Oleh Lokman Hakim
22 Februari 2024, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Lokman Hakim menyelam maksud sebenar anugerah untuk pengarang, dan bagaimana anugerah terbaik buat seorang pengarang ialah kenikmatan mengarang untuk diri sendiri.

Adakah cerita itu bermoral atau tidak bukanlah suatu keutamaan, tetapi lazimnya, sesebuah cerita ditulis kerana membangkitkan sesuatu dalam diri.

Ketepikan keseluruhan anugerah sastera di seluruh dunia sekarang. Hadiah Nobel Kesusasteraan atau apa-apa sahaja yang bersifat antarabangsa itu, bakul sampahkan. Jika boleh, anggaplah dunia ini hanya menuturkan satu bahasa, walau apa-apa jua etnik bangsanya. Lalu, apakah definisi sastera antarabangsa dalam keadaan seumpama itu?

Tolak ke tepi definisinya dahulu. Ayuh, kita bergerak ke ruang lingkup hasrat seorang pengarang. Hasrat seorang pengarang sangat rencam kerana tidak semua orang memasang cita-cita yang sama ketika mengarang. Tidak dinafikan, ada yang mendambakan gelaran ataupun populariti tetapi kebanyakan waktunya, pengarang hanyalah individu yang mahu membaca sesuatu yang dia tidak temui dalam lambakan karya yang ditemuinya. Dalam erti kata lain, dia seorang peneroka dunia buku, menjamah naratif demi naratif dalam setiap buku yang ditemuinya, tetapi tidak menemukan apa-apa yang diingini. Maka, dorongan untuk mengarang sesuatu yang tidak diketemui itu menjadi kuat lalu dia menulisnya sendiri.

Berbalik pada definisi, pengarang ialah individu yang mengarang. Maka, jika dia tidak mengarang tetapi sering sahaja memperkatakan perihal kerja mengarang, tidaklah dia seorang pengarang tetapi seorang yang bercita-cita mahu mengarang. Kadangkala, saya sering dibebankan dengan matlamat mengarang oleh komuniti semasa yang mengelilingi saya yang sering berbuat begitu: menulis demi keredaan Allah SWT, menulis demi beroleh pengiktirafan, menulis demi mengubah masyarakat agar menjadi lebih baik, dan bla-bla-bla. Namun sudahnya, apa yang mendorong saya untuk terus mengarang ialah kehendak individualistik yang langsung tidak bersandar pada apa-apa alasan.

Terdapat cerita dalam kepala saya dan saya mahu menulisnya. Apa-apa yang terjadi pada cerita itu kelak bukanlah sesuatu yang digusarkan. Adakah cerita itu bermoral atau tidak bukanlah suatu keutamaan, tetapi lazimnya, sesebuah cerita ditulis kerana membangkitkan sesuatu dalam diri. Sesuatu yang saya ada pendapat sendiri mengenainya. Seperti yang saya katakan sebentar tadi, seorang pengarang yang bertahan menulis dari tahun ke tahun tidaklah terikat pada hal-hal yang berlegar sekitar kerja mengarang, melainkan keinginan untuk mengarang, itu sahaja.

Masyarakat yang mengelilingi pengarang itu dan meneliti apa yang ditulis mula membentuk apa yang mereka mahukan daripada pengarang, sedangkan pekerjaan mengarang sebenarnya sangat berpusatkan individu tertentu tanpa mengambil peduli apa-apa yang ada di sekelilingnya. Kerana itulah kita ada pelbagai anugerah sastera dan pelbagai bentuk pengiktirafan. Dan hal-hal seumpama itu menarik perhatian segelintir individu yang mula membandingkan dan mengelaskan karya-karya sastera, sekali gus membina hierarki yang hakikatnya tidak perlu.

Justeru, hujahan ini membuka suatu lagi persoalan apabila ada pula pengarang yang enggan karyanya dibaca.

Tidaklah bermakna saya memperlekeh usaha “mengiktiraf” sastera. Tambahan pula, pengarang memerlukan juga penghargaan terhadap apa-apa yang ditulisnya untuk terus memupuk semangat mengarang. Sekurang-kurangnya, karya yang dikarang itu mampu menyumbang serba sedikit duit untuknya membeli bahan bacaan baharu ataupun ruang fizikal mahupun ruang waktu untuk terus menulis. Meskipun kerja mengarang ini sangat individualistik dan tidak memerlukan komen pembaca untuk terus mengarang – sebarang isyarat daripada pembaca bahawa karyanya dibaca memang serba sedikit membuatkan pengarang itu gembira – khususnya pengarang yang karyanya dibukukan.

Justeru, hujahan ini membuka suatu lagi persoalan apabila ada pula pengarang yang enggan karyanya dibaca. Ditulis semata-mata untuknya sendiri atau dalam erti kata lain, suatu diari. Hal ini juga bukan suatu kesalahan kerana definisi seorang pengarang itu hanya satu: dia haruslah mengarang sesuatu.

Setelah mengambil kira definisi tunggal ini, maka apakah harus direnung kembali kaedah pengiktirafan dalam anugerah sastera ini? Saya percaya, pengarang yang baik ialah pengarang yang berusaha mencari dirinya sendiri dalam teks-teks yang dikarang – mengarang ialah suatu proses mengenal diri sendiri. Usaha ini, proses mengenal diri sendiri melalui kerja kepengarangan ini harus diraikan sewajarnya. Lantas, hal ini menjurus pada suatu aspek sukar iaitu, bagaimana mahu menilai proses ini? Apa yang membuatkan proses mengenal diri sendiri pengarang A itu lebih baik daripada proses mengenal diri sendiri pengarang B, atau sebaliknya?

Ah, sekali lagi saya terperangkap dalam pengkategorian yang sia-sia dan juga perbandingan yang tidak bermakna ini. Soal yang lebih penting ialah meraikan kerja mengarang tanpa perlu mengetepikan kerja mengarang individu lain. Dan, hal meraikan ini sesuatu yang tidak boleh dilakukan tanpa meletakkan hierarki ataupun aturan. Tahun ini giliran pengarang A, tahun depan giliran pengarang B dan seterusnya. Maka apa pula yang menentukan giliran ini?

Di sinilah tampaknya kekangan masyarakat dalam usaha meraikan para pengarang. Akhirnya, pengarang sejati tidak akan peduli pada semua ini. Selagi mana dia diberi peluang dalam bentuk waktu dan ruang, dia akan terus mengarang. Meskipun tiada orang yang memperkatakan apa yang ditulisnya. Meskipun dia tidak tahu siapa yang akan membaca tulisannya. Walaupun dia tidak pasti adakah karya yang ditulis itu akan diterbitkan atau tidak.

Ayuh, kita raikan ketidakpedulian pengarang tersebut dengan memberikannya suatu kata hikmah Clarice Lispector, “Tanpa mengetahui bagaimana mahu mengaranglah yang barangkali telah menyelamatkan saya daripada kesusasteraan.”

Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kerja mengarang ialah suatu proses mengenal diri – sepertimana kita hidup apabila perjalanannya lebih berharga daripada destinasi. Sudahnya, kita hanya mahu hidup enak dan selamat daripada apa-apa yang mengancam ketenangan yang kita dambakan itu. Pengarang juga tidak berkecuali.

Kredit Foto: Shelby Miller/Unsplash

_________________________

Lokman Hakim merupakan seorang jurutera lulusan Ijazah Kejuruteraan Awam dari Universiti Teknologi MARA Shah Alam dan bekerja dengan syarikat kontraktor pembinaan dari tahun 2007. Aktif menulis bermula dari tahun 2014 dan telah menulis beberapa buah novel, kumpulan cerpen, kumpulan puisi, dan buku motivasi. Cerpennya yang berjudul “Pengap” telah disenarai pendek untuk memenangi Hadiah Cerpen Komanwel 2019. Cerpennya yang berjudul “Jam Menanggalkan Jarumnya Lalu Menghitung…” telah memenangi Hadiah Utama untuk kategori cerpen dalam Anugerah Sastera Selangor 2021. Beliau juga telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2019/2020 untuk cerpen “Tiga Cerita Tentang Bahasa”. Di samping itu, cerpen-cerpen beliau juga telah memenangi hadiah penghargaan untuk Hadiah Sastera Selangor dan juga Hadiah Sastera Penulis Sarawak.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.