Oleh Ilham Budiman
20 Mac 2024, 17:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Ilham Budiman membuka sejarah ringkas ASMUPATI, sebuah persatuan penulis Kelantan-Terengganu yang amat penting suatu masa dahulu tetapi kini sudah jarang-jarang disebut orang.

Peranannya muncul sebagai sebuah persatuan yang pertama kali ditubuhkan, khusus bagi golongan penulis di Pantai Timur.

Sebutan nama ASMUPATI dari Kelantan tentu tidak begitu diketahui oleh generasi penulis muda pada masa kini, apatah lagi dalam kalangan masyarakat secara umumnya. Usahkan di tanah air, nama ini juga boleh dikatakan sudah tidak dikenali di negeri Kelantan sendiri. Perjalanan masa yang pantas sudah menjadikan nama ASMUPATI begitu asing, tidak dikenali lagi.

ASMUPATI ialah nama yang penting dari segi signifikannya dalam perkembangan kesusasteraan di Kelantan, selain kaitannya dengan kemajuan kesusasteraan di tanah air dan peranan besarnya bagi masyarakat pada suatu masa lalu.

Pada 70 tahun lalu, yakni sudah selama tujuh dekad, ASMUPATI ditubuhkan di Kota Bharu, Kelantan pada 24 Disember 1954 sebagai sebuah persatuan penulis.

Meski tertubuh di Kelantan, namun matlamat sebenar persatuan ini tidaklah bertujuan semata-mata mengutamakan para penulis di negeri Kelantan. Sebaliknya, persatuan ini menjurus pada aspirasi bagi menyatupadukan serta memenuhi harapan, peranan dan kepentingan angkatan penulis serta peminat sastera di Pantai Timur, dalam hala tuju kedinamikan dan signifikan dunia persuratan tanah air.

Itulah sebabnya persatuan penulis yang terkenal dengan nama ASMUPATI ini, suatu masa lalu, masyhur dalam kalangan masyarakat. Peranannya muncul sebagai sebuah persatuan yang pertama kali ditubuhkan, khusus bagi golongan penulis di Pantai Timur. Tambahan pula, keahliannya adalah pada cakupan gabungan negeri Kelantan dan Terengganu. Maka, menjadikan nama ASMUPATI terkenal sebutannya oleh masyarakat antara kedua-dua buah negeri di Pantai Timur ini.

ASMUPATI merupakan kependekan daripada nama penuhnya: Angkatan Persatuan Penulis Muda Pantai Timur. Pada awal penubuhannya, ahlinya hanya seramai 24 orang sahaja, termasuk ahli jawatankuasa. Jumlah ahlinya kemudian berkembang dan semakin meningkat dari setiap pelosok Pantai Timur.

Jumlah sebenar sebagai jumlah besar keseluruhan ahli bagi persatuan ini, sehingga kini, masih belum dapat diketahui. Sejarah masih belum dapat mengesan dan menyelidiknya dengan tepat. Jika dirujuk Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu atau ESKM (DBP, 1999), dapat diketahui bahawa persatuan ini turut disertai oleh para pelukis dan peminat sastera.

Daripada penyelidikan penulis artikel ini pula mendapati bahawa keahliannya turut disertai oleh para guru dan penjawat awam lain, belia secara umumnya (bukan penulis), di samping terdapat juga pengukir kayu dan nelayan muda. Meski bukan penulis, sebahagian besar mereka berminat dalam sastera, terutama sekali kerana minat berpersatuan, malah memberikan sokongan moral. Penulis berpandangan, berkemungkinan besar, keahlian persatuan ini secara umumnya berjumlah dalam lingkungan 200-300 orang.

Dinyatakan, agenda utama persatuan ini adalah bagi memajukan perkembangan bidang kesusasteraan, kebudayaan dan kesenian Melayu. Dalam kalangan ahli yang aktif dalam bidang penulisan, ESKM menyebutkan bahawa kebanyakannya menulis cerpen, puisi, rencana, dan buku untuk bacaan umum.

Zakaria Muhammad (Sumber: Abdul Hadi Yusoff)

Terdapat juga fakta menarik lain yang masih boleh ditambahkan, bagi mengukuhkan lagi pernyataan di atas, bahawa dalam ASMUPATI, turut mendapat tumpuan para dramawan dan dramatis. Penulis mendapati, tokoh penulis penting dalam persatuan ini, iaitu Zakaria Muhammad, adalah lebih berkreativiti dalam genre drama pentas dan aktif mengarahkan pementasan, meski beliau turut menghasilkan puisi dan cerita pendek.

Beliau yang lebih terkenal dengan penanya, Z. Sabri, merupakan salah seorang penulis skrip drama pentas dan penggiat pementasan yang terkemuka di Kelantan, pada zaman ASMUPATI sedang memuncak gemilang.

Umumnya, karya para penulis ASMUPATI, menurut ESKM, banyak tersiar dalam majalah Hiburan, Tunas, Mutiara, Ilham, Bintang, Remaja, Medan Masyarakat, dan Belia.

Menurut ESKM lagi, tokoh yang mengasaskan persatuan ini ialah Abdullah Muhammad (sebagai Yang Dipertua), Hassan Ahmad, M.S. Othman, Mohd Salleh Yusuff, K.Bali, Hasnah Zain, dan Mohd Zain Daud.

Di samping itu, ESKM turut menyebutkan contoh antara beberapa orang ahli ASMUPATI yang aktif termasuk S.Othman Kelantan, Alias Harun, Awang Harun, T.M.Noor, M.M. Noor, Abdullah Muhammad, Zakaria Muhammad, dan Faizah (sekadar menyebut beberapa nama).

Sehubungan dengan baris nama tokoh pengasas dan ahli yang aktif dalam bidang

Paparan riwayat hidup Allahyarham Zakaria Muhammad dalam sebuah artikel tulisan Abdul Hadi Yusoff dalam majalah Pentas Januari–Mac 2010.

penulisan di atas, penting sekali bagi turut diperhatikan nama Zakaria Muhammad. Penyelidikan penulis bersama-sama dengan penulis terkenal Kelantan, Abdul Hadi Yusoff pula, sebelum Allahyarham Zakaria Muhammad (1936–2019) berpulang ke rahmatullah, mendapati bahawa tokoh inilah sebenarnya merupakan individu pertama yang mencetuskan pemikiran pada kesedaran, hasrat dan kepentingan bagi menubuhkan ASMUPATI.

Terdapat beberapa rasional dalam pemikiran beliau, ketika itu, suatu keperluan bagi menubuhkan persatuan penulis dengan cara mengumpulkan para penulis di Pantai Timur, bukan khusus bagi negeri Kelantan. Antara alasannya termasuk kerana jumlah penulis pada masa itu masih belum begitu ramai di Kelantan dan Terengganu. Jika ditubuhkan pada sebuah negeri, bagai tidak berupaya menjadi sebuah persatuan penulis yang besar, dinamik dan masyhur.

Oleh itu, sebagai fakta yang tepat, Zakaria Muhammad bukan sekadar sebagai ahli yang aktif dalam bidang penulisan, sebagaimana dicatatkan dalam ESKM; tetapi juga sebagai tokoh pencetus, dan seterusnya ikut serta dalam baris anggota sebagai pengasas dan Ahli Jawatankuasa ASMUPATI.

Meski beliau sebagai pencetus persatuan ini, beliau menolak untuk dipilih sebagai Yang Dipertua. Justeru ketika itu, beliau merupakan penulis muda yang masih dalam peringkat awal berkecimpung dalam bidang penulisan.

Beliau berpendapat bahawa penubuhan ASMUPATI adalah lebih wajar diketuai oleh mana-mana tokoh yang sudah terkenal. Barisan nama yang disebutkan oleh penulis entri dalam ESKM itu, diakui beliau sebagai penulis yang sudah terkenal, sekurang-kurangnya dalam arena sastera di Kelantan pada masa itu. Meski namanya tidak pula disebutkan atau tertinggal oleh penulis entri dalam ESKM tersebut, sebagai antara barisan individu pengasas.

Antara faktor ASMUPATI menuju kelesuan ialah jarak jauh di antara Kelantan dan Terengganu pada masa itu.

Semasa artikel ini disiapkan, penulis baru perasan dan teringat bahawa nama tokoh Abdullah Muhammad sebagai Yang Dipertua bagi ASMUPATI itu, berkemungkinan besar tentulah Abdullah Mohamed (ejaan nama yang betul bagi beliau).

Pada zaman itu, Abdullah Mohamed memang sudah terkenal sebagai guru (ustaz) yang aktif menulis, terutama dalam bidang penulisan agama, tasawuf dan kajian sejarah berkaitan negeri Kelantan. Beliau akhirnya amat terkenal dengan nama gelaran sebagai Abdullah Nakula (Allahyarham), antara sejarawan terkemuka di tanah air dari Kelantan.

K. Bali (Allahyarham) pula memang sebagai penulis muda yang mulai meningkat namanya dalam kesusasteraan kreatif pada zaman itu. Beliau kemudian berhijrah ke Sabah dan berjaya tampil sebagai tokoh sastera yang cukup terkemuka di negeri itu. Sehingga sekarang, beliau merupakan tokoh yang tidak dapat dipisahkan nama dan sumbangan besarnya dalam perkembangan kesusasteraan bagi negeri Sabah.

S. Othman Kelantan (Allahyarham) tentulah tidak memerlukan apa-apa penerangan di sini. Namun dapat diketahui, Sasterawan Negara dari Kelantan ini, pada zaman awalnya pernah turut menyertai ASMUPATI.

Alias Harun (Allahyarham) yang pernah turut menganggotai ASMUPATI, mungkin tidak begitu dikenali oleh generasi penulis muda sekarang. Beliau ialah guru dan penulis veteran yang pernah memenangi hadiah penghargaan dalam Peraduan Novel 10 Tahun Merdeka melalui novelnya, Meniti Buih (DBP, 1971).

Sementara itu, Zakaria Muhammad pula semakin meningkat nama dan keprolifikannya, terutama melalui peranan ASMUPATI. Lebih-lebih lagi, beliau merupakan ahli jawatankuasa bagi persatuan penulis ini. Beliau lebih menumpukan penulisan skrip drama pentas dan pementasan. Minat dan kegiatan ini diceburinya sejak sebelum tertubuhnya ASMUPATI lagi.

Penulis pernah bertanya kepada beliau tentang jumlah keahlian ASMUPATI. Namun begitu, pada usianya yang lebih 80 tahun, tidak begitu diingatinya lagi. Beliau hanya menyebutkan, “Pernah lebih 100 ahli, pernah lebih 200 ahli. Tetapi ahli lebih ramai di Kelantan. Lebih ramai ialah belia. Ramai kerana mereka minat berpersatuan ketika itu. Ada sebilangan mereka cuba menulis dan ada yang aktif menulis.”

Beliau tidak mengingat dengan tepat tentang tahun-tahun kelesuan ASMUPATI selepas kemuncaknya, atau sebelum dengan tepatnya, berakhir. “Kemudian, perlahan-lahan berakhir begitu sahaja,” ujarnya. Namun menurut beliau, ketika Persatuan Penulis-penulis Kelantan (kini Persatuan Penulis Kelantan atau PPK) ditubuhkan di Kelantan, ASMUPATI di Terengganu masih wujud, walaupun sudah lesu.

Paparan tabir hayat Allahyarham Zakaria Muhammad dan ASMUPATI dalam Dewan Sastera.

Antara faktor ASMUPATI menuju kelesuan ialah jarak jauh di antara Kelantan dan Terengganu pada masa itu. Cakupan pada kedua-dua buah negeri itu pula sebenarnya besar. Malah, mengambil masa jika ahli-ahlinya hendak bermesyuarat di Terengganu.

Namun menariknya, Zakaria Muhammad inilah juga sebenarnya merupakan tokoh yang mencetuskan penubuhan PPK. PPK ditubuhkan pada tahun 1966. Beliau dapat mengingat, pemikiran atau saranan beliau agar ditubuhkan PPK adalah semasa dalam perjalanan pulang dari Terengganu.

Saranan itu kerana ASMUPATI, terutamanya di Terengganu sudah semakin lesu. Tidak mudah bagi bermesyuarat dan diuruskan dari Kelantan, kerana kebanyakan ahli jawatankuasa utama bertempat di Kelantan, manakala di Terengganu merupakan ahli jawatankuasa cawangan sahaja. Kalangan ahli ASMUPATI juga lebih ramai di Kelantan.

Sewaktu PPK ditubuhkan, sekali lagi, Zakaria Muhammad menolak untuk tampil sebagai ketua. Beliau menyandang sebagai Setiausaha PPK.

Jarak antara penubuhan ASMUPATI (1954) dengan PPK (1966) ialah 12 tahun. Hal ini menunjukkan, ASMUPATI sempat berperanan penting dalam perkembangan kesusasteraan di Pantai Timur bagi tempoh yang agak lama, meski ASMUPATI lesu menjelang tahun-tahun akhirnya, sebelum kemudian tertubuhnya PPK yang tertumpu khusus di Kelantan.

Zakaria Muhammad sebenarnya lebih terkenal dengan nama samarannya, Z. Sabri dalam bidang penulisan skrip drama pentas dan pementasan. Sebuah skrip drama pentas beliau yang paling terkenal ialah “Kota Kubang Labu”, iaitu suatu kisah tragedi berdasarkan peristiwa di istana dalam sejarah negeri Kelantan. Malah, sehingga kini, skrip beliau ini begitu masyhur dan masih dipentaskan di Kelantan.

Naratif menarik dan lebih lengkap, jika ingin mengetahui riwayat hidup tokoh ini, dapat dibaca melalui dua artikel yang pernah ditulis oleh Abdul Hadi Yusoff, iaitu “Zakaria Muhammad: Z. Sabri” (Pentas Januari–Mac 2010) dan “Z. Sabri: Pengasas ASMUPATI dan Penulis Skrip Drama Tersohor” (Dewan Sastera Bil.5/2020).

Menarik untuk direnungi tentang ASMUPATI ialah, penubuhannya mendahului empat tahun sebelum negara merdeka, 12 tahun sebelum PPK ditubuhkan sebagai persatuan penulis yang penting dan terkemuka di Kelantan, dan 16 tahun lebih awal bagi mengumpulkan dan menyatupadukan para penulis di Pantai Timur, sebelum peranan GAPENA yang lebih nasional ditubuhkan, pada tahun 1970.

Demikianlah, Allahyarham Zakaria Muhammad begitu berjasa sebagai tokoh yang memberikan pemikiran, peranan dan sumbangan bermakna terhadap cetusan penubuhan ASMUPATI, yang turut menempa kepentingannya dalam sejarah kesusasteraan Pantai Timur dan tanah air.

Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham Zakaria Muhammad dan menempatkannya dalam kalangan roh orang-orang yang beriman dan beramal soleh. Al-Fatihah.

Kredit Gambar: Firus Fansuri

_________________________

Ilham Budiman menetap di Pantai Timur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.