Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKota Bharu – Para penyair, penulis dan peminat sastera dari Kelantan dan Perlis buat pertama kali akan berpeluang berkombinasi karya puisi melalui antologi puisi yang bakal diterbitkan.
Langkah ini melalui usaha sama pertubuhan intelektual Kelantan, Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN) dan Persatuan Penulis Perlis (3P).

Naib Presiden PERADABAN, Tuan Haji Aminuddin Mamat memberitahu, “Antologi ini bertujuan mengakrabkan ukhuwah sastera dan penulis pada kedua-dua buah negeri ini, di samping menggalakkan kreativiti generasi penulis muda dan menemukan bakat pemula.”
Terang Aminuddin, sumbangan puisi dimaksudkan haruslah sajak yang belum tersiar di mana-mana media.
Had maksimum ialah dua puisi. Tema dan kepanjangan baris bebas. Namun begitu, pihak penyelenggara berhak memilih puisi bagi antologi ini.
Jelasnya lagi, “Puisi hendaklah tidak bersifat propaganda. Namun, takrif propaganda ini dikecualikan daripada maksud landskap keindahan negeri, patriotik, perpaduan, dan kemuhibahan.”
Puisi haruslah, sama ada bersifat nyata atau selindungan, tidak mengandungi unsur bertentangan dengan kerajaan, negara dan undang-undang, sensitif terhadap agama dan kepercayaan kaum, perkauman dan perpaduan, serta adat resam.
Hak cipta kekal sebagai hak milik pegangan penulis dan boleh digunakan semula pada keperluan penulis, namun hendaklah selepas penerbitan antologi tersebut.
Aminuddin memberitahu, tiada bayaran atau kos dikenakan kepada penulis. Demikian juga, tiada bayaran daripada pihak penerbit. Senaskhah antologi ini akan dihadiahkan kepada penulis melalui pertubuhan dan persatuan ini, sebagai penghargaan bagi sumbangan karya terpilih.
Puisi hendaklah ditaip dengan huruf jenis Arial, langkau 1.15 baris dan dalam bentuk Microsoft Word sahaja. Sebarang kiriman dengan jenis fail seperti pdf, jpeg, txt dan sebagainya tidak diterima. Jika ada dua buah puisi, kumpulkan dalam satu fail sahaja.
Di samping maklumat diri: nama penuh, nama samaran/pena (jika ada), no. telefon, alamat pos adalah turut diperlukan.
Terang Aminuddin juga, pihak persatuan, penerbit serta penyelenggara tidak bertanggungjawab pada penulis dan karya, jika berbangkit wujud masalah ciplak, sadur, atau ubah suai, serta hal berkaitannya.
Kirimkan karya kepada [email protected] bagi pihak penyelenggara. Tarikh akhir: 30 November 2024.