Oleh A. Muziru Idham
1 September 2023, 15:43

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengkritik muda A. Muziru Idham melalui cerita Singapura Dilanggar Todak memperlihatkan resam kuasa/autoriti yang akan sentiasa mencemburui akal fikir yang sihat.

 

Perkara ini akan segera dapat difahami apabila kisah tersebut dicerap melalui hubungan antara ilmu dan kekuasaan. Ilmu yang wujud itu terhasil daripada taraf kedudukan seseorang yang mempengaruhi psikologi cara fikirnya.

 

“Tuanku, budak ini terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia budak lagi demikian, jikalau ia besar berapa lagi? Baiklah ia kita bunuh.”

 (Tun Sri Lanang, Sulalat u’s-Salatin)

Kisah Singapura dilanggar todak yang diselamatkan oleh idea seorang budak merupakan sebuah cerita yang malar segar dalam perbincangan massa. Perihal kebenaran cerita tersebut boleh dipersoalkan dari sudut kesejarahannya tetapi sebagai sebahagian daripada kanun klasik kebudayaan Melayu, kisah tersebut menampung naratif penting yang menjadi bahan cerita rakyat sehinggalah difilemkan oleh Omar Rojik pada tahun 1961 bertajuk Singapura Dilanggar Todak.

Dalam naskhah Sulalat u’s-Salatin yang diselenggara oleh Ahmat Adam, budak itu tidak dinamakan dan tidak diberi gender (boleh jadi budak lelaki dan juga budak perempuan). Manakala dalam versi cerita popular, budak itu dinamakan sebagai Hang Nadim. Tetapi, sebetulnya, versi yang diselenggara oleh Ahmat Adam itu bahkan lebih baik dan menumbuhkan wacana yang lebih besar.

Jika dekonstruk cerita ini dengan bacaan psikologi kekuasaan, terdapat dua pertembungan idea yang boleh didapati. Tetapi, sebelum itu, mari kita sorot sebentar secara ringkas tentang kisah tersebut.

Ia bermula daripada kisah Tun Jana Khatib, seorang hamba Allah dari Pasai yang singgah di Singapura. Tun Jana Khatib dikatakan menguasai “ilmu khayal lillah lagi tamam dua belas alam” (perihal ini tiada dalam versi selenggara Ahmat Adam, tetapi ada dalam versi selenggara A. Samad Ahmad). Ketika Tun Jana Khatib berjalan di pekan dan melalui kawasan istana, ada sebatang pokok pinang yang ditilik oleh Tun Jana Khatib dan kemudiannya pokok tersebut terbelah dua dengan sendirinya.

Pada ketika itu, permaisuri turut terpandang peristiwa tersebut. Paduka Seri Maharaja melihat perihal itu, lalu baginda murka dan memerintahkan agar Tun Jana Khatib dibunuh. Sewaktu pembunuhan Tun Jana Khatib, berlaku keajaiban apabila badannya telah ghaib. Kata orang, badannya muncul di Langkawi yang kemudian ditanamkan oleh orang di sana. Tidak berapa lama kemudian, tiba-tiba Singapura diserang oleh gerombolan todak tanpa henti sehingga menyebabkan ramai orang mati.

Paduka Seri Maharaja telah menitahkan agar rakyatnya berkubukan betis sebagai benteng. Kemudian, ada seorang budak memberi idea agar berkubukan batang pisang sahaja. Apabila todak menyerang batang pisang, segera orang menetak mati todak tersebut. Selesai sahaja peristiwa itu dan semua keadaan telah selamat, para pembesar menghasut Paduka Seri Maharaja untuk membunuh budak tersebut kerana risau akan kecerdikannya menyebabkan dia melawan Paduka Seri Maharaja suatu hari nanti. Paduka Seri Maharaja termakan hasutan pembesarnya lalu menitahkan agar budak tersebut dibunuh.

Jika diamati dengan cermat, sewaktu peristiwa Singapura dilanggar todak, terdapat dua pihak yang mengeluarkan dua idea berbeza bagi memastikan agar serangan todak tersebut dapat dihentikan. Idea pertama datang daripada Paduka Seri Maharaja yang telah menitahkan rakyatnya berkubukan betis sebagai benteng, manakala idea kedua datang daripada seorang budak yang mencadangkan untuk berkubukan batang pisang (yang tidak dinamakan dan tidak diberi gender. Bererti, wacana gender dan kekuasaan boleh dianalisis dalam kisah ini).

Idea daripada Paduka Seri Maharaja bukan sahaja tidak menyelesaikan masalah, bahkan menimbulkan lebih banyak kecederaan dan kematian. Manakala, idea daripada budak tersebut telah menyelesaikan masalah kerana berkubukan batang pisang menyebabkan tiada sesiapa yang dicederakan dan rakyat boleh menetak mati todak yang melekat di batang pisang tersebut.

Persoalannya, mengapa idea semudah itu tidak terfikirkan oleh Paduka Seri Maharaja tersebut daripada awal lagi? Mengapa idea pertama yang hadir pada Paduka Seri Maharaja adalah dengan menitahkan sesuatu yang membahayakan nyawa rakyatnya sendiri?

Perkara ini akan segera dapat difahami apabila kisah tersebut dicerap melalui hubungan antara ilmu dan kekuasaan. Ilmu yang wujud itu terhasil daripada taraf kedudukan seseorang yang mempengaruhi psikologi cara fikirnya.

Dalam hal ini, kisah tersebut adalah tentang pertembungan idea antara Paduka Seri Maharaja dengan seorang budak. Paduka Seri Maharaja ialah seorang penguasa yang memiliki kedudukan sosial yang tinggi dalam masyarakat dan bersifat ketuanan.

Di sisinya ada para menteri dan hulubalang yang sentiasa membantu dan memastikan agar kedudukan sosialnya tidak tergugat. Manakala budak itu ialah seorang rakyat biasa yang berada di bawah ketuanan Paduka Seri Maharaja dan tidak memiliki sebarang kekuasaan untuk mengawal subjek. Dia juga tidak memiliki sebarang pengaruh untuk mempunyai penasihat dan pembantu serta tiada kekuatan untuk membangkitkan perlawanan.

Daripada kedudukan sosial Paduka Seri Maharaja tersebut, maka dapat difahami bahawa ideanya itu hadir daripada fikiran kekuasaannya yang sekadar berfikir untuk menyelamatkan dirinya semata-mata, lantas meminta rakyat berkorban untuknya. Seseorang penguasa akan sentiasa merasakan bahawa dia perlu terus bertahan di atas singgahsananya kerana dia ialah benteng terakhir kepada kestabilan sesebuah wilayah. Maka, cara fikirnya hanya akan bertumpu kepada kekuasaan, lantas mengerahkan kuasanya habis-habisan kepada orang bawahan apabila merasa kedudukannya tergugat.

Dalam hal ini, serangan todak tersebut menggugat keselamatan wilayahnya lantas mengerahkan rakyatnya untuk berkubukan betis tanpa berfikir panjang. Soal nyawa rakyat adalah soal kedua. Soal pertama adalah bagaimana untuk memastikan agar segala ancaman yang boleh menggugat kestabilan wilayah kekuasaannya dapat dihapuskan.

Sebaliknya, idea bijaksana budak itu pula lahir daripada kebebasan fikiran untuk menghargai nyawa manusia lantas meminta untuk berkubukan batang pisang agar semua orang sejahtera dan nyawa tidak terancam. Kebijaksanaan hadir apabila akal fikiran bebas daripada segala kepentingan peribadi, lalu hanya fikirkan bagaimana masalah yang ada di hadapan mata ini harus diselesaikan.

Budak itu tidak memiliki apa-apa kedudukan sosial yang boleh menguasai orang lain. Kekuasaan yang ada pada budak itu hanyalah kekuasaan idea. Apabila psikologi kekuasaan tidak mempengaruhi diri budak tersebut, maka dia mampu berfikir panjang kerana tidak memiliki apa-apa kedudukan sosial atau wilayah kekuasaan untuk dipertahankan apabila berlaku kecemasan sebegitu. Dia cuma mahukan agar semua orang selamat dan tawaran penyelesaian haruslah tidak melibatkan apa-apa pertumpahan darah.

Orang yang berada dalam kedudukan sebegini amat mengerti tentang betapa bernilainya harga sebuah nyawa. Nyawa setiap orang adalah setara nilainya. Tiada orang yang nilai nyawanya lebih tinggi ataupun lebih rendah berbanding yang lain.

Jadi, dicadangkanlah agar semua orang berkubukan batang pisang seraya membunuh ikan todak yang melekat di pokok pisang tersebut. Ternyata ideanya itu telah berjaya menyelesaikan keadaan huru-hara yang berlaku, maka sebab itulah akhirnya Paduka Seri Maharaja disindir orang:

Carik baju raja dilompati todak;

todak bukan disahaja; sebab akal budak.

Sindiran tajam itu hendak kata bahawa akal Paduka Seri Maharaja tersebut tidak boleh dipakai, lalu akhirnya akal budak jua yang mengajarkannya. Paduka Seri Maharaja yang dimuliakan pada era feudal tidak sepatutnya sampai carik bajunya. Jika sampai carik bajunya, bererti masalah itu membarah dan tidak terselesaikan.

Kebijaksanaan budak itu hadir apabila akal fikir dan moralitinya tidak digerakkan atau ditundukkan oleh kekuasaan. Idea berkubukan batang pisang itu mudah sahaja dilahirkan sebenarnya jika daripada awal perihal kekuasaan ditolak ke tepi dan hanya memikirkan tentang keselamatan semua orang. Tiada betis ataupun nyawa sesiapa yang harus dijadikan pilihan pertama untuk menolak serangan todak.

Tetapi sebab kekuasaan menjerat akal, maka ia tidak terfikirkan oleh Paduka Seri Maharaja. Kekuasaan menjerat fikirannya sehingga merasakan bahawa masalah serangan todak pun hendak dilawan dengan kekuasaan juga. Paduka Seri Maharaja melihat todak sebagai subjek kekuasaan yang boleh menggugat kestabilan kedudukannya disebabkan kekuasaan todak bersifat memusnahkan kawasan sekeliling.

Dia tidak melihat todak itu sebagai subjek kepada bencana alam yang sepatutnya ditangani dengan cermat dan seharusnya bersifat melindungi kawasan pemerintahannya. Lantas mangsanya adalah objek kekuasaannya, iaitu rakyat jelata kerana dia melihat bahawa ketaatan rakyat itu sebagai manifestasi kepada kedaulatan wilayahnya. Sekiranya ketaatan tidak dikuasainya, maka daulat kerajaannya akan runtuh.

Akhirnya, kebebasan fikiran tetaplah menjadi ancaman kepada kekuasaan. Ia adalah hukum sosial klasik semenjak dari zaman purba. Meskipun budak itu telah berjasa besar kepada rakyat dan Paduka Seri Maharaja, namun budak itu tetap dihasut untuk dibunuh hanya kerana takutkan kebijaksanaan akalnya menggugat kuasa Paduka Seri Maharaja kelak:

Tuanku, budak ini terlalu sekali besar akalnya. Sedang ia budak lagi demikian, jikalau ia besar berapa lagi? Baiklah ia kita bunuh.

Kekuasaan dan kebebasan merupakan paradoks yang tidak akan pernah dapat bersekutu selama-lamanya. Kekuasaan akan sentiasa mencurigai kebebasan kerana doktrin kebebasan yang dibaca dengan pemikiran sempit kekuasaan akan sentiasa memandangnya sebagai musuh yang akan menjatuhkannya pada bila-bila masa.

Kebebasan bererti ruang untuk berfikir, dan proses itu akan menemukan kepada suatu titik wujudnya kesedaran terhadap perkara-perkara yang membelenggu kebebasan. Orang yang berada dalam hierarki kekuasaan tidak akan selesa untuk berhadapan dengan perkara sebegini, lantas gerak-geri pihak yang berada dalam wilayah kekuasaannya akan sentiasa dicurigai.

Itulah yang terjadi kepada budak itu. Para menteri tidak sekadar mencemburui kebijaksanaannya, malah mereka sedar bahawa kebebasan akal budak tersebut boleh bertumbuh menjadi takdir yang akan menggugat kedudukan mereka pada suatu hari nanti. Paduka Seri Maharaja yang sememangnya sudah berada dalam sistem kekuasaan itu dengan mudah sahaja mempercayai rumusan oleh para menteri tanpa sempat memikirkan tentang ketidakmunasabahan pandangan tersebut.

Dekonstruksi daripada kisah Singapura dilanggar todak ini membongkarkan bahawa kedudukan sosial sangat mempengaruhi proses berfikir dalam membuat keputusan. Idea kubu betis manusia vs kubu batang pisang memperlihatkan proses berfikir antara Paduka Seri Maharaja sebagai penguasa dengan budak sebagai rakyat biasa.

Pertembungan idea itu jika dianalisis dengan lebih mendalam lagi, maka wacananya adalah tentang wacana kekuasaan vs kebebasan yang tidak akan pernah berdamai dalam hukum sosial. Kekuasaan akan sentiasa mencurigai kebebasan.

_________________________

A. Muziru Idham ialah alumni Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009. Pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia (HSPM) 2010/2011, Hadiah Sastera Kumpulan Utusan (HSKU), Hadiah Sastera Darul Iman (HASDI) dan Hadiah Sastera Selangor (HSS). Antara buku beliau ialau kumpulan puisi Kuleburkan Aksara Menjadi Semisal Cahaya dan kumpulan esei Membakar Sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.