21 Mac 2024, 06:56

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Fatin Nur Amira Mohtar membincangkan ikatan penting antara perkembangan sastera Melayu Singapura dengan ASAS 50, dan krisis yang sedang dihadapi oleh persatuan sastera yang cukup bersejarah itu.

Semasa dipimpin oleh Muhammad Ariff Ahmad, ASAS 50 membentuk satu fahaman yang dikenali sebagai ‘Seni untuk Masyarakat’.

Angkatan Sasterawan ‘50 atau lebih dikenali sebagai ASAS 50 merupakan sebuah persatuan sastera yang berakar kuat di Tanah Melayu selepas perang. ASAS 50 ditubuhkan pada 6 Ogos 1950.

Persatuan ini bukan sahaja dicetuskan oleh para sasterawan pada masa itu, malah turut dianggotai oleh guru, pensyarah dan wartawan daripada pelbagai profesion, termasuk Muhammad Ariff Ahmad (MAS), Kamaluddin Muhammad (Keris Mas), Abdul Wahab Muhammad, Abdul Jalil Haji Nor, Munir Ali, Haji Kumasi Dainuri, Abdul Majid Husain, Masuri Salikun, Abu Yamin Kasun, Ahmad Ramli Abdul Karim, Muhammad Daud, dan Muhammad Yusuf Yaacob.

Semasa dipimpin oleh Muhammad Ariff Ahmad, ASAS 50 membentuk satu fahaman yang dikenali sebagai “Seni untuk Masyarakat”. Slogan ini menekankan bahawa persatuan ini bersifat kemasyarakatan dan menggunakan bahan sastera sebagai alat untuk mencapai kemerdekaan.

Tujuan penubuhan ASAS 50 adalah untuk memperluas serta meninggikan martabat kesusasteraan dan kebudayaan Melayu. Ahli-ahli ASAS 50 secara aktif berusaha untuk meningkatkan status kesusasteraan dan kebudayaan Melayu sebagai tonggak bangsa di Tanah Melayu.

Mereka terlibat dalam pelbagai usaha, termasuk mempelajari bidang kesusasteraan seperti cerita, lakonan, buku, rencana, syarahan, dan perdebatan yang berkaitan dengan kesusasteraan. Tujuan seterusnya ialah mengadakan pembaharuan dalam sastera tanpa mengabaikan yang lama.

Selain itu, ASAS 50 juga bertujuan untuk memajukan dan memperbaiki bahasa Melayu dalam penghasilan karya sastera. Mereka aktif dalam usaha mengubah, mencipta, membasmi, dan membina perkataan-perkataan untuk memperkayakan bahasa dan sastera. Dengan berpegang pada tujuan penubuhan ini, ASAS 50 telah memberikan sumbangan dalam kesusasteraan Melayu dalam pelbagai jenis bidang: sajak (Masuri S.N. dan Usman Awang); cerpen (Keris Mas, Usman Awang, Awam-il Sarkam dan A. Samad Ismail); kritikan sastera (Asraf); dan bidang bahasa.

Konsep “Seni untuk Masyarakat” menekankan seni sebagai alat yang memberikan manfaat kepada masyarakat. Hal ini melibatkan pendidikan, pembangunan kesedaran sosial dan menangani isu-isu masyarakat. Mereka yang berpegang pada konsep ini percaya bahawa seni perlu melibatkan masyarakat dan seni dapat menyelesaikan segala masalah yang ada pada setiap masyarakat. Lain pula dengan konsep “Seni untuk Seni” yang menekankan aspek keindahan dan estetika dalam sesebuah karya. Mereka kebiasaannya mengutamakan kreativiti tanpa terikat dengan tuntutan masyarakat. Mereka menganggap seni sebagai bentuk ekspresi daripada imaginasi pengkarya.

Sejarah awal ASAS 50 mencatat satu peristiwa penting, iaitu polemik antara konsep “Seni untuk Masyarakat” dengan “Seni untuk Seni”. Perdebatan ini melibatkan dua kumpulan yang berbeza pendapat, iaitu Utusan Melayu yang dipimpin oleh Asraf dan majalah Mingguan Hiburan dan Hiburan Cerita yang diketuai oleh Hamzah Hussein. Tujuan perdebatan ini adalah sama ada untuk mengikuti “Seni untuk Masyarakat” atau “Seni untuk Seni”.

Pada ketika itu, Asraf begitu yakin dalam memperjuangkan konsep “Seni untuk Masyarakat”, begitu juga Hamzah yang turut menegakkan konsep “Seni untuk Seni”. Mereka membincangkan tujuan kesusasteraan dan hubungannya dengan masyarakat. Perdebatan yang berlaku antara dua konsep ini telah menyebabkan perpecahan dalam ASAS 50, dan polemik ini menjadi semakin hangat dan mendapat perhatian pihak luar.

Hamzah menyokong konsep ini kerana ingin mewujudkan kesusasteraan yang lebih bebas, agar penulis boleh menulis mengikut kemampuan dan pendapatnya sendiri. Hamzah juga menegaskan bahawa konsep “Seni untuk Seni” bukanlah bermaksud karyanya akan terpisah dengan masyarakat. Menurut Hamzah, sastera bukannya senjata perjuangan, sebaliknya suatu kaedah untuk sesebuah bangsa mendapatkan idea dalam penulisan.

Asraf pula menekankan bahawa pengarang harus menggambarkan kehidupan rakyat dan memikirkan keinginan rakyat dalam mencapai mutu kesenian yang tinggi. Oleh itu, dapat dilihat bahawa Asraf tidak sama sekali menafikan nilai keindahan dalam karya tetapi dalam masa yang sama beliau lebih mementingkan sastera sebagai alat memperjuangkan maslahat masyarakat. Setelah sekian lama polemik ini berlarutan, akhirnya Hamzah menarik diri dan keluar daripada ASAS 50 bersama-sama beberapa pengarang lain.

Beliau dengan penuh keprihatinan memaparkan realiti yang memilukan bahawa penggunaan bahasa Melayu semakin dipandang rendah, bahkan mata pelajaran Bahasa Melayu di Singapura akan diajar dalam Bahasa Inggeris.

Pada hari ini, Suraidi Sipan telah mengambil alih sebagai Presiden ASAS 50. Beliau diiringi pula oleh A Samat Ali (Bendahari), Faridah Taib (Setiausaha), barisan Ahli Jawatankuasa Eksekutif, iaitu Hamed Ismail, Kamaria Buang, Wan Jumaiah Mohd Jubri, A Wahab Hamzah, Khaziah Yem, Pasidah Rahmat, Norasimah Sujai, dan Hj. Jamil Rasad. Mereka telah memulakan semangat baharu untuk memartabatkan persuratan Melayu di Singapura supaya nadinya tidak terus terkubur.

Suraidi Sipan

Suraidi Sipan dilahirkan pada 21 November 1950 di Singapura. Beliau ialah seorang sasterawan dan juga penulis pakar untuk Kementerian Pendidikan, berkhidmat sebagai penyunting dan penyumbang untuk jurnal Singa (1982–1986). Suraidi pernah dua kali memenangi Anugerah Persuratan buat dua puisi ecerannya. Hasil karya beliau termasuk novel Cinta, kumpulan puisi Debu-debu Jalanan, antologi bersama Puisi Temasik dan Tekad: Satu Perjalanan Penulisan Karya Sasterawan Kita.

Pada 19 Disember 2023, Suraidi Sipan atau lebih dikenali sebagai Cikgu Suraidi telah berkunjung ke Universiti Kebangsaan Malaysia bagi membahaskan perihal ASAS 50, “Mendepani Persuratan Melayu Singapura”. Cikgu Suraidi membawa isu yang mendalam tentang nasib bahasa Melayu di Singapura. Beliau dengan penuh keprihatinan memaparkan realiti yang memilukan bahawa penggunaan bahasa Melayu semakin dipandang rendah, bahkan mata pelajaran Bahasa Melayu di Singapura akan diajar dalam Bahasa Inggeris. Keadaan ini menjejaskan tidak hanya penggunaan bahasa Melayu, tetapi juga nasib persuratan Melayu di Singapura.

Suara para pengkarya semakin pudar daripada pandangan masyarakat, terutamanya dalam kalangan golongan muda. Malangnya, krisis ketidakpentingan terhadap persuratan Melayu semakin menyolok dan atas sebab itu, persatuan ASAS 50 berusaha gigih untuk membela serta memupuk bakat para penulis demi memartabatkan sastera Melayu Singapura.

Namun demikian, bukan mudah untuk memartabatkan sastera Melayu Singapura kerana tanggapan terkini masyarakat di Singapura terhadap ASAS 50 jauh berbeza daripada dahulu. Semestinya, persatuan ini memerlukan pembaharuan, seperti adanya kesinambungan daripada golongan penulis muda untuk menceburi persatuan ini kerana kerajaan lebih mendengar suara rakyat, terutamanya yang muda. Akan tetapi buat masa ini, persatuan ini tidak mendapat sokongan daripada mana-mana pihak mahupun kerajaan, apatah lagi daripada para penulis muda Singapura. Organisasi persatuan yang terlibat terdiri daripada orang yang sudah berusia kerana setakat ini, tiada pelapis daripada kalangan anak muda.

Walau bagaimanapun, tidak adil untuk menyalahkan sesiapa dalam perkara ini, kerana kemungkinan terdapat beberapa punca yang menjelaskan mengapa penulis muda Singapura enggan menyokong ASAS 50.

Salah satu kemungkinan utamanya ialah perubahan waktu dan konteks. Dunia telah mengalami banyak transformasi, membuat penulis muda berasa bahawa konteks sosial, politik dan budaya telah berubah dan karya-karya ASAS 50 mungkin tidak lagi relevan dengan isu-isu yang mereka hadapi.

Begitu juga dengan penggunaan bahasa dan gaya bahasa. Walaupun Asas 50 menekankan penggunaan gaya bahasa yang baik untuk meningkatkan kualiti karya, penulis muda mungkin berpendapat bahawa aspek penggunaan gaya bahasa kurang penting dalam penghasilan karya pada zaman ini. Mereka melihat penghasilan karya pada masa kini khususnya novel lebih menekankan tema cinta dan realiti kehidupan urban, berbeza daripada zaman dahulu apabila gaya bahasa menjadi semaian paling penting dalam penulisan novel. Dalam erti kata lain, kini karya-karya Singapura lebih terfokus untuk merentasi aspek realiti kehidupan moden.

Antara barisan pengasas dan ahli awal ASAS 50 sewaktu persatuan ini mula ditubuhkan. (Sumber: Laman Web ASAS 50).

Di samping itu, dalam era globalisasi kini, akses mudah terhadap segala maklumat melalui hujung jari telah mengubah landskap kehidupan yang berlandaskan kesenian. Dahulu, karya-karya akan diterbitkan melalui buku dan masyarakat perlu membeli sebuah naskhah untuk menikmatinya. Kini, dunia membawa perubahan apabila pembaca hanya perlu menatal internet dan membuat pembelian dengan mudah untuk meraih bahan bacaan pilihan.

Mungkin bagi golongan penulis muda, ASAS 50 mempunyai old school mentality dan mempunyai perbezaan persepsi antara generasi lama dengan generasi baharu dalam menangani realiti zaman moden. Sebagai penyelesaian, pertimbangan yang kreatif perlu ada untuk menghidupkan semula peranan ASAS 50 dalam era digital ini. Asas 50 harus merentas sempadan tradisi dan inovasi, sekali gus memahami realiti zaman moden kini.

Antara pertimbangan untuk memartabatkan kembali status ASAS 50 adalah dalam bidang pendidikan dan pengajaran. Langkah-langkah kreatif dan proaktif perlu diambil, seperti pendedahan awal terhadap keindahan sastera kepada generasi muda agar dapat melahirkan rasa minat mereka terhadap persuratan Melayu. Sebagai contoh, karya-karya sastera berbahasa Melayu perlu diperkenalkan dalam kurikulum pendidikan, dan pada masa yang sama, perlunya suatu penelitian semula terhadap sukatan pelajaran sastera pada peringkat sekolah rendah.

Seterusnya, keberkesanan persatuan dan fungsinya boleh diperkukuhkan lagi melalui pertemuan dan diskusi yang berterusan. Persatuan ASAS 50 harus memimpin untuk menganjurkan forum-forum yang berfokuskan interaksi antara penulis muda dengan tokoh-tokoh sastera Singapura yang sedia ada. Hal ini bukan sahaja dapat membuka ruang bagi pertukaran idea dan pandangan, tetapi juga membina jaringan untuk memperkukuhkan lagi ASAS 50 dalam pemikiran dan kefahaman generasi baharu.

Akhir sekali ialah langkah paling efektif, iaitu melalui pendekatan digital. Penyebaran karya-karya para karyawan dalam ASAS 50 yang malar segar dan penting perlu dibuat secara meluas melalui media sosial. Penyebaran ini bukan sekadar suatu strategi pemasaran, malah juga menjadi jalan pintas bagi khalayak untuk mengakses karya-karya tanpa batasan fizikal. Dengan cara ini, ASAS 50 dapat mencipta gelombang baharu dalam dunia sastera yang terus berkembang mengikut peredaran zaman.

Tuntasnya, keadaan persuratan Melayu di Singapura kini menjadi isu serius kerana kehilangan sokongan, tidak hanya daripada kalangan penulis muda tetapi juga daripada pihak kerajaan. Namun begitu, menyalahkan pihak tertentu tidak membawa masalah ini ke mana-mana, kerana setiap individu mesti mempunyai asbab tersendiri mengapa sokongan dan dukungan tidak lagi berpihak pada ASAS 50.

Kini, hal yang harus dilakukan bukanlah menyalahkan tetapi mencari jalan untuk membimbing dan memartabatkan kembali ASAS 50 agar dapat terus membuktikan kerelevannya dalam dunia moden. ASAS 50 perlu dijadikan mercu tanda dan bukti gambaran bahawa sastera Melayu di Singapura tidak hanya hidup tetapi terus berkembang dengan gemilang dalam menghadapi cabaran zaman moden mutakhir.

Kredit Gambar dan Foto: Firus Fansuri dan ASAS 50 (http://en.asas50.org)

_________________________

Fatin Nur Amira Mohtar ialah siswa Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.