Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – S.M. Zakir atau nama sebenarnya Syed Mohd Zakir Syed Othman dipilih sebagai Sasterawan Kelantan 2023 dalam Majlis Penyampaian Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023 yang berlangsung di Dewan Utama Tengku Kaya Pahlawan, Kompleks Islam Jubli Perak, Sultan Ismail Petra, Kota Bharu, Kelantan pada malam tadi. Penganugerahan tersebut telah disempurnakan oleh YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan.
Sebagai penerima Anugerah Sasterawan Kelantan 2023, S.M. Zakir membawa pulang wang tunai berjumlah RM10 000.00 dan watikah penghormatan.
Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan (ABBSK) sebelum ini dikenali dengan nama Anugerah Sastera Negeri Kelantan (ASNK). ASNK pertama pada tahun 2003 menobatkan Sasterawan Negara (SN) S. Othman Kelantan, manakala ASNK kedua pada tahun 2015 diberikan kepada Fatimah Busu dan ASNK ketiga pada tahun 2020 mengiktiraf Rosli K. Matari. Penerima ASNK diberikan gelaran Sasterawan Negeri Kelantan. Bermula pada tahun ini, gelaran ini ditukar kepada Sasterawan Kelantan.
Pengiktirafan ini diberikan kepada sasterawan negeri Kelantan yang masih hidup yang memberikan sumbangan cemerlang dan berterusan dalam perkembangan kesusasteraan tanah air melalui penciptaan karya yang bermutu tinggi.
Selain itu, Anugerah Tokoh Bahasa dan Sastera Kelantan (ATBSK) merupakan program pengiktirafan yang baharu diperkenalkan pada tahun 2023. Anugerah ini diadakan bagi mengiktiraf individu-individu yang terampil, mapan dan utuh dalam bidang persuratan dan bahasa.
Pada kali ini, Tokoh Bahasa Kelantan diberikan kepada Profesor Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Haji Abdul Karim, Tokoh Sastera Kelantan pula menjadi milik Dr. Abdul Ayah@Abdul Aziz Mahmood atau lebih dikenali dengan nama penanya Abham T.R. dan Tokoh Cendekia Kelantan pula diberikan kepada Mohamad Mahmud. Setiap penerima anugerah ini menerima hadiah wang tunai RM5000.00 dan watikah penghormatan.
YBM Tengku Tan Sri Dato’ Haji Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz, Tengku Temenggong Kelantan menerusi ucapan perasmian majlis menyatakan bahawa penganugerahan ini memberikan impak yang besar dalam usaha merangka pembangunan sastera negeri dan sastera kebangsaan secara lebih menyeluruh.
Saya yakin pengiktirafan yang sungguh bermakna pada peringkat negeri ini akan mengeluarkan para penulis Kelantan dari dalam kepompong dan membuka peluang untuk turut sama-sama bersaing dan menyumbang pada peringkat kebangsaan.
YBrs. Dr. Hazami Jahari selaku Ketua Pengarah DBP pula dalam ucapan alu-aluan majlis menyebutkan bahawa anugerah ini bertujuan memberikan penghormatan dan pengiktirafan kepada para karyawan negeri Kelantan.
Para karyawan Kelantan sejak awal lagi telah berupaya menyemarakkan dan mendaulatkan khazanah bahasa melalui sumbangan karya-karya sastera yang besar pemikirannya.
Selain itu, Hadiah Sastera Kelantan (HSK) pula merupakan pengiktirafan terhadap karya penulis yang memberikan sumbangan kepada pembangunan pemikiran masyarakat dan peradaban bangsa. Hadiah ini dibahagikan kepada dua bahagian, iaitu Bahagian A – Buku (Perseorangan) dan Bahagian B – Karya Eceran (Puisi, Cerpen dan Esei Kritikan/Kajian Sastera).
Penerima Bahagian A masing-masingnya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM1500.00 dan sijil penghargaan, pemenang Bahagian B Karya Eceran bagi puisi pula masing-masing membawa pulang wang tunai berjumlah RM600.00 dan sijil penghargaan, manakala bagi karya eceran cerpen dan esei kritikan/kajian sastera pula menerima wang tunai berjumlah RM700.00 dan sijil penghargaan.
Panel Penilai bagi Anugerah Bitara Bahasa dan Sastera Kelantan 2023 ialah YBhg. Prof Emeritus Dr. Abdullah Hassan, YBhg. Prof. Dr. Abdul Halim Ali, YBrs. Dr. Abang Patdeli Abang Muhi, YBrs. Dr. Syaidul Azam, YBrs. Dr. Rusmadi Baharudin, YBrs. Dr. Mohamad Shaidan, YBrs. Dr. Faezah Muhayat, Encik Shahrun Nizal, Puan Siti Aishah Murad, Puan Salmiah Ismail, dan Puan Noraini Abd. Shukor.
Yang berikut merupakan para pemenang Hadiah Sastera Kelantan 2019-2022:
Para pemenang bagi Karya Eceran (Puisi):
Para pemenang bagi Karya Eceran (Cerpen):
Pemenang Esei Kritikan/Kajian Sastera: