitar jam 3.00 petang dan wakil pihak penganjur Thailand sedia menunggu untuk menyambut tetamu. Mujurlah salah seorang daripada mereka boleh berbahasa Melayu. Sawadeekap. Sebaik-baik sahaja lolos daripada kesesakan di terminal, kami menaiki van yang disediakan untuk menuju ke perkarangan Iconsiam, zon ekonomi dan pembangunan yang turut berdiri sebuah pusat membeli-belah yang moden. Tempat ini mengingatkan saya dengan situasi meriah di hadapan Pavilion Bukit Bintang. Sempatlah juga saya menyelinap masuk ke dalam pusat membeli-belah itu dan membeli roti pisang bersalut Nutella dan teh ais. Sambil menjamu mata dengan persekitaran kosmopolitan, di situlah kami menunggu kehadiran beberapa pengarang dari negara-negara serantau. Janggal, kekok namun santun, sebagaimana tipikal watak orang Timur. Ya, kami berkomunikasi, mahu tidak mahu, dalam bahasa Inggeris yang berterabur demi menyatukan kemajmukan bahasa.

Iconsiam, mercu tanda baharu kota raya Bangkok. Seperti TRX, zon ekonomi ini turut menempatkan sebuah pusat membeli-belah yang moden dan sofistikated.

Seorang demi seorang, bersama-sama dengan pengiring memunculkan diri. Masing-masing memperkenalkan diri. Nama, negara dan genre yang diceburi. Tema apa yang ditulis dalam naskhah. Sosial, cinta, generasi, dan sahsiah? Atsawut Aupati menjadi individu paling sibuk mengatur, mengurus dan mengawas setiap jadual agar berjalan dengan lancar. Tidak semuanya mengerti bahasa Inggeris. Sementara itu, Prasertsak Padmarid, penerima tahun 2024 dari negara tuan rumah, doktor gigi yang menulis cerpen dan novel, ternyata peramah dan mesra.

Bersama-sama pegawai urus setia Atsawut Aupati (kanan), yang dicuit oleh para teman penulis sebagai kembar dari Thailand.

Malam pun menjelang, suasana yang tadinya nampak nyata, berpindah ke suatu panorama yang lebih mengasyikkan. Jumlah wakil pengarang negara-negara serantau dikumpul lalu dipotret, sebelum dijemput masuk ke feri menyusuri Sungai Chao Phraya dengan pemandangan di sepanjang tebing yang memukau dan bergemerlapan. Mata bagai disihir. Makan malam sudah, kini kami dipersembahkan pula tarian dan nyanyian di atas feri. Fantastik, maksud saya, kecanggihan menara-menara dan istana yang seolah-olah dibina untuk tatapan para pelancong dari atas feri. Idea yang bernas.

Turun sahaja dari feri, kami dibawa ke hotel. Saya yakin semuanya kepenatan. Syukur, akhirnya kami dibawa ke hotel, demikian kata Dorothea Rosa Herliany, penyair wanita dari Indonesia yang begitu anggun dengan busananya. Lega, masa untuk berehat dan membersihkan diri. Apa yang tadinya riuh dan bingit di atas feri, kembali senyap, terasing dan tertutup di dalam bilik hotel yang mewah. Maka, di sinilah kediaman sementara buat saya. Bersih dan rapi. Jika tirai bilik disingkap, maka terbentanglah sebahagian pemandangan di tengah bandar raya Bangkok. Cermin membiaskan profil saya. Sebagaimana watak utama dalam cerpen “The Dead” karya James Joyce, saya berasa rendah diri. Apa yang saya lakukan di sini? Wakil sasterawan Malaysia? Tidak sedetik pun rasa bangga menyelubungi saya, namun beruntung, bukan selalu berpeluang singgah ke negara luar secara percuma. Dilayan dengan istimewa, bagai VIP. Namun beban kesusasteraan, sudah tentu meminta lebih daripada sekadar menulis fiksyen ringkas dan sajak untuk siaran media tempatan. Kononnya.

Pemandangan bandar raya Bangkok dari jendela berkaca hotel.

Selama tiga hari dengan jadual yang padat, saya dan beberapa pengarang penerima SEA Write Award menghuni di situ buat seketika untuk berbicara tentang sastera dan kerja penulisan masing-masing. Tiada riak angkuh pada wajah masing-masing. Kami hanya peminat kesusasteraan, bukan sekelompok konglomerat berpengaruh. Pada 16 Disember 2025, tarikh bersejarah, selepas bersarapan seawal jam 6.00 pagi, kami digesa bertolak awal ke Sukhotai Palace, jam 7.00 pagi untuk membuat semacam latihan raptai. Kami ditunggu oleh beberapa urus setia yang bertanggungjawab memandu kami memahami budaya dan adat istana. Bukan sembarangan tingkah.

Dengan penuh fokus dan tekun, kami menghafal etika serta protokol khusus sewaktu berhadapan dengan YTM Puteri Sirivannari Nariratana Rajakanya. Baginda akan menyampaikan plak kepada para penerima SEA Write Award tahun 2025. Alangkah mendebarkan, jika saya tersilap dan terlupa latihan yang diajar. Maka, berkali-kali kami diberi panduan bagaimana memberi penghormatan kepada Puteri Sirivannavari. Saspens. Separuh hidup saya terhenti sementara.

Siwakarn Patoommasoot (kanan) setelah menerima Plak SEA Write Award 2025 daripada YTM Puteri Sirivannavari. Di kirinya seorang urus setia di  Sukhotai Palace.

Sekitar jam 11.00 pagi, YTM Puteri yang ditunggu-tunggu melangkah masuk dan tibalah masanya nama-nama dipanggil untuk menghadap YTM Puteri dan menyambut plak. Bertuahnya, giliran saya ketiga, selepas penerima negara Brunei Darussalam, iaitu Nur Hamizah binti Haji Samihon dan Martin Suryajaya dari Indonesia. Betapa ringkas dan mudahnya. Lancar dan sempurna. Tidaklah secemas yang dibayangkan oleh kami dalam ruangan tempat penyampaian plak itu. Selesai menerima plak, kami dibawa ke ruangan lain pula pada sesi bergambar dengan barisan penerima dan sudah tentu bersama-sama Puteri Sirivannavari. Hampir terlupa, semasa acara penyampaian plak, pihak media turut hadir merakam untuk siaran televisyen Thailand. Sebaik sahaja YTM Puteri Sirivannavari bangkit dari kerusi dan meninggalkan kami di ruangan tersebut, acara penuh bersejarah itu pun selamat dilaksanakan. Bagai reben digunting, maka, rasmilah kami sebagai penerima SEA Write Award bagi tahun 2024 dan 2025.

Acara belum berakhir di situ. Jam 5.30 petang pula kami perlu bersiap sedia untuk hadir ke majlis Makan Malam Gala, khas buat penerima SEA Write Award 2025 di Ballroom hotel tempat penginapan. Jam 6.00 petang, majlis pun bermula. Selesai persembahan nyanyian The Power of Asean yang dilantunkan dengan penuh semangat, pengerusi urus setia penganjur SEA Write Award, YBrs. Khunying Dhipavadee Meksawan menyampaikan teks ucapan. Apa yang saya fahami daripada inti teks ucapan beliau bahawa sastera masih penting untuk melestarikan rasa kemanusiaan di sebalik kepesatan kemajuan dunia ketika ini. Ucap utama pun disudahkan, kemudian secara aturan, kami naik seorang demi seorang ke pentas untuk menerima hadiah berbentuk wang yang diserahkan sendiri oleh Khunying Dhipavadee Meksawan. Berdasarkan atur acara program pada majlis malam itu, saya dijemput membaca sajak bertajuk “Paku”, maka, sekali lagi saya naik ke atas pentas lalu menyampaikan sajak itu dalam bahasa Ibunda.

Rupa-rupanya, sastera dan karyawan masih diberikan sanjungan di tengah pusaran kehidupan serba materialisme …

SEA Write Award ialah singkatan The South East Asia Write Award. Diwujudkan oleh kerajaan Thailand sejak tahun 1979 yang bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan tertinggi kepada penulis, sasterawan dan seniman dari negara Asia Tenggara. Penetapan genre sastera digilirkan mengikut tahun dan ditentukan oleh Sekretariat Tetap SEA Write Award di Thailand. Tujuan-tujuan utamanya sudah tentu mewujudkan kesedaran dan pemahaman yang luas tentang kekayaan sastera dalam kalangan penulis negara Asia Tenggara. Selain memberikan penghargaan dan pengiktirafan kepada bakat-bakat kesusasteraan negara Asia Tenggara. Dan paling istimewa, menghimpunkan, mempromosikan dan mengetengahkan para karyawan Asia Tenggara yang berpotensi ke peringkat antarabangsa dalam satu program yang berprestij. Miguel Syjuco dan Eka Kurniawan misalnya, merupakan dua pengarang dari ASEAN yang sudah menempatkan diri mereka di persada antarabangsa.

Pada majlis Makan Malam Gala di Ballroom hotel.

Jika ada pertemuan, sudah tentu perpisahan sebagai pemanisnya. Pada 17 Disember 2025, para peserta berkumpul di lobi hotel dan van bersedia menghantar ke lapangan terbang untuk kembali ke tanah air masing-masing. Tiga hari bagaikan terlalu singkat dan saya belum puas merayap di jalan dan lorong yang sibuk di Bangkok. Kawasan hotel yang didiami ternyata sebuah wilayah elit. Pusat membeli-belah bertaraf mega boleh dihampiri dengan hanya berjalan kaki. Stesen LRT juga berdekatan. Saya hanya sempat membeli beberapa helai kemeja-T di dalam terminal. Apa yang terjadi sesudah kami meninggalkan Bangkok dengan plak di tangan? Adakah kami akan berhubung sebagaimana baru-baru berkenalan? Sewaktu bertemu dengan penerima Anugerah SEA Write dari Mynmar, U Ohn Maung, beliau mengaku pernah diundang membaca sajak di Malaysia. Riak wajahnya menampakkan rasa senang kerana sajaknya pernah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

Dalam pesawat menuju ke Kuala Lumpur, saya masih berasa kosong dan tidak percaya bahawa Bangkok baru sahaja ditinggalkan. Ucapan terima kasih terasa tidak memadai. Rupa-rupanya, sastera dan karyawan masih diberikan sanjungan di tengah pusaran kehidupan serba materialisme. Deru angin di atas feri yang menyusuri Sungai Chao Phraya, kemanisan roti pisang, perbualan dengan beberapa penerima anugerah, dan kemurahan hati pihak penganjur yang memberikan layanan istimewa kepada para karyawan, bagaikan susunan budi dalam sebuah puisi. Inilah sumbangan Asia Tenggara kepada manusia seni Asia Tenggaranya. Dan tugas sasterawan adalah untuk membalas balik apa-apa yang telah dianugerahkan. Tiada cara lain, selain dengan menghasilkan karya-karya sebagus mungkin untuk membuktikan bahawa kesusasteraan di rantau juga sama tinggi nilainya di mata dunia.

Terima kasih Malaysia dan terima kasih Thailand!

_________________________

Roslan Jomel penerima SEA Write Award (Malaysia) 2024. Beliau berasal dari Kuching dan kini menulis di tengah-tengah bandar raya Kuala Lumpur.  Sebagai pengarang autodidact, beliau menghasilkan esei, puisi dan cerpen. Karya-karyanya boleh dibaca dalam pelbagai media arus perdana selain tersiar dalam talian.

Kredit Foto: Roslan Jomel
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi