Oleh Rasoul Manan
7 November 2023, 02:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu – Syed Mohd Zakir Syed Othman atau S.M. Zakir telah dipilih sebagai penerima Anugerah Sasterawan Kelantan 2023 sempena Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023 yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, pada malam tadi.

Pengiktirafan terhadap beliau membuktikan keunggulannya dalam bidang penulisan kreatif dan bukan kreatif. Menurut laporan jawatankuasa penilai, beliau dipilih berdasarkan beberapa kriteria tertentu.

Antaranya termasuklah beliau merupakan pengarang yang mengungguli bidang penulisan kreatif menerusi genre cerpen dan puisi. Selain itu, S.M. Zakir juga menguasai dengan baik dalam bidang kritikan.

Keunggulan S.M. Zakir dalam genre cerpen disebabkan sifat dinamik dan progresif karyanya dengan potensi diri yang sentiasa ingin maju serta menampilkan sesuatu yang terkini dalam karya cerpennya.

Tengku Temenggong Kelantan, YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menyampaikan watikah penghormatan Sasterawan Kelantan 2023 kepada S.M. Zakir.

Tema dan persoalan yang sering diangkat dalam karya beliau tidak hanya berlegar dalam lingkungan setempat tetapi melampaui sempadan antarabangsa, menerokai dunia falsafah dan sufisme.

Perkara ini dapat dilihat dalam cerpen “Enigma daripada Sebuah Noumena”, iaitu beliau telah menjernihkan kompleksiti alam falsafah melalui wacana dialektikal dengan cara mengukuhkan falsafah beliau.

Malahan, ciri-ciri eksploratif dan eksperimental menjadikan cerpen-cerpen beliau menonjol dan ada kenampakan yang serius dalam pelbagai media dan medium wacana sastera.

Selain itu, S.M. Zakir juga merupakan seorang pemikir yang bersifat analitis dan kritis terutama terhadap persoalan-persoalan sastera semasa yang bersifat konseptual dan tekstual.

Idea-idea kritisnya boleh dibaca dalam sebuah buku esei falsafah, Pascamoden Kutukan terhadap Falsafah dan Agama (Nusabuku: 2010). Dalam buku tersebut, beliau melihat pascamoden sebagai suatu budaya yang spektikal dan mengaburi pandangan terhadap nilai-nilai agama.

Perkara ini merupakan satu inti penting yang menggambarkan kekuatan pemikiran S.M. Zakir yang analitis dan kritis terhadap falsafah pascamoden. Daya kritis ini bergabung dengan daya kreatif membuahkan pemikiran beliau yang jernih tetapi tajam.

Oleh itu, kepengarangan S.M. Zakir menerusi genre cerpen, puisi dan kritikan diakui dan diiktiraf oleh pelbagai pihak. Ini terbukti apabila beliau menerima pelbagai anugerah dan hadiah yang diberikan.

Antaranya termasuklah Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera 100 tahun Kuala Lumpur DBP-DBPKL, Anugerah Gaffim dan banyak lagi. Malahan, beliau juga diangkat sebagai penulis muda yang berbakat menerusi Anugerah Sasterawan Muda Mastera (Majlis Sastera Asia Tenggara) pada tahun 2010.

Setelah itu, pada tahun 2011, beliau sekali lagi menerima pengiktirafan tertinggi sastera di Asia Tenggara, iaitu penerima Anugerah Penulis SEA (SEA Write Award).

Sebelum itu, Anugerah Sasterawan Negeri Kelantan telah diberikan kepada S. Othman Kelantan (2003), diikuti oleh Dr. Fatimah Busu (2015) dan Rosli K. Matari (2020).

Majlis penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan.

Turut menghadiri majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, YBrs. Dr. Hazami Jahari, YB Kamaruzaman Mohamad, Ahli Dewan Undangan Negeri Gual Periok dan Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBP Wilayah Timur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.