Oleh Karmila Azmi
27 Februari 2024, 09:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pengarang tersohor Singapura, Suratman Markasan meninggal dunia jam 2.00 pagi tadi dalam usia 94 tahun.

Pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh anak perempuannya, Suraini Suratman.

“Dukacita dimaklumkan Sasterawan Negara Cikgu Suratman Markasan telah kembali ke rahmatullah pukul 2.00 pagi tadi.

“Jenazah akan disembahyangkan jam 10.00 pagi ini,” katanya.

Suratman adalah antara pengasas ASAS 50 yang dikenali sebagai pengarang prolifik dan merupakan penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara (SEA Write Award) 1989 mewakili Singapura.

Beliau merupakan pengarang Melayu terakhir yang lahir daripada generasi pengarang sebelum Perang Dunia Kedua.

Beliau juga menjadi pengarang Singapura pertama dijemput sebagai Karyawan Tamu di Dewan Bahasa dan Pustaka.

Lulusan Maktab Perguruan Sultan Idris (Sekarang Universiti Pendidikan Sultan Idris) sekitar 1950-an, Suratman pernah menerima Anugerah Tokoh Pujangga dari UPSI pada tahun 2002 selain Cultural Medallion atau Anugerah Pingat Budaya dari Kerajaan Singapura pada tahun 2010, dan Anugerah Sasterawan MASTERA pada tahun 2014.

Antara karya awal beliau termasuklah sajak “Hati yang Kosong” sebelum kumpulan puisi Mekar dan Segar pada tahun 1959. Novel pertamanya Tak Ada Jalan Keluar diterbitkan pada tahun 1962.

Antara karyanya yang penting termasuklah novel Penghulu yang Hilang Segala-galanya (Fajar Bakti, 1998), Puisi-puisi Pilihan Suratman Markasan (National Library Board of Singapore, 2015) dan kumpulan cerpen Dari Perang Datang Sampai Kamoe San Masuk Melayu (DBP, 2015).

Sebagai lulusan bidang pendidikan, beliau pernah bertugas di Sekolah Melayu Pasir Panjang pada tahun 1961 hingga 1964 sebelum menyambung pengajian di Universiti Nanyang dalam bidang seni dan pengajian Indonesia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.