Oleh Rosli K. Matari
3 Julai 2023, 15:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Allahyarham Ilmin Abdullah, penyair, aktivis, wartawan, dan penulis Kelantan yang mempunyai tempatnya yang tersendiri di peta sastera Kelantan. Rosli K. Matari menulis tentangnya sebagai sebuah penghormatan terakhir.

Ketika Dato’ Kemala berkunjung ke Kelantan pada kali terakhir dalam hayatnya, tahun 2019, diundang sebagai Tokoh Tamu bagi Syarahan Perdana A. Kadir Adabi oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), nama Ilminlah yang dipesan peringat oleh beliau agar dimaklumkan akan kehadirannya. Dua kali, beliau menelefon bagi memastikan saya tidak lupa. Begitu rapatnya Dato’ Kemala dengan Ilmin.

Meski namanya Ilmin, namun tidak jarang-jarang disapa sebagai Hilmi, atau Helmi. Ketiga-tiga nama itu mudah bersinonim sebutannya. Nama penuh beliau ialah Ilmin Abdullah.

Ilmin bukanlah nama yang terselit sebagai penulis penting dalam dunia sastera tanah air. Bukan juga nama yang rata-rata dikenali umum dalam kalangan penulis, aktivis sastera dan persatuan penulis di pelosok tanah air. Namun jika di Kelantan, namanya cukup dikenali. Beliau aktivis sastera yang tidak mengenal lelah. Menulis, sekali-sekala.

Akan tetapi, ada yang lebih penting lagi. Nama, budi dan jasa usahanya tidak dapat dinafikan terkait dengan faktor kemunculan dan kedinamikan kreativiti, pada beberapa orang penulis Kelantan yang berjaya terkenal di tanah air. Serta juga, program yang terkait penting pada gerakan kemajuan sastera di tanah air. Cuma, hal ini terselindung, jika tidak dikedepankan pada sejarah.

Di tanah air, sekadar beberapa penulis, aktivis dan editor tertentu sahaja mengenalinya secara mesra. Sungguhpun demikian, Tan Sri Ismail Hussien (Allahyarham), Sasterawan Negara (SN) Dato’ Dr. Kemala (Allahyarham) dan Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari merupakan tokoh yang mengenalinya dengan rapat. Di samping itu, Sasterawan Negara Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh juga mengenalinya, dan jika tidak silap, termasuk Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan juga.

Ketika Dato’ Kemala berkunjung ke Kelantan pada kali terakhir dalam hayatnya, tahun 2019, diundang sebagai Tokoh Tamu bagi Syarahan Perdana A. Kadir Adabi oleh Pertubuhan Peradaban Melayu Malaysia Kelantan (PERADABAN), nama Ilminlah yang dipesan peringat oleh beliau agar dimaklumkan akan kehadirannya. Dua kali, beliau menelefon bagi memastikan saya tidak lupa. Begitu rapatnya Dato’ Kemala dengan Ilmin.

Mereka sudah saling akrab sejak seawal dekad 1980-an lagi. Ilmin selesai menuntut di Universiti Sains Malaysia (USM) pada hujung 70-an, sebelum kemudian Dato’ Kemala hadir melanjutkan pengajian sarjana di sana. Tidak hairan, jika pada sebuah buku (tahun 2021) membicarakan kreativiti kepenyairan R. Hamkama, Dato’ Kemala tidak meninggalkan nama Ilmin dalam contoh baris penulis Kelantan. Demikian, mendalam sekali kasih beliau kepada Ilmin.

Semasa menuntut di USM, ketika itu, antara turut menjadi sahabat baik Ilmin termasuklah Khalid Ibrahim (penyair veteran Kelantan), Muhd. Mansur Abdullah (Dato’, Ketua Satu DPMP), Idris Jusoh (Dato’, bekas Menteri Besar Terengganu) dan Ahmad Said (Dato’, bekas Menteri Besar Terengganu). Hubungan mereka tetap berpanjangan dan kekal baik, walau sekali-sekala berjumpa, atau dikunjungi oleh Ilmin.

Keakraban dengan Ketua Satu GAPENA, Tan Sri Ismail Hussien pula kerana Ilmin pernah beberapa lama membantu mendukung Persatuan Penulis Kelantan (PPK) sebagai Setiausaha Satu. Jawatan ini disandang oleh beliau menggantikan Lim Swee Tin, selepas penyair terkenal itu berundur bagi melanjutkan pengajiannya ke Universiti Putra Malaysia. PPK semasa itu adalah pada era pimpinan Zanariah Wan Abdul Rahman (Allahyarhamah) sebagai Ketua Satu.

Ilmin Abdullah

Apabila bercakap tentang PPK dan Ilmin, kita perlu melihat Dialog Pantai, yang julung-julung kalinya berlangsung di Kelantan. Seminar itu anjuran bersama GAPENA dengan PPK. Sebagai setiausaha PPK, Ilmin banyak berperanan besar dan merupakan individu yang cukup membantu dalam usaha melicinkan dan menyempurnakan seminar tersebut. Maka, Ilmin dan Tan Sri Ismail bertambah akrab. Malah, siri Dialog Pantai masih lagi tetap kekal di sisi GAPENA.

Sebagai setiausaha, tentulah banyak beban di pundak yang dipikul dan perlu dilaksanakan oleh Ilmin. Memang semua pengorbanan itu, kami para sahabat lalui bersama-sama dengan beliau dengan penuh cabaran hambatan, pahit manis dan suka duka. Semua itu menjadi kenang-kenangan.

Sebahagian daripada pengisian visi PPK ketika itu ialah, kami ingin menghala PPK kepada perubahan dan pembaharuan aktiviti atau program, bagi mempertingkatkan citra, wibawa dan wawasan PPK. Hal ini tentulah tidak memungkinkan bagi dicatatkan sepenuhnya di sini.

Namun begitu, saya ingin memilih, ada dua program yang amat saya ingati sebagai wibawa hebat PPK pada waktu itu. Satu ialah penganjuran Seminar Saham Bersama Salleh Majid. Manakala satu lagi, Pesta Makanan Kelantan-Thailand. Merenung pada kedua-dua nama progam ini pun, sudah cukup untuk terlihat agak ganjil kerana dilaksanakan oleh persatuan penulis. Namun, siapa yang dapat menafikan bahawa kedua-duanya merupakan program yang berwibawa, besar dan mengagumkan?

Kedua-dua program ini sebenarnya merupakan idea yang datang daripada Ilmin. Sewaktu dicadangkan, tidak hairan, jika kebanyakan ahli jawatankuasa (AJK) menolak. Tentu sahaja aneh bagi persatuan penulis, kerana yang lazim aktiviti persatuan hanya terkait pada sastera sahaja.

Lebih-lebih lagi, paling menggerunkan ialah soal biaya asas yang harus disediakan oleh PPK. Sebagaimana pada kebanyakan persatuan penulis, wang tabung persatuan hanya bagai hujung kuku sahaja. Bagai bermimpi di siang hari, jika mengangankan program besar dengan kemampuan yang daif, tanpa ihsan tunjangan lain. Ihsan itulah yang tidak mudah diperoleh. Jika diperoleh pun, jauh daripada mencukupi, bagai diberikan secara melepaskan batuk di tangga sahaja.

Namun begitu, di luar sangka, diam-diam Ilmin menguruskan agar tetap bergerak juga kedua-dua program besar tesebut. Walaupun AJK tercengang, menggeleng kepala, mahu tidak mahu terpaksalah AJK membantu tenaga kerana Ilmin sudah melangkah ke hadapan. Untuk undur sudah tidak mungkin lagi. Malah, sebenar, Ilmin sendirilah yang lebih besar berperanan sendiri, justeru lebih tahu dan mahir kerana idea itu datang daripada mindanya. Kehebatannya ialah beliau mampu menguruskan dan melaksanakannya seorang diri.

“Ilmin adalah tetap Ilmin.” Kata-kata ini memang sudah biasa, bagai peribahasa, dalam kalangan kami menggambarkan beliau. Kata-kata ini lebih bermaksud, beliau kadang-kadang bagai “keras kepala”. Namun, kami tahu, beliau seorang yang cukup idealis, malah sebenarnya bijak. Secara lebih tepat, kata-kata itu juga bermaksud, beliau mampu bermandiri, tanpa mempedulikan sesiapa yang tidak berminat membantunya.

Mengagumkan, tiada sebarang rungutan atau komen tidak puas hati oleh peserta orang kaya-kaya itu sepanjang pelaksanaan seminar saham tersebut. Bahkan, di hadapan kami, Salleh Majid amat berterima kasih kepada Ilmin.

Pada seminar saham, beliau benar-benar berjaya membawa tokoh terkemuka dalam bidang ini di tanah air, Salleh Majid, ke Kelantan. Siapa sangka? Seminar ini berjaya dilaksanakan. Lebih 200 peserta yang terdiri daripada orang kaya dari Kelantan. Malah, ada juga dari luar Kelantan dan Kuala Lumpur yang turut hadir. Seharian suntuk berlangsung. Yuran mahal, tetapi saya sudah tidak ingat lagi berapa bayarannya.

Seminar dirasmikan oleh Menteri Kewangan, Dato’ Mustapha Mohamad. Barisan petugas seminar pula bukanlah AJK PPK kerana Ilmin tidak ingin menyusahkan AJK. Kami menduga, justeru rajuknya. Entah dari mana, dicari dan dibawanya semua petugas itu. Malah, berpakaian indah, seragam batik kurung kerana semuanya gadis cantik-cantik. AJK hanya mampu tercengang. Kami gelak, “Ilmin memang pandai pilih yang muda-muda cantik.”

Pada sebelah malam pula, diadakan masjlis makan malam yang mahal harganya bagi satu meja. Dapatlah kami ikut santap lazat-lazat, sambil gelak-gelak berkata, “Ilmin adalah tetap Ilmin.” Demikian, semua itu diuruskan Ilmin, bersendirian.

Tugas kami, lebih awal sebelum itu. Pada sebelah petang kami berpenat mengusung dan menggolek sejumlah meja besar bulat ke tingkat atas bangunan MARA. Tingkat empat, jika tidak silap ingatan saya. “Gelek bulan,” Usman Gumanti Ibrahim ketawa terkekeh-kekeh, mengingat pada rupa bentuk meja itu.

Mengagumkan, tiada sebarang rungutan atau komen tidak puas hati oleh peserta orang kaya-kaya itu sepanjang pelaksanaan seminar saham tersebut. Bahkan, di hadapan kami, Salleh Majid amat berterima kasih kepada Ilmin.

Manakala, pada Pesta Makanan Kelantan-Thailand itu, juga tidak diketahui oleh AJK, bagaimana beliau mampu menguruskannya seorang diri. Beliau merajuk kerana AJK tidak berminat menyokong ideanya. Namun menjelang pelaksanaan pesta, AJK tetap turut membantu pada kadar apa yang patut.

AJK kaget. Di padang, di hadapan kompleks Dewan Perkumpulan Perempuan Kelantan, Gelanggang Seni dan Perpustakaan Awam Negeri, teratur gerai yang lengkap dengan khemah kecil bagi setiap satunya. Memenuhi kawasan tepi pada hampir sekeliling padang yang agak besar itu. Entah bagaimana dan pada siapa, beliau dapat menguruskan dan menyiapkan semua susunan gerai itu.

Pada hari berlangsungnya pesta, sehari suntuk, beriok orang – begitu ramai dan meriahnya pengunjung. Beli-belah makanan dengan menggunakan kupon.

Lucunya, Ketua Satu PPK, Zanariah Wan Abdul Rahman yang hadir membeli-belah, tidak pula mengetahui pesta itu dianjurkan oleh PPK. Kami gelak. Ilmin sengaja tidak memberitahu atau mengundang Ketua Satu kerana rajuknya dahulu. Kak Zanariah ketawa, “Ilmin adalah tetap Ilmin.”

Dalam kalangan sahabat penulis di Kelantan, Ilmin dikenali dan diketahui sebagai individu yang cukup idealis. Kadang-kadang mengagetkan kami kerana bukan semua idea itu mampu untuk kami laksanakan. Terutamanya berkaitan biaya atau penaja. Namun begitu, kami tidak menafikan yang sebahagian besar hasrat murni dan impian indahnya itu, sebenarnya tepat dan bersignifikan besar.

Salah sebuah antologi puisi yang mempunyai kepekaan pada isu antarabangsa, diselenggarakan oleh Ilmin Abdullah.

Menariknya, sebagai contoh saranannya: (1) Dewan Bahasa dan Pustaka wajar ditubuhkan cawangan di beberapa buah negeri strategik, termasuk Kelantan; (2) Muzium Perang Dunia Kedua perlu ada di Kelantan; (3) Perpustakaan Awam harus mengadakan pelbagai aktiviti, program, bukan sekadar untuk meminjam buku; dan (4) Perpustakaan Awam dan Muzium Negeri Kelantan wajar mempunyai sejarawan dan penulis tamu.

Memang sebahagian besar idealisme beliau tidak terlaksana, justeru pelbagai hambatan. Namun jika direnung, semua itu tidak mustahil terlaksana, jika tanpa hambatan.

Akan tetapi, keempat-empat contoh perkara yang disenaraikan, sebenarnya kini sudah pun lama berjaya menjadi realiti. Betapa pun bukan kerana inisiatif beliau atau PPK.

Demikian, gagasan tersebut pada Ilmin, sebenarnya lebih mendahului dan benar-benar dapat menepati realisasi. Malah, saya masih berdoa pada harapan dan menunggu, moga-moga akan ada Muzium Sastera Kelantan. Ilmin pernah menggagaskan impian ini.

Semua kalangan sahabat penulis di Kelantan, mengetahui, Ilmin paling akrab dengan saya. Siang, malam. Sehingga para sahabat menyebutkan, jikalau hendak mencari saya, cari di mana Ilmin. Begitu juga sebaliknya. Sebagai sahabat akrab, saya cukup mengenal hati budi dan pekertinya. Saya mengetahui, beliau mempunyai empat sifat peribadi, yang jika direnung, sebenarnya mengagetkan, sekali gus, mengagumkan.

Pertama, beliau tidak memiliki sifat marah. Tiada seorang pun daripada kami pernah melihat beliau meluahkan atau menyimpan rasa marah. Kedua, bersifat selamba. Jika ditegur dengan nasihat, atau dimarahi oleh mana-mana sahabat, beliau hanya tersenyum. Tidak akan mengambil sikap membahas bagai hendak menegakkan benang basah, sekalipun beliau mempunyai alasan.

Ketiga, selalu tenang. Tidak berkerut dahi atau merungut pada apa-apa masalah. Keempat, beliau tidak pandai berjenaka. Usahkan tidak pernah pandai berjenaka, malah kami tidak pernah melihat beliau tertawa terbahak-bahak, pada apa-apa perkara lucu sekalipun.

Semua itu menjadi sifat indah pada peribadinya sepanjang hayat.

Sungguhpun demikan, kami mempunyai beberapa kisah lucu tentang dirinya. Salah satunya ialah kisah beliau bersama Rahimidin Zahari (Allahyarham). Anak muda yang ketika itu baru berjinak-jinak hendak menjadi penyair. Semasa Hari Puisi Nasional diadakan di Kem Kijang, Kota Bharu, Ilmin bergegas pulang subuh kerana hendak berkejar ke sekolah pula. Rahimidin menumpang. Tentu sahaja, beliau akan cukup baik hati untuk menghantar pulang Rahimidin terlebih dahulu, walau jauh dan akan terlembat ke sekolah.

Mungkin kerana laju, justeru subuh pula tidak sibuk kenderaan, kereta dipandu oleh Ilmin terbabas di selekoh. Terus merempuh batang tiang pelantar atap sebuah kedai kopi. Mujur beliau sempat membrek kereta. Namun, tiang itu tetap tumbang dan atap menyerukup keretanya. Tuan kedai yang sedang menjerang air melenting, kuat menjerit. “Allahu Akbar!” Amat terkejut. Segera meluru datang.

Akan tetapi, sebelum sempat ditanya apa-apa oleh tuan kedai, kata-kata pertama disuarakan oleh Ilmin melalui tingkap kereta ialah, “Teh tarik, dua,” sambil mengangkat dua batang jari melalui tingkap kereta, ketika serukup atap itu diangkat oleh tuan kedai.

Kami mendengar kisah itu diceritakan oleh Rahimidin, terbahak-bahak. Mujurlah tuan kedai itu tidak marah. “Ini dua kali dah kedai ambo kena rempuh,” ujar tuan kedai. Lagilah kami tergelak. Kedai itu berada di selekoh. Tidak hairanlah, jika ada kereta terbabas, terus merempuh kedai.

“Kalau kali ketiga, esok-esok, rasa, kereta masuk terus ke dalam kedai ambo,” Rahimidin mengajuk kata-kata tuan kedai. Sampai sekarang, kami akan tergelak-gelak apabila mengenang kembali kisah ini.

Baca Bahagian Kedua Refleksi |

Terselindung di Sebalik Ilmin Abdullah (Bhg. 2)

Kredit Gambar: Firus Fansuri/Midjourney

_________________________

Rosli K. Matari atau nama sebenarnya Mohd Rosli bin Nik Mat tinggal di Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan. Beliau merupakan penerima Anugerah SEA Write (Malaysia) 2021. Beliau juga Sasterawan Negeri Kelantan 2019/2020. Kumpulan puisinya, Mengingat Matahari (Kata-Pilar, 2023) menerima Hadiah Utama Hadiah Puisi T. Alias Taib 2023.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.