Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangLondon – Sarjana terkemuka Kesusasteraan Melayu klasik yang berkhidmat di School of Oriental and African Studies (SOAS), University of London, Prof. Emeritus Dr. Vladimir I. Braginsky meninggal dunia pada 2 Februari yang lepas.
Pemergian Braginsky, 74, dikongsi oleh wartawan, Zaharah Othman yang menetap di London.
Zaharah walau bagaimanapun tidak berkongsi punca kematian sarjana kelahiran Moscow, Rusia itu, sebaliknya berkongsi pengalaman peribadinya berguru dengan Braginsky.
Dalam catatan Facebooknya, Zaharah yang banyak menyumbang tulisan kepada New Straits Times berkata, sarjana itu banyak membimbingnya untuk lebih memahami sastera Melayu klasik, malah menyifatkan tunjuk ajarnya melangkaui akademik semata-sama, “tunjuk ajarnya bergema dalam jiwa saya dan mengubah persepsi saya selama-lamanya.”
Braginsky terkenal dalam bidang kajian sastera Melayu klasik Malaysia dan Indonesia, selain turut mengkaji mengenai sufisme di Kepulauan Melayu-Indonesia, juga sastera bandingan.
Braginsky ialah lulusan Moscow State University dan berkhidmat di Institute of Oriental Studies in Moscow dari tahun 1969 hingga 1993. Beliau kemudiannya bertugas di SOAS sejak tahun 1993.