24 September 2023, 03:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Terengganu – Ketiga-tiga orang penerima Hadiah Bitara Sastera bagi Hadiah Sastera Darul Iman ke-6 (HASDI VI) menjadikan kecintaan terhadap dunia sastera sebagai kekuatan dan dorongan utama kejayaan mereka.

Ketika ditemui oleh petugas media JendelaDBP, Hilmi Rindu atau nama sebenarnya Mohd bin Abdullah yang dinobatkan sebagai Sasterawan Negeri Terengganu 2023 berkata bahawa minat beliau yang begitu mendalam terhadap pengkaryaan sejak alam persekolahan menjadi faktor utama kejayaannya pada hari ini.

Saya amat berterima kasih kerana dianugerahkan gelaran Sasterawan Negeri Terengganu pada hari ini, namun pada masa yang sama, saya sedar bahawa ini merupakan tanggungjawab yang besar bagi saya untuk terus memberikan sumbangan dalam dunia kesusasteraan sama ada di negeri Terengganu mahupun pada peringkat kebangsaan.

Beliau yang dilahirkan pada 1 April 1957 di Kampung Darat Kijal, Kemaman, Terengganu mula berjinak-jinak dalam ranah sastera ketika beliau berada di tingkatan lima di Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Karya puisinya mula mendapat tempat dalam majalah dan komik seperti Salina dan Bujal sebelum karya pertamanya yang berjudul “Hati” diterbitkan oleh majalah Dewan Sastera pada September 1986 selepas tanpa jemu mengintai peluang selama hampir 10 tahun.

Marzuki Ali atau nama sebenarnya Ali@Azam Awang ketika ditemu ramah oleh petugas media JendelaDBP.

Bagi Marzuki Ali, penerima Anugerah Cekal Sastera Negeri Terengganu, beliau berasa gembira atas penanugerahan tersebut dan berharap agar beliau bukan sahaja diterima sebagai seorang daripada penggiat dalam penulisan sastera di Malaysia tetapi juga di rantau ini termasuklah di Indonesia, Brunei dan lain-lain.

Beliau yang pernah melanjutkan pelajaran di Institut Kesenian Jakarta, Indonesia dalam bidang teater aktif menghasilkan skrip drama dan puisi-puisi yang mengangkat tema alam dan manusia sebagai subjek utama.

Pesanan saya kepada penulis pelapis daripada generasi muda, jangan berhenti menghasilkan karya, cubalah menggeledah persada ini dan temuan anda seharusnya diungkapkan agar dapat memberikan manfaat kepada orang lain.

“Biarpun mencipta itu sulit, namun dengan cara itulah, sastera boleh terus dilestarikan,” tambah beliau.

Sementara itu, Abdul Mubin Ismail berasa terharu kerana diberikan pengiktirafan melalui Anugerah A. Rashid Ngah yang diterimanya pada malam ini dan berkata bahawa kemenangan ini didedikasikan kepada isterinya yang tercinta, keluarga dan rakan seperjuangannya dalam dunia kesusasteraan tanah air.

Menurutnya, beliau pernah menghasilkan sebuah skrip drama pentas sewaktu beliau berusia 15 tahun tanpa sengaja yang berjudul “Penjara” dan skrip tersebut telah diumumkan sebagai Skrip Terbaik dalam Pertandingan Drama Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan.

Kejayaan yang tidak dijangka itu menjadi pembakar semangatnya untuk terus menyumbang keringat dalam dunia sastera dan beliau mula melibatkan diri secara aktif sebagai penyelenggara, penganjur, pemudah cara, fasilitator, pemakalah, dan peranan-peranan lain dalam kegiatan kesusasteraan di seluruh negara.

Abdul Mubin Ismail ketika menerima Anugerah A. Rashid Ngah, malam tadi di Majlis Penyampaian HASDI VI di Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu.

Apabila ditanya tentang projek terkini yang sedang diusahakan, beliau berkata bahawa beliau sedang menyiapkan buku yang berkisar tentang sejarah perkembangan Persatuan Sasterawan Terengganu (PELITA) sejak dari penubuhannya sehingga hari ini dan dijangka akan diterbitkan pada awal tahun 2024.

Usaha mengangkat kesusasteraan tanah air supaya terus mengalir menerusi karya yang bermutu merupakan tanggungjawab penting dalam pembinaan khazanah tamadun bangsa. Oleh itu, menurut Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur, Puan Ariza Haji Che Ismail;

Sokongan semua pihak amat diperlukan dalam usaha mengangkat penulis bagi memartabatkan dunia pengkaryaan tanah air. Sokongan inilah yang akan memastikan penulis kita terus dimartabatkan. Tanpa sokongan, anugerah sastera tidak dapat dilaksanakan sebagaimana yang dijadualkan.

Kredit Foto: Khairul Azhar Baharuddin

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.