Oleh Rasoul Manan
7 November 2023, 02:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Tokoh Sastera Kelantan telah diberikan kepada Dr. Abdul Ayah@Abdul Aziz Mahmood (Abham T.R) sempena Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023 yang diadakan di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, malam tadi.

Sebanyak tiga orang calon telah disenaraikan pendek daripada 11 calon yang disenaraikan. Akhirnya para juri sebulat suara memilih Abham T.R sebagai penerima Tokoh Sastera Kelantan.

Abham T.R bersama-sama sijil, watikah sebagai penerima Tokoh Sastera sempena Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023.

Pemilihan Abham T.R membuktikan beliau sebagai penulis yang prolifik dan hasil karya beliau telah membuka serta menyumbangkan sesuatu kepada pembangunan sastera di Kelantan secara khasnya.

Karya-karya beliau seperti puisi telah membawa aliran Islam dan menjadi sumber kepada kajian para sarjana. Kekuatan puisinya terletak pada pemikiran Islami yang bertunjangkan ketauhidan, ketakwaan, keinsafan, dan kesufian.

Selaku penyair yang larut dalam dunia Islami, beliau mengajak pembaca untuk sentiasa menginsafi diri dengan meletakkan kerendahan diri di sisi pencipta dengan merenungi kebesaran -Nya.

Selain itu, beliau juga menampilkan keindahan pengucapan dalam puisi. Hal ini dapat dilihat dengan jelas pada aspek bahasa apabila beliau memanfaatkan unsur-unsur bahasa klasik, bahasa seharian dan bahasa Arab dalam puisinya.

Oleh itu, puisi-puisi beliau yang bernuansa Islami sangat dirasai oleh pembaca dan pengkaji. Impaknya hadir melalui tema dan persoalan yang diangkat, bahasa yang digunakan dan inti pemikiran yang ingin disampaikan.

Ketika ditemu bual, beliau menyatakan bahawa beliau merasa sangat terharu dan bersyukur dengan penganugerahan ini apatah lagi bersaing dengan tokoh-tokoh hebat yang dicalonkan. Ujar beliau;

Kemenangan ini ditujukan kepada anak serta cucu dengan niat memberikan inspirasi kepada mereka menyambung obor penulisan kepada bangsa.

Menurutnya lagi, beliau kini sedang menyiapkan sebuah projek novel yang bakal terbit kelak. Novel ini merupakan novel pertama beliau dan mengisahkan seorang mualaf yang diculik dan akhirnya diselamatkan oleh seorang imam.

Sebelum itu, Abham T.R dilahirkan di Kampung Tualang Rendah, Pasir Puteh dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tualang Tinggi, seterusnya Sekolah Menengah Kamil, Maahad Muhammadi dan di Maktab Perguruan Ilmu Khas, Kuala Lumpur.

Beliau selanjutnya menyambung pendidikan di Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan akhir sekali di Universiti Antarabangsa Berkeley dalam peringkat PhD.

Kehadiran beliau dalam ranah sastera bermula pada penghujung dekad 1960-an sehingga kini meliputi genre puisi, cerpen dan esei. Karya-karya beliau terbit dalam pelbagai akhbar dan majalah.

Sehingga kini, beliau sudah menghasilkan sebanyak tujuh buah Kumpulan puisi antaranya termasuklah Tafakur (1985), Tali Iman (1987), Dua Samudera (1999), Wasiat (2005), Di Bawah Pohon Matahari Khatulistiwa (2010), Laut Buih (2022) dan Dasar Laut (2023)

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.