Oleh Salman Sulaiman
20 Februari 2024, 18:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Sebanyak 251 orang dari Malaysia dan Indonesia menyertai Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2024 (Dalam Talian) anjuran Gabungan Penulis-penulis Muda Negeri Kelantan (GEMA) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT).

Menurut Ketua Satu GEMA, En. Zainal Abidin Muhamad, bilangan tersebut merupakan bilangan penyertaan yang sangat memberangsangkan, memandangkan bengkel penulisan secara bersemuka hanya mampu mengumpul 50 orang sahaja dalam satu-satu masa.

Kebanyakan peserta Malaysia terdiri daripada para pelajar institusi pengajian tinggi, institut pendidikan guru dan individu dari serata negara, termasuk dari Sabah dan Sarawak.

Bengkel tersebut dibimbing oleh sembilan orang penulis daripada pelbagai latar belakang, termasuk Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari, Sasterawan Negeri Kelantan Sdr. Rosli K. Matari, Sasterawan Kelantan Tuan S.M. Zakir, Prof. Madya Dr. Norhayati Ab. Rahman, Dr. Maskiah Masrom, Dr. Abdullah Yusoff, Sdr. M. Arif, dan Sdr. Nimoiz T.Y.

Bengkel penulisan secara dalam talian telah diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu, bermula pada 19 Januari 2024 hingga 17 Februari 2024.

Acara akhir berlangsung pada pagi 17 Februari 2024 dengan program Bicara Sastera dan Editor serta Majlis Penutupan Bengkel Penulisan Kreatif dan Deskriptif 2024 di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan (PPAK).

Majlis bicara menampilkan Sdr. Fadli al-Akiti editor Dewan Sastera dan Sasterawan Kelantan dan penerima SEA Write Award Tuan S.M. Zakir.

Acara ditutup dengan ucapan oleh Ketua Satu GEMA, En. Zainal Abidin Muhamad dan Pn. Nor Hidayah Ilias selaku Timbalan Pengarah (Bahasa) yang hadir sebagai wakil Pengarah DBPWT, Pn. Ariza Che Ismail.

Majlis diakhiri dengan penganugerahan sijil kepada para peserta, kemudian disusuli acara deklamasi puisi oleh beberapa orang pembimbing dan khalayak yang hadir.

Kredit Foto: GEMA

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.