Oleh Rasoul Manan
7 November 2023, 02:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – “Penulis muda harus menyumbangkan sesuatu kepada nusa dengan menghasilkan karya-karya yang bermutu dan berkualiti”.

Demikian kata-kata Syed Mohd Zakir Syed Othman atau S.M. Zakir ketika ditemu bual setelah dipilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Kelantan 2023 sempena Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023 yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, pada malam tadi.

Menyentuh tentang golongan penulis muda hari ini, beliau menyatakan bahawa mereka memiliki kekuatan yang tersendiri. Karya-karya mereka sudah ke hadapan namun mereka seakan-akan jauh daripada institusi. Sebelumnya, beliau mendedikasikan penganugerahan tersebut kepada para penulis muda.

Beliau berharap agar dapat mencari titik pertemuan dengan membantu golongan penulis muda dan juga berharap agar peluang yang lebih besar daripada agensi dan institusi diberikan kepada mereka. Ujarnya lagi;

Geran penulisan tertentu perlu diberikan kepada para penulis muda dalam menghasilkan karya.

Selain itu, program penataran yang ada juga mampu membantu penulis muda agar lebih berketerampilan dalam berkarya.

S.M. Zakir, menyampaikan ucapan setelah dinobatkan sebagai Sasterawan Kelantan 2023.

Beliau juga menyatakan kritikan karya juga amat penting dalam menaikkan nama seseorang penulis dalam dunia sastera.

Sebagai contoh, novel Salina karya SN A. Samad Said yang tidak memenangi tempat pertama dalam sayembara namun atas kritikan yang diberi oleh Profesor A. Teeuw pada ketika itu, akhirnya karya itu menjadi karya yang terkenal sehingga ke hari ini.

Oleh itu, kualiti kritikan karya di Malaysia juga harus terus ditingkatkan agar dapat membantu merancakkan kesusasteraan tanah air.

Menyentuh mengenai projek penulisannya, sekarang beliau sedang menyiapkan karya trilogi yang bermula dengan novel Dunia Lelaki yang telah pun terbit. Karya seterusnya dalam trilogi tersebut, iaitu yang bertajuk Anak Bumi dan Tanah Dongeng sedang ditulis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.