Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKota Bharu – Wan A. Rafar kekal menjadi Ketua 1 Persatuan Penulis Kelantan (PPK) untuk penggal kedua dalam pemilihan Mesyuarat Agung tahun 2023. Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-53 ini telah berlangsung dengan jayanya pada 25 November 2023 bertempat di Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, Kota Bharu, Kelantan.
Pemilihan Wan A. Rafar atau nama sebenarnya Yaakub Ishak membuktikan bahawa beliau masih relevan dan mempunyai karisma tinggi untuk terus memacu PPK ke mercu jaya.
Pemilihan kali ini juga menyaksikan beberapa nama kekal menduduki kerusi Ahli Jawatankuasa (AJK) PPK selain beberapa nama baharu, termasuklah Wan A. Rafar sendiri, Rossem, Abdul Hadi Yusoff, Abdul Razak Rezeki Othman, Aziz Mohd Noor, Mohd Dahri Zakaria, Salman Sulaiman, Nasriah Abdul Salam, Wan Zai Wan Ismail, Chu E Liang, Mashanis Mohamad, Ramzan al-Firdausi, dan Khairani Abdul Rahman.
Sebelum Mesyuarat Agung, turut diadakan ialah Baca Puisi Solidariti untuk Palestin.
PPK merupakan antara badan penulis yang aktif menganjurkan program di Kelantan.
Antara program berimpak yang pernah diusahakannya termasuklah Hari Sastera kali pertama (1–3 Ogos 1972), Hari Puisi Nasional, Sambutan Jubli Perak PPK, Dialog Pantai, Wacana Belasungkawa PPK, Bicara Sasterawan Norhisham Mustaffa, Bengkel Penghasilan Memoir PPK & Zine, dan Hari Sastera ke-18 (4–6 Ogos 2022).
Pimpinan PPK pernah diterajui oleh beberapa penulis ternama Malaysia, termasuk Mohd. Dom Madzi Ibrahim (1966–1970), Alias Harun (1971–1972), Sasterawan Negara S. Othman Kelantan (1972–1975), Haji Hussin Ahmad (1975–1981), Muda Abdul Rahman (1982–1985), Zanariah Abdul Rahman (1986–1994), Haron Awang Hamat (1995-2000), M. Husdaini Mamat (2001–2018), dan Wan A. Rafar (2019 hingga sekarang).
Sejurus Mesyuarat Agung, mesyuarat pertama AJK terus berlangsung di lokasi lain. Antara usul yang dibawa termasuklah penubuhan Biro Penerbitan, Biro Kebajikan Penulis, Biro Aktiviti & Pembinaan Bakat, Biro Ekonomi, Biro Multimedia & Media Sosial, dan Biro Perhubungan Awam & Tugas-tugas Khas.
Penubuhan biro ini dilihat holistik dan sesuai dengan dunia teknologi maklumat dan media sosial yang semakin berkembang.