Oleh Salman Sulaiman
6 November 2023, 15:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Salman Sulaiman menulis tentang debaran menunggu malam penyampaian Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023.

Penganjuran kali ini juga ditambah dengan satu lagi anugerah baharu yang tidak pernah ada sebelum ini, iaitu Tokoh Bahasa, khusus untuk mengiktiraf individu atau tokoh yang telah memberikan sumbangan dalam mengembang dan memartabatkan bahasa Melayu.

Anugerah dan Hadiah Sastera Kelantan yang sebelum ini dikenali dengan nama Anugerah Sastera Negeri Kelantan kini muncul lagi pada tahun 2023 ini dengan nama Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023. Kali terakhir penganugerahan ini diadakan adalah pada tahun 2020, menobatkan Rosli K. Matari sebagai Sasterawan Negeri Kelantan yang ketiga, selepas S. Othman Kelantan sebagai penerima pertama pada tahun 2002 dan diikuti oleh Fatimah Busu pada tahun 2015.

Selain memilih sasterawan besarnya sebagai Sasterawan Negeri, penganugerahan juga diberikan kepada beberapa tokoh lain yang memberikan sumbangan berterusan kepada perkembangan kesusasteraan Kelantan, di samping hadiah karya-karya eceran yang bermutu. Kali ini, lima buah cerpen terbaik bakal mendapat hadiah bersama lima buah puisi dan juga dua esei kajian, serta sebuah skrip drama pentas bakal diberikan hadiah. Mungkin kerana kurangnya penglibatan pengarang kita dalam dunia penulisan skrip drama pentas, menyebabkan penganjur hanya menyediakan satu hadiah (bernilai RM700) sahaja untuk kategori ini.

Empat hadiah untuk kategori buku bernilai RM1,500 setiap satu juga disediakan, iaitu untuk buku puisi, cerpen, novel, dan esei kajian/kritikan sastera. Jika untuk tahun 2020 yang lalu, S.M. Zakir telah menerima dua hadiah untuk Kategori A ini dengan dua buah bukunya, 20 Cerita Tentang Tuhan dan Perjalanan Sang Zaman, adakah S.M. Zakir sekali lagi akan menjadi salah seorang pemenang untuk kategori ini atau bakal diwarisi oleh nama-nama baharu dalam arena penulisan?

Persoalan yang timbul sekarang ialah adakah Kelantan mempunyai penulis mudanya yang menghasilkan buku baharu? Jika ada buku baharu pun, adakah mereka menghantar pencalonan untuk dinilai dalam anugerah kali ini? Untuk karya eceran pula, adakah hasil cipta sasterawan muda seperti Rebecca Ilham, Adni Bahiah dan Fauzan Zain akan kekal mendapat tempat di hati juri untuk penganugerahan kali ini atau tidak?

Manalah tahu, mungkin juga akan muncul nama-nama baharu dalam kalangan penulis muda yang akan pertama kali naik pentas pada malam nanti, seperti Faisal Mat Zawi, Adibah Abdullah, Nik Mohd Hafiz Abdullah, Nabihah Yusof, Wan Muhammad Baihaqi, dan beberapa yang lain. Jika benar begitu, akan lebih meriah pastinya arena sastera Kelantan dengan kehadiran para penulis pelapis yang akan meneruskan legasi kepengarangan tanah kebun sastera dan lubuk penyair ini.

Kelantan sememangnya memerlukan lebih ramai pengarang muda berwibawa dan penulis generasi baharu yang kental untuk menggantikan tempat para sasterawan terdahulu yang telah pergi. seperti A. Kadir Adabi, S. Othman Kelantan, K. Bali, Sutung Umar RS, Mustafa Jusoh, Naapie Mat, Wan Yusof Hassan, Rahimidin Zahari, dan ramai lagi.

Sayangnya kali ini, sudah tidak ada lagi dua hadiah yang pernah diberikan pada sesi penganugerahan tahun 2020 yang lalu, iaitu Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan dan Hadiah Penghargaan Penggerak Sastera Negeri Kelantan. Manakala Hadiah Sastera Penulis Muda Negeri Kelantan hanya muncul sekali saja sepanjang adanya Anugerah Sastera Kelantan ini, iaitu pada sesi pertama tahun 2002, diterima oleh penulis mudanya ketika itu, Nazmi Yaakub.

Untuk tahun berikutnya pada tahun 2015 dan 2020 serta tahun ini, hadiah tersebut sudah tidak ada lagi. Malah, kategori Penulis Harapan dan Penggerak Sastera juga tidak wujud lagi untuk penganugerahan sesi terbaru tahun 2023 ini. Jadi, untuk penulis muda dan sasterawan generasi baharu sudah tidak ada pengiktirafan khusus seperti sebelum ini lagi. Hanya tinggal anugerah Tokoh Sastera yang berkemungkinan boleh diungguli oleh penulis muda. Namun begitu, adakah pengarang muda yang akan merangkul anugerah ini kerana selalunya penulis veteran yang pastinya akan didahulukan.

Jika kita lihat secara menyeluruh Anugerah Sastera Kelantan ini sepanjang empat kali penganjurannya sejak tahun 2002 hingga terkini tahun 2023, anugerah yang diberikan tidak konsisten. Hal ini menjadikan anugerah agak sukar untuk dijadikan rujukan dan kayu ukur pada masa hadapan kerana anugerah yang diberikan berserta nama anugerah itu sendiri asyik bertukar-tukar setiap kali penganjuran. Hadiah Cekal Sastera misalnya yang pernah diterima oleh Norhisham Mustaffa semasa hayatnya, iaitu ketika majlis tahun 2002 kini sudah tidak ada lagi dan yang tinggal hanya Hadiah Persuratan, kemudian berubah dengan nama Tokoh Cendekia pula kali ini.

Hadiah Cekal untuk sesi penganugerahan tahun 2015 diterima oleh Wadi Leta S.A, manakala Hadiah Persuratan tahun penyampaian 2020 pula diterima oleh A. Aziz Deraman. Pada tahun ini, diwujudkan pula penganugerahan dengan nama baharu, iaitu Tokoh Sastera yang berkemungkinan bakal diterima oleh Wadi Leta S.A, Darma Mohammad, Abdulhadi Muhammad, Rudi Mahmood, Abham TR, Ezani Haji Daud, atau juga daripada kalangan sasterawan Kelantan yang lebih muda, seperti Nimoz T.Y atau Rebecca Ilham. Segala-galanya mungkin dan penuh teka-teki sehinggalah saat pengumumannya pada malam nanti.

Atau mungkin juga akan muncul nama-nama di luar terkaan dan jangkauan kita yang akan melangkah ke pentas anugerah pada malam ini. Malah, penganjuran kali ini juga ditambah dengan satu lagi anugerah baharu yang tidak pernah ada sebelum ini, iaitu Tokoh Bahasa, khusus untuk mengiktiraf individu atau tokoh yang telah memberikan sumbangan dalam mengembang dan memartabatkan bahasa Melayu. Penerima akan mendapat hadiah wang tunai RM2,000 berserta watikah penghargaan. Antara nama yang akan muncul apabila berbicara tentang tokoh bahasa di Kelantan termasuklah Dr. Abdullah Yusoff yang telah banyak menghasilkan karya dalam bentuk tulisan dan buku tentang bahasa.

Siapakah agaknya sasterawan dan pengarang yang bakal dinobatkan dengan gelaran yang ditunggu-tunggu dan berprestij sebagai Sasterawan Kelantan Darul Naim kali ini dan membawa pulang wang tunai RM7,000 bersama-sama watikah penghargaan? Nama-nama yang berkemungkinan besar masuk dalam pencalonan dan senarai menunggu antaranya termasuklah Darma Mohammad, Zahari Affandi, S.M. Zakir, Wadi Leta S.A, A. Aziz Deraman, Lim Swee Tin, dan mungkin seorang dua lagi yang lain.

Ada satu nama yang seperti terlupa atau sengaja dilupakan apabila berbicara tentang sastera Kelantan, iaitu pengarang yang sekali gus pengkritik terkenal Mohd. Affandi Hassan. Ketokohan Mohd. Affandi Hassan sebagai penulis dan kritikus anak jati Kelantan memang tidak dapat dinafikan. Akan tetapi, hal yang menjadi persoalan ialah adakah pihak yang mencalonkan nama Affandi untuk dinobatkan sebagai Sasterawan Kelantan Darul Naim? Selepas itu, adakah Mohd. Affandi bersetuju untuk dicalonkan? Kemudian, adakah beliau mahu menerima anugerah ini atau tidak?

Apa-apa pun, sama-sama kita nantikan pengumumannya pada malam nanti bermula jam 8:30 malam dalam majlis penganugerahan yang akan disempurnakan oleh Yang Berhormat Mulia Tengku Temenggong Kelantan bertempat di Kompleks Islam Jubli Perak Sultan Ismail Petra, Panji, Kota Bharu.

Kredit Foto: Mostafa Meraji/Unsplash

_________________________

Salman Sulaiman telah menulis lima buah buku. Turut menghasilkan artikel politik serta budaya, rencana agama dan esei kritikan filem. Mendapat Hadiah Fasilitator Terbaik dalam Akademi Sastera Siber di Hotel Perdana, Kota Bharu pada tahun 2008. Menerima Penghargaan Karyawan Kelantan 2013. Menjadi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan 2015 dan menerima Hadiah Sastera Penulis Harapan Negeri Kelantan 2019/2020.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.