Diterbitkan pada 6 Februari 2026, 14:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bulan Februari merupakan bulan Roslan Jomel, penerima SEA Write Award (Malaysia) 2024 dan Karyawan Bulan Ini Khas Dewan Sastera Bil. 02/2026. Suyuthi Yusuf dan Fadli al-Akiti, sidang editorial majalah sastera dari Bahagian Majalah menemu ramah pengarang berbakat besar ini secara dalam talian. Ikuti pengalaman, pemikiran dan idiosinkrasi Roslan dalam wawancara khas Dewan Sastera (DS) dalam talian kali ini.

Semakin membumi tema dan persoalan penulisan, semakin sejagatlah sifatnya. Tidak ada sebabnya pengarang tempatan perlu menulis seperti pengarang yang sepanjang hayatnya menetap di London agar terlihat universal.

DS: Dalam sejarah kepengarangan saudara, karya-karya awal saudara boleh dikatakan bersifat absurd dan mungkin tidak berlebihan untuk mengatakan bersifat garda depan. Akan tetapi, dengan karya mutakhir saudara dilihat berbeza sekali, seolah-olah ada lencongan terhadap gaya penulisan. Mengapa?

Roslan: Saya anggap hal itu sebagai trajektori dalam fasa penulisan. Waktu awal penulisan, eksperimental (terutama genre cerpen) dipilih sebagai jalan lain untuk dilihat aneh, berbeza dan lari daripada kebiasaan. Ia tempoh permainan sementara. Absurd atau eksperimental sekadar dekorasi saja. Garda depan? Saya rasa karya saya belum mencapai apa yang dipanggil sebagai avant-garde, tetapi Faisal Tehrani sudah mencapai tahap sebegitu. Absurd hanya indah apabila pengarang faham arah dan falsafah penulisannya. Ia bukan kerja main-main, tetapi diisi dengan ilmu dan wacana. Sedangkan pada hakikatnya, saya belum begitu mahir menulis dengan meyakinkan.

Sekarang, eksperimental dilihat hanyalah sebagai satu kaedah untuk menutup kelemahan seseorang pengarang melindungi kegagalannya dalam menghasilkan naratif yang benar-benar bagus. Saya ambil contoh, novel Man in the Dark karya Paul Auster, saya tidak anggap novel itu sebagai naskhah eksperimental. Walaupun plotnya berjungkir balik, saya yakin, ramai pembaca boleh mengikuti jalan penceritaan dalam novel itu. Itulah bezanya naskhah yang dihasilkan oleh pengarang yang sudah stabil dan lain pula kesannya yang ditulis oleh pengarang yang mahu dilihat seolah-olah menghasilkan karya pelik dan eksperimental. Semakin teguh kemantapan penulisan seseorang, semakin kuatlah aspek naratologinya.

Pada masa kini, saya lebih cenderung pada teknik dan kaedah penyampaian yang selari dengan apa yang berlaku dalam jiwa dalaman sendiri. Saya tidak percaya pada pandangan bahawa kononnya karya yang sukar dan absurd memperlihatkan kehebatan. Ternyata, semakin sederhana semakin terserlah keluarbiasaan sesebuah naratif itu. Lihat sahaja karya-karya Pramoedya Ananta Toer, The Outsider Albert Camus, Olenka Budi Darma, Hujan Pagi A. Samad Said dan Naratif Ogonshoto Anwar Ridhwan. Isu penerokaan dalam naskhah-naskhah yang disebut itu sungguh berat, kompleks, sofistikated dan menjurus kepada krisis makna kehidupan manusia. Gaya bahasa yang digunakan oleh tokoh-tokoh besar itu jernih dan komunikatif, tapi berlapisan makna, membuktikan standard kematangan seseorang pengarang yang sudah menemui tujuan menulisnya, dan bukan lagi masa untuk memancing perhatian pembaca dengan aneka gaya pelik keanak-anakan.

DS: Saudara juga dilihat bukan sahaja menulis karya kreatif, tetapi turut sebenarnya menulis esei. Terdapat juga pembaca yang beranggapan bahawa saudara mempunyai gaya yang tersendiri dalam penulisan puisi. Sebagai pengarang yang lebih dikenali dengan prosa, mengapa menulis puisi?

Roslan: Saya sebenarnya bermula dengan sajak. Saya menulisnya di atas buku latihan sekolah. Seorang kawan karib dalam kelas (sewaktu tingkatan lima), Abang Noorzalizan, mengatakan bahawa dia menghormati tulisan-tulisan kecil saya itu. Saya tersentak dan seolah-olah melihat ranah kesusasteraan sedang menunggu di masa depan. Bagi saya, genre sajak amat istimewa. Tidak semua sajak yang baik mampu dihasilkan oleh penyair, walau sebesar mana pun nama dia dalam bidang kesusasteraan. Sebuah sajak tulisan Prof. Muhammad Haji Salleh bertajuk “Decoud” paling mengesankan jiwa dan mencetuskan keghairahan untuk sama-sama menulis sajak. Sajak itu menyelongkar ke dalam kalbu dan rasa bersalah dan terhina individu, sehingga mendorongnya melemaskan diri ke dalam laut. Rumit dan kompleksnya jiwa seseorang manusia.

Saya pernah terbaca suatu kenyataan, kematangan seseorang penulis dalam genre prosa ditentukan oleh kejayaan atau keupayaannya menulis sajak yang baik. Jika masih sahaja sajaknya lintang-pukang, ketara pengarang itu belum mahir menyusun bahasa dan fikirannya. Sajak atau mana-mana genre, yang tidak memuatkan persoalan-persoalan besar tetap menarik dan mencuit perhatian jika disorot dari perspektif berbeza dan baharu. Tidak semestinya penyair hanya perlu menulis tentang manusia sakit jiwa sahaja agar terlihat menakjubkan. Bagaimana pula dengan aspek pembangunan atau perkakas komunikasi dan kesannya terhadap masa depan manusia dan alam fauna?

DS: Saudara dilihat mengagumi Sasterawan Negara Prof. Muhammad Haji Salleh, malah sering mengutip petikan daripada bukunya dalam tulisan esei saudara. Siapakah Muhammad Haji Salleh di mata saudara?

Roslan: Bagi saya, Prof. Muhammad Haji Salleh telah memecah dopamin dalam ekspresi genre persajakan tanah air yang sebelum ini agak melodramatik dan berlebih-lebihan melimpahkan emosi. Bahagian yang samar-samar dahulu diterangkan dengan suluhan intelektual. Sajak-sajak beliau diperteguhkan dengan hujah, kritikan dan renungan dari dimensi kosmopolitan. Tidak lagi sebagai penghukum. Segala yang berlebihan, gejolak emosi dan nostalgia – diberi keseimbangan yang lebih terkawal, rasional dan bernuansa serius dan mendalam. Bukan lagi marah-marah dan kabur, seiring dengan fasa kemajuan dalam negara yang menuju kepada masyarakat yang mementingkan ilmu dan progresif. Sajak-sajak Muhammad Haji Salleh mempengaruhi gaya persajakan beberapa penyair tanah air yang mengutamakan inti dan gagasan. Tidak selamanya dilarut oleh perasaan mentah remaja yang baru mengenali dunia.

Manakala dalam bidang esei kritikan, Muhammad Haji Salleh membuka seluas-luasnya horizon sastera, memperkenalkan tokoh-tokoh penulis besar dunia, dari Amerika Selatan sehingga Jepun, yang meninggalkan impak dan menjadi perintis pada gaya penulisan terkini. Esei-esei beliau ditulis dengan pandangan yang luas dan berwawasan jauh untuk mengangkat aras kesusasteraan. Kritikan-kritikan beliau juga tidak terlalu akademik dan kaku, malah lebih berjiwa dan merasuki emosi dan fikiran pembaca dengan penggunaan ayat-ayat yang impresif. Sanggahan-sanggahan beliau tajam dan berterus terang kerana ini bukan masanya untuk memaniskan kenyataan yang sudah pun dikotori oleh tangan manusia-manusia itu sendiri.

Saya ingin menyelitkan nama Wan Nor Azriq di sini, kerana banyak jasanya yang telah memberi beberapa nama pengarang hebat luar negara kepada saya. Daripada Fernando Hernandez, Cesar Vallejo kepada Han Kang. Apa yang paling mengesankan saya adalah apabila Prof. Muhammad pernah memetik kenyataan Cecil Rajendra, bahawa para pengarang tanah air begitu ghairah dan terpesona dengan hadiah-hadiah kecil dalam tanah air sehingga terlupa bahawa sastera antarabangsa telah semakin pesat berubah dan canggih berbanding apa yang dicapai oleh segelintir pengarang tempatan. Pedas. Kenyataan demikian menggugah saya secara mendalam dan menyedarkan diri akan kelemahan-kelemahan yang ada dalam naskhah tulisan sendiri. Sastera yang mendewasa ialah sastera yang diperkuatkan oleh bakat kreativiti daripada peribadi yang besar jiwanya, terbuka pada kritikan dan tidak tunduk pada anasir luar yang mencemarkan prinsip tujuan keseniannya. Ingin saya tambahkan di sini, saya berasa senang mendampingi beliau. Penuh ilmu kesusasteraan tetapi gemar berseloroh dan itulah yang menjadikan beliau mudah didekati.

DS: Dalam pembacaan dan penghayatan, terdapatnya usaha terjemahan. Terjemahan ialah suatu proses kita menyelami dan memahami sesebuah teks. Hal ini amat jelas dalam proses pemahaman Prof. Muhammad Haji Salleh menyelami sesebuah karya. Adakah saudara turut menterjemah karya?

Roslan: Tidak.

DS: Selain saudara dan Hafizah Iszahanid, agak-agaknya siapakah penulis sebaya saudara yang juga layak menerima SEA Write Award?

Roslan: Maaf, saya keberatan untuk memberi nama-nama penulis. Mungkin saya hanya dapat cadangkan ciri-cirinya, yang sudah tentu penulis-penulis yang lebih cerdas, bagus, matang dan terkehadapan penulisannya berbanding saya, kerana mereka membawa imej kesusasteraan kontemporari Malaysia. Bukan dipilih kerana namanya yang terkenal semata-mata. Dia tidak semestinya presiden persatuan penulis, sering muncul di atas pentas membentang kertas kerja dan aktif membaca sajak di sana sini, tetapi pengarang yang benar-benar berkredibiliti, berbakat unik, mempunyai keaslian pemikiran dan besar jiwanya untuk kesusasteraan berbanding semata-mata demi tujuan membanggakan kedudukan peribadi.

DS: Siapakah penulis Malaysia yang underrated atau “kurang dipandang” yang kita harus tahu?

Roslan: Hizairi Othman.

DS: Saudara juga dilihat selalu memerhatikan sastera serumpun, terutamanya sastera Indonesia. Adakah kita ketinggalan jauh berbanding mereka ataupun sebenarnya kita lebih terkehadapan dari segi kepelbagaian dan mutu karya?

Roslan: Saya tidak melihat sastera kita ketinggalan daripada mereka. Jika mereka memiliki generasi baharu yang berbakat, bahkan kita juga ada sekian jumlah pengarang yang berpotensi. Jika Indonesia memiliki Eka Kurniawan, kita berbangga dengan Tan Twan Eng. Setiap generasi, ada sahaja pengarang berbakat. Malaysia mempunyai Raihani Mohd. Saaid, Syafiq Ghazali, Saat Omar, Wan Nor Azriq, Faisal Tehrani, Saharil Hasrin Sanin dan Azman Hussin sebagai contoh. Tetapi dari segi gaya, pengungkapan ekspresi, bahasa, teknik serta variasi tema, jelas sastera Indonesia mempesonakan. Sajak-sajak mereka lincah dan tidak terlalu baku. Bahkan melangkaui standard artistik yang lazim dalam fikiran kita. Tema-tema kekalutan jiwa dalam Orang-orang Bloomington begitu mengesankan dan solid. Namun tidak kalah juga pelukisan dilema dan konflik moral kewartawanan dalam Hujan Pagi. Seimbanglah. Tidak mengapa jika pengarang Indonesia tidak begitu mengenali sasterawan-sasterawan kita. Suatu kelebihan kepada karyawan kita kerana rajin mengikuti perkembangan sastera di luar negara. Hal itu akan memberikan manfaat dan kelebihan pada kerja kesusasteraan mereka juga. Saya lebih suka melihat sastera secara menyeluruh.

DS: Jika menulis cerpen, bagaimanakah saudara mendapatkan idea?

Roslan: Pembacaan, pemerhatian serta pengalaman peribadi. Sepanjang pembacaan saya, proses awal penulisan sesebuah naskhah beberapa pengarang hebat dunia, saya fikir, bermula daripada dua aspek asas itu. Tidak mungkin daripada janaan AI. Atas sebab itu, terpulanglah pada daya kreativiti, inovasi dan tahap intelektual seseorang pengarang untuk menulis, sesuai dengan cita rasa peribadinya. Bukan mengikut aliran popular semata-mata kerana ingin dilihat berlainan tanpa mempunyai pengetahuan tentang sejarah dan akar umbi asal bentuk kaedah penulisan daripada para pengarang terdahulu. Semakin membumi tema dan persoalan penulisan, semakin sejagatlah sifatnya. Tidak ada sebabnya pengarang tempatan perlu menulis seperti pengarang yang sepanjang hayatnya menetap di London agar terlihat universal.

DS: Antara penulisan cerpen, esei dengan puisi, yang manakah yang paling mencabar saudara dan yang manakah yang paling menyenangkan jiwa saudara? Yang manakah yang paling saudara berpuas hati setelah selesai menulisnya?

Roslan: Kesemuanya mencabar. Saya tidak pernah berpuas hati dengan setiap karya yang sudah siap. Disebabkan itulah kita memerlukan kritikawan yang jujur, berani dan berilmu, yang ditimba secara sistematik di menara gading untuk menegur beberapa kekurangan dalam karya. Tulisan dan kajian mereka lebih autentik dan bersifat ilmiah. Sarjana-sarjana yang lebih berautoriti hasil daripada pengetahuan tunjuk ajar pakar sastera. Bukannya kritikawan pseudo yang dilahirkan secara segera melalui peraduan. Saya menyukai tulisan Zaen Kasturi, Lutfi Ishak, dan terkini Muhammad Nazreen Shahul Hamid. Pada ketika ini, kita sukar untuk melihat yang mana satu kritikan tulen dan sanjungan melulu. Seperti apa yang sudah disarankan oleh Prof. Muhammad Haji Salleh masih tergendala sehingga hari ini.

DS: Dalam proses penulisan, pembacaan juga penting. Mungkin, dalam proses saudara menulis, saudara juga menghayati karya orang lain, seperti kutipan-kutipan nama dan idea yang muncul dalam karya saudara. Adakah kutipan ini muncul bersama-sama sewaktu proses penulisan atau saudara sudah merancang sejak awal lagi?

Roslan: Sekiranya saya menulis esei, sudah tentu saya sediakan buku-buku rujukan yang menjadi pilihan peribadi untuk mengukuhkan lagi hujah dan pandangan. Selain sumber rujukan, gaya penulisan esei juga haruslah segar dan memikat. Dan itulah mustahaknya sentuhan artistik yang diperoleh melalui pengalaman sepanjang penulisan sajak dan cerpen. Bukan sebagai memperagakan koleksi bacaan dan sekadar memetik kata-kata daripada tokoh-tokoh hebat agar terlihat dahsyat. Saya membaca pemikiran dan gagasan mereka dan menilainya dari kaca mata saya sebagai peminat kesusasteraan. Adakah pandangan mereka konstruktif atau iri hati semata-mata? Sebenarnya, apa yang dikritik oleh beberapa pengarang terdahulu masih berlaku pada masa kini. Pengarang yang tidak pun berbakat istimewa tetapi disanjung atas sebab-sebab tertentu. Tulisan-tulisan yang kononnya kritikan namun apabila dibaca, hanyalah memuatkan pendapat sarjana itu dan kenyataan sarjana ini. Di mana keaslian suaranya? Aspek itulah yang ditegur oleh Budi Darma.

DS: Adakah saudara akan menulis novel suatu hari nanti?

Roslan: Belum pasti. Sedangkan menulis sebuah cerpen pun mengambil masa. Inikan pula novel. Jika suatu hari nanti saya menulis novel, hal itu bukan kerana kemestian dan untuk membuktikan apa-apa. Saya sering mendapat inspirasi setiap kali membaca cerpen-cerpen Borges. Tidak dapat dibayangkan kalau Borges mengarang novel tentang realiti dan ilusi pada suatu masa, harimau biru, pertarungan di kelab, duit siling, kitab-kitab klasik, satu peribadi yang memiliki dua jasad dan lingkaran labirin yang menuju ke alam niskala di bawah bilik di tingkat bawah rumah. Tentu menggerunkan berbanding apa yang ditulis oleh Carl Sagan!

DS: Apakah yang diperlukan lagi daripada sastera kita? Apakah usaha yang belum lagi tercapai?

Roslan Jomel menghiasi kulit hadapan majalah Dewan Sastera Bil. 02/2026.

Roslan: Soalan yang baik itu sepatutnya ditanya kepada kita semua, semua golongan penulis. Apakah usaha yang mampu dilakukan untuk kita dapat memajukan sastera lagi? Perbanyakkan hadiah dan sayembara setiap tahun dengan ganjaran wang beribu-ribu? Jika karya itu bagus dan tidak kalah kualitinya dengan karya-karya dari negara luar, itu suatu pencapaian yang sudah tentu membanggakan. Usaha penterjemahan hanyalah jalan pintas untuk mengantarabangsakan kerja penulisan, tetapi inti sebenarnya ialah mutu sesebuah karya itu.

Saya tidak dapat membayangkan seseorang pengarang memenangi Hadiah Nobel Kesusasteraan hanya sekadar karya-karyanya diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris, sebagai contoh. Mengalihkan bahasa ibunda ke dalam bahasa asing bukan ukuran bahawa sastera kita sudah berada di persada dunia. Membuat filem dengan aksi tembak-menembak dan kereta kejar-mengejar sebagaimana Hollywood belum tentu dipilih sebagai pemenang di festival filem di Cannes. Jika naskhah itu memang luar biasa dan istimewa, dunia akan mengangkatnya ke tempat yang sepatutnya. Jangan bandingkan apa yang ditulis oleh Rabindranath Tagore dengan penyajak yang masih lagi terperangkap dengan imej, bahasa dan simbol yang tidak keruan.

DS: Apa lagi yang saudara mahu buat di dunia ini sebelum saudara pergi?

Roslan: Pusing satu dunia.

Beli Dewan Sastera Bil. 02/2026 di sini.

Kredit Foto: Mohd Farid Januddin dan Yatt Hasan
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi