Diterbitkan pada 3 September 2025, 13:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Tumpat – Sebanyak 34 penyair Kelantan mengangkat puisi sebagai medium cinta tanah air dengan mendeklamasikan karya masing-masing di dalam gerabak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) pada 31 Ogos lalu bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-68.

Program Khatam Puisi dalam Keretapi anjuran Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dengan kerjasama KTMB itu menjadikan gerabak penumpang sebagai pentas seni yang meriah selama lima jam perjalanan dari Stesen Wakaf Bharu ke Stesen Gua Musang.

Antara yang mencuri perhatian termasuklah penyair tersohor tanah air, Chu E Liang yang tampil mendeklamasikan puisinya yang bertajuk “Nada Bermadah Warga Bermaruah” berlatarbelakangkan deruman roda besi dan panorama desa di bumi Kelantan yang terbentang di sepanjang landasan.

“Puisi kemerdekaan wajar terus menjadi jambatan penyatuan rakyat Malaysia. Puisi dapat menyentuh jiwa tanpa mengenal bangsa, mengingatkan kita tentang roh perjuangan dan makna sebenar kemerdekaan,” kata anak jati Kampung Joh, Machang yang telah menghasilkan lebih 500 karya sepanjang lebih empat dekad berkecimpung dalam dunia kesusasteraan.

Selain Chu, antara penyair Kelantan yang turut serta termasuklah Abdul Hadi Yusuf, Awang Abdullah, Mukhtar Mustafa, Usman Gumanti, Mohd Nor Yusuf, dan Aireen Tan Ai Leng.

Menurut Ketua 2 PPK, Encik Razak Othman, acara tersebut julung kali dianjurkan dan mendapat sambutan yang menggalakkan daripada para penyair Kelantan.

“PPK berterima kasih kepada KTMB atas kerjasama dalam menjayakan program ini. Sebanyak 34 penyair tampil secara bergilir-gilir mendeklamasikan puisi bertema patriotik di dalam gerabak sepanjang perjalanan tersebut,” katanya yang turut menyambut ketibaan rombongan di Stesen Gua Musang.

Kredit Foto: Zanazanzaly
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi