Oleh Salman Sulaiman
15 Disember 2023, 10:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Tahun ini, sempena genapnya 50 tahun penglibatan rasmi Leo A.W.S dalam arena kesusasteraan tanah air terutamanya di Kelantan, Liga Penulis Kelantan (LPK) akan menganjurkan satu program khusus untuk meraikan sasterawan senior ini yang sentiasa aktif berpuisi ini dalam satu seminar khas.

Seminar khas yang dinamakan majlis Meraikan 50 Tahun Kepenyairan Leo A.W.S. akan diadakan pada 30 Disember 2023 (Sabtu), bermula jam 9.30 pagi di Kotak Seni, Kota Bharu.

Leo A.W.S (nama sebenar Abdul Waled @ Suhaimi bin Semail) merupakan penyair paling prolifik Kelantan. Beliau dilahirkan pada 1 Ogos 1954 dan mula menulis sajak seawal usia belasan tahun.

Karya pertamanya mendapat siaran media penerbitan pada tahun 1973. Karyanya “Kemarau (2)” terpilih sebagai Tiga Puisi Terbaik Bengkel Puisi PPK pada tahun 1977. Sajak “Kubur Ini” menang Tempat Kedua Sayembara Puisi Islam Puspa Kelantan, 1990-an, manakala “Birokrat dan Bunga Kertas” memenangi Hadiah Sagu Hati Hadiah Sastera Utusan-Public Bank 1994.

Setakat ini, Leo mempunyai 34 buah buku sajak persendirian. Bermula dengan buku pertamanya Sajak Pagi (Percetakan Adabi, 1981), beliau tidak pernah jemu menerbitkan karyanya saban tahun, hinggalah kepada buku yang ke-34, dua tahun lepas, iaitu kumpulan sajak Sebelum Hujan Tengkujuh (Pustaka Dewan Puisi, 2021).

Tahun lalu, GAPENA telah memberikan pengiktirafan khusus kepada penyair mapan ini dengan Anugerah Tokoh Puisi Kebangsaan sempena Hari Puisi Kebangsaan 2022 Peringkat Negeri Kelantan.

Tempat berlangsungnya majlis ini nanti, Kotak Seni, merupakan sebuah kedai kopi yang banyak menganjurkan program berasaskan seni.

Kotak Seni terletak betul-betul di tengah bandar Kota Bharu. Lokasinya tidak jauh dari Bulatan Kijang. Premis dua tingkat ini akan menjadi lokasi sederhana namun istimewa menyambut genapnya 50 tahun usia kepenyairan Leo AWS hujung bulan nanti.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.