Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHafizah Iszahanid membaca Hikayat Raja Babi karangan Usup Abdul Kadir dan menemui keluarbiasaannya dalam sejarah koleksi hikayat Melayu abad ke-18.
Dalam konteks yang lebih besar, keberanian pengarang Hikayat Raja Babi sebenarnya merupakan sebahagian daripada keberanian beberapa pengarang Melayu yang menulis mengenai hal tabu.
Pertama kali membaca Hikayat Raja Babi (HRB), perkara pertama yang terlintas ialah: apakah motivasi Usup Abdul Kadir selaku penulisnya dalam usaha menghasilkan HRB?
Soalan itu muncul kerana HRB ditulis pada tahun 1775 ketika alam Melayu masih kebal dengan feudalisme. Zaman itu masih wujud Kerajaan Melayu, bukan sekadar di Wilayah Malaysia/Indonesia tetapi juga di Mindanao dengan penjajah Eropah masih mengirim surat kepada sultannya, Sultan Fakaruddin menggunakan tulisan jawi. Malah di Tanah Melayu ketika itu, Pulau Pinang masih milik Sultan Kedah.
Justeru, ketika HRB muncul dengan watak putera raja bertubuh seekor babi, hal ini benar-benar menarik perhatian. Usup, dalam helaian awal HRB menuliskan bahawa naskhah itu dihasilkan sekadar bersuka-suka sementara menanti perjalanan dagangnya dari Semarang ke Palembang, maka dia pun memilih untuk “duduklah menyurat dua puluh hari lamanya.”
Namun pada abad ke-18, apakah agaknya jenis keberanian untuk bersuka-suka itu muncul dengan menuliskan perihal pasangan diraja yang melahirkan putera berupa seekor babi?
Walau bagaimanapun, dalam konteks yang lebih besar, keberanian Usup sebenarnya merupakan sebahagian daripada keberanian beberapa pengarang Melayu yang menulis mengenai hal tabu.
Setiap bangsa mempunyai tabu. Tabu bermaksud kepantangan atau hal-hal yang tidak diperkatakan secara terbuka, hinggakan jika anda menyebut atau bercakap mengenainya, anda pula yang menjadi tabu.
Dalam definisi yang lebih bersifat akademik, Sigmud Freud dalam Totem and Taboo (1919) menjelaskan tabu seperti berikut, “For us the meaning of taboo branches off into two opposite directions. On the one hand it means to us sacred, consecrated: but on the other hand it means, uncanny, dangerous, forbidden, and unclean”.
Frued juga mentakrifkan tabu itu bukan larangan daripada tuhan tetapi dibina oleh masyarakat itu sendiri.
Bagi kebanyakan orang Melayu, tabu dan pantang larang sudah menjadi sebahagian kehidupan sehinggakan adakala pantang larang dan tabu dianggap sama. Namun kedua-duanya masih berbeza pada dekad kebelakangan ini, malah jarang-jarang diperkatakan secara terbuka. Hal ini tentu saja berbeza daripada bentuk pantang larang yang misalnya, jangan memancing ikan ketika isteri hamil, bimbang anak dilahirkan sumbing bibirnya.
Secara umum, terdapat tiga tabu paling besar dalam masyarakat Melayu. Tabu tersebut adalah berkaitan dengan feudalisme, mendaulatkan komunisme dan seksualiti. Namun ketiga-tiga isu ini sudah semakin banyak ditulis dan diperkatakan pada waktu semasa, meskipun masih dianggap “menyinggung” tabu masyarakat.
Walau bagaimanapun, dalam konteks HRB, hal ini tampil sebagai teks yang “berlawan” dengan feudalisme. Meskipun ada juga teks sastera sezaman yang mengkritik feudalisme, misalnya dalam beberapa penceritaan mengenai kezaliman Sultan Mahmud Syah bagi memenuhi keinginan seksualnya sehingga sanggup membunuh ahli keluarga Tun Fatimah demi memperisterikannya. Namun begitu, penceritaan itu adalah antara babak daripada keseluruhan bab dalam Sulalatus Salatin.
Hal ini berlainan dengan HRB. Hampir keseluruhan naskhah itu ialah sebuah karya yang menampilkan feudalisme dalam bentuk seekor babi. Hal ini disebabkan feudalisme adalah antara beberapa perkara yang ditakrifkan sebagai tabu dan tidak diperkatakan secara terbuka pada zaman itu.
Secara umum, terdapat tiga tabu paling besar dalam masyarakat Melayu. Tabu tersebut adalah berkaitan dengan feudalisme, mendaulatkan komunisme dan seksualiti. Namun ketiga-tiga isu ini sudah semakin banyak ditulis dan diperkatakan pada waktu semasa, meskipun masih dianggap ‘menyinggung’ tabu masyarakat.
Dalam kalangan orang Melayu, raja-raja merupakan hal yang tidak boleh disentuh. Orang Melayu ialah masyarakat feudal sehinggakan satu ketika, kekuasaan seseorang sultan tidak dikira mengikut keluasan jajahan takluknya tetapi seberapa ramai rakyatnya, seperti yang disebut oleh Anthony Milner dalam Kerajaan (2016).
Orang Melayu satu ketika dulu memperkenalkan diri mereka sebagai “saya rakyat sultan ….”. Anthony Milner (2008) menyatakan bahawa kekuatan seseorang raja Melayu itu diukur berdasarkan berapa jumlah rakyatnya.
Dalam kehidupan orang Melayu juga ada konsep daulat dan derhaka serta ketulahan. Hal ini boleh disusuri dari zaman Demang Lebar Daun, seperti yang dinyatakan oleh Tun Seri Lanang dalam Sulalatus Salatin, seterusnya membawa kepada waadat antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba. Konsep daulat dan derhaka ini disebut oleh ramai sarjana sebagai kunci konseptual pada politik orang Melayu.
Usup Abdul Kadir pula seorang pedagang keturunan khoja. Dia menulis HRB tanpa ada apa-apa motif, sekadar “bersuka-suka” sementara menunggu musim pelayaran dari Semarang ke Palembang. Dia menuliskan naskhah itu dengan niat untuk “menghiburkan hati” dan mahu pembaca mengambil teladan. Bagaimanapun, Raja Babi dalam HRB ialah raja yang kuat sehinggakan tiada raja lain yang berani bertentang mata.
Mengapa hikayat ini dianggap tabu? Untuk tahun 1775, HRB ialah tabu. Sehingga kini, babi itu sendiri merupakan “pantang” bagi orang Melayu dari setiap aspek. Ia binatang jijik, haram dan umumnya penggunaan perkataan “babi” menunjukkan darjah kehinaan yang paling rendah. Ia adalah kata-kata kesat yang boleh dikaitkan dengan pegangan agama. Mazhab Syafie meletakkannya sebagai najis yang berat.
Dalam HRB, seorang putera raja disumpah lahir sebagai babi sehingga menyebabkan ayahandanya berasa malu dan jijik. Akan tetapi, putera babi itu mempunyai satu kemahiran yakni pandai berpantun, kemahiran yang sehingga kini dianggap sebagai kebijaksanaan orang Melayu.
Putera babi itu dibuang ke hutan atas nasihat ahli nujum tetapi kemudiannya, diselamatkan dan dibesarkan oleh istana yang lain. Dia dilayan seperti raja, ada dayang-dayang dan gundik. Meskipun terlahir sebagai babi, Usup tetap menuliskan mengenai Raja Babi itu sebagai seorang yang bijak dan digambarkan sebagai kuat dalam peperangan selain berjaya melalui pelbagai peperangan. Malah, walaupun lahir sebagai babi, dia mampu menawan hati para wanita dengan mulut manis dan kemahirannya berpantun.
Bagaimanapun pada akhirnya, Raja Babi itu berjaya menamatkan sumpahan yang dikenakan ke atasnya. “Kata dengan sesaat itu juga maka Raja Babi pun menjadi manusialah …”
HRB bukanlah teks berat, seperti kata Usup, hikayat ini ialah naskhah untuk menghibur hati. Namun keberaniannya menghibur hati dengan memilih watak babi dan mengaitkannya dengan feudalisme, dan secara konteksnya, untuk naskhah yang lahir pada tahun 1775, kehadirannya sangat luar biasa.
RUJUKAN
Freud, Segmund, 1919. Totem and Taboo: Resemblances between the Psychic Lives of Savages and Neurotics. Diterjemah oleh A.A. Brill. London: George Routledge & Sons. (Teks asal dalam bahasa Jerman).
Milner, Anthony, 2008. The Malays. West Sussex: Wiley-Blackwell.
Milner, Anthony, 2016. Kerajaan: Budaya Politik Melayu di Ambang Pemerintahan Kolonial. Diterjemah oleh Ruhan Shahrir Abdul Halim dan Mohd Izzudin Ramli. Kuala Lumpur: SIRD. (Teks asal dalam bahasa Inggeris).
Usup Abdul Kadir, 2015. Hikayat Raja Babi. Kuala Lumpur: Buku Fixi.
Kredit Foto: Firus Fansuri/Midjourney
_________________________
Hafizah Iszahanid berasal dari Chemor, Perak. Beliau sudah banyak menghasilkan novel, cerpen, puisi, dan esei. Novelnya, Bukan Orangorang (ITBM, 2015) memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2015. Baru-baru ini, dua novelnya menjadi pemenang sayembara penulisan; Kuala Lumpur di Sebalik Bulan (PENA, 2021), pemenang Hadiah Utama Sayembara Penulisan Kota Buku Dunia Kuala Lumpur 2020 dan Tabula Rasa (Gapeniaga, 2021), Hadiah Kedua Sayembara Penulisan Novel Futuristik GAPENA-DBP.