Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Dua pengarang terkenal tanah air, Roslan Jomel dan Hafizah Iszahanid, masing-masing dinobatkan sebagai penerima SEA Write Award atau Anugerah Penulis Asia Tenggara dari Malaysia, tahun 2024 dan 2025.
Dalam sidang media yang dipengerusikan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs. Dr. Hazami Jahari pagi tadi yang berlangsung di Anjung DBP, DBP telah menerima sebanyak 23 pencalonan bagi sesi tahun 2024 dan 2025.
Roslan Jomel yang dikenali memberi nafas baharu dalam cerpen kontemporari Melayu berasal dari Kuching, Sarawak dan mula bergiat aktif menulis sejak berusia 18 tahun.
Beliau amat dikenali atas penerokaan dunia realisme magis dan eksperimentasi naratif dalam karya cerpennya. Dalam cerpennya, simbolisme dan metafora digunakan untuk menggambarkan kehidupan sosial semasa yang penuh konflik.
Beliau memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2012 menerusi kumpulan cerpen Selamat Datang ke Malaywood (ITBM, 2012) dan sekali lagi bagi kumpulan cerpen Roden yang Cenderung Terjun dari Atas Bangunan (ITBM, 2018) yang memenangi HSPM 2017/2018.
Roslan turut beberapa kali memenangi anugerah sastera peringkat negeri Sarawak dan Selangor, selain cukup prolifik menulis esei, rencana dan puisi.

Sementara itu, Hafizah Iszahanid, anak kelahiran Chemor, Perak, merupakan wartawan dan editor kanan Berita Harian yang dikenali dengan karya cerpen dan novel yang kaya dengan bumbu feminisme Timur.
Karya Hafizah mula mewarnai landskap sastera tanah air pada era 90-an. Beliau pernah beberapa kali memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan, termasuk bagi novel remaja Deru Angin (2011) dan Tetamu Nanyang (2013).
Novel beliau, Bukan Orangorang (2015) pernah memenangi HSPM 2015/2016. Beliau turut memenangi Hadiah Utama Sayembara Penulisan Kota Buku Dunia Kuala Lumpur bagi novel Kuala Lumpur di Sebalik Bulan (2021) dan Hadiah Kedua Sayembara Penulisan Novel Futuristik GAPENA-DBP bagi novel Tabula Rasa (2021).
Gaya penulisannya memperlihatkan pemikiran tajam, puitis dan berlapis makna dengan citra kemanusiaan yang mendalam.
Dr. Hazami Jahari turut memaklumkan bahawa penerima SEA Write Award kali ini akan menerima pengurniaan annugerah daripada YTM Puteri Sirivannavari Nariratana Rajakanya, Puteri Raja Thailand Maha Vajiralongkorn.
“Majlis pengurniaan ini bakal berlangsung pada 16 Disember 2025, bertempat di Istana Sukhothai, Thailand,” ujarnya.