Oleh Suyuthi Yusuf
10 September 2023, 10:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang
Sasterawan Negara (SN), Yang Berbahagia (YBhg.) Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh menerima Anugerah Khas daripada Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tuan Yang Terutama (TYT) Tun Dato’ Seri Utama Ahmad Fuzi Haji Abdul Razak.
YBhg. Dato’ Haji Anuar Ahmad menerima Anugerah Cekal Sastera daripada Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang, Yang Berhormat (YB) Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid.

Seberang Jaya – Dua orang tokoh sastera Pulau Pinang yang telah banyak memberikan sumbangan, jasa dan bakti dalam dunia sastera tanah air diraikan dalam majlis Anugerah Sastera Pulau Pinang 2023 yang berlangsung di Hotel The Light, pada malam tadi.

Anugerah Khas telah diberikan kepada SN, YBhg. Profesor Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, manakala Anugerah Cekal Sastera menjadi milik YBhg. Dato’ Haji Anuar Ahmad.

Sumbangan karya kreatif dan karya hasil penelitian SN Muhammad Haji Salleh khususnya yang bersumberkan Pulau Pinang merupakan bukti kelihatan hubungannya dengan sejarah dan sosiobudaya masyarakat Melayu Pulau Pinang.

Menurut ulasan panel penilai, beliau merakamkan sejarah Pulau Pinang dengan perspektif yang berbeza. Karya puisi warisan yang bernuansa Pulau Pinang yang diusahakan oleh beliau juga adalah suatu bentuk hubungan yang istimewa beliau dengan Pulau Pinang. Hal ini secara tidak langsung dapat mengungkapkan hubungan hati nurani dan pemikiran beliau yang ampuh dalam menyelami Pulau Pinang dari segi sejarah, seni warisan, budaya dan kehidupan sosioekonomi.

Selain itu, sumbangan penulisan beliau juga secara tidak langsung merupakan khazanah peradaban yang cukup bernilai kepada Pulau Pinang dan juga negara. Ketika bercakap kepada wartawan JendelaDBP, beliau merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri kerana memberikan anugerah yang bernilai ini.

Pulau Pinang merupakan negeri yang memulakan sastera moden dan pemikiran dalam surat khabar moden. Saya berharap agar para pemenang juga diberikan pendedahan tentang perkembangan sastera dunia.

SN, YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh semasa menerangkan kepada wartawan JendelaDBP tentang harapan beliau terhadap dunia kesusasteraan tanah air.

Beliau juga berharap agar sastera Malaysia mencapai peringkat yang tertinggi dunia. Ujarnya,

Saya ingin melihat para pengarang kita dihantar ke luar negara. Kita mungkin boleh bekerjasama dengan kementerian tertentu atau kedutaan di luar negara. Selain itu, untuk meningkatkan kualiti dunia kesusasteraan negara, kita juga perlu menggiatkan lebih banyak kegiatan penterjemahan supaya karya-karya besar dunia dapat dibaca.

Selanjutnya, beliau juga menyatakan harapan agar penulis dan pengarang muda membuka diri kepada karya besar dunia selain mengetahui kehidupan mereka.

Baca biografi hidup mereka dan lakukan perbandingan karya antara negara. Harus baca contohnya karya sastera dari negara Sepanyol, Jepun, China dan benua Eropah.

Pada masa sekarang, SN, YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh sedang mengusahakan penerbitan versi tertua Hikayat Hang Tuah yang akan diterbitkan oleh DBP. Selain itu, beliau juga telah menerbitkan buku baharunya terbitan UM Press, iaitu antologi karya-karya tradisional bertajuk An Anthology of Traditional Malay Literature. 

Selain beliau, seorang lagi tokoh sastera yang diberikan anugerah ialah YBhg. Dato’ Haji Anuar Ahmad@Anuar Asmadi. Anugerah Cekal Sastera yang diberikan kepada beliau merupakan pengiktirafan kepada sumbangan beliau dalam perkembangan kegiatan sastera, bahasa dan budaya yang dilaksanakan secara berterusan.

YBhg. Dato’ Haji Anuar Ahmad@Anuar Asmadi, Penerima Anugerah Cekal Sastera.

Panel penilai anugerah berpandangan bahawa jasa dan sumbangan beliau secara tekal dan cekal selama lima dekad dalam kegiatan kesusasteraan, persuratan dan kebudayaan di negeri Pulau Pinang khususnya dan Malaysia amnya telah melayakkan beliau menerima anugerah tersebut. Ketika bercakap kepada wartawan JendelaDBP, beliau menyatakan bahawa:

Saya tidak terfikir langsung akan mendapat anugerah ini. Saya hanya menjalankan kerja untuk sastera dan budaya di Pulau Pinang ini. Anugerah ini juga untuk rakan-rakan saya yang berjuang dalam bidang yang sama. Bukan hanya saya seorang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.