Oleh Saif Dhi Yazan
22 Februari 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kalam Hamidi atau nama sebenarnya Abdul Malik bin Abdul Hamid telah meninggal dunia pada 21 Februari yang lalu.

Pemergian Allahyarham dimaklumkan oleh anaknya, Shah Rizal Abdul Malek melalui ruangan Facebook.

Allahyarham meninggal dunia pada jam 7.00 petang di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Ukay Perdana, Ampang, Selangor.

Kalam Hamidi merupakan seorang tokoh dramatis yang dikenali juga sebagai “Panglima Drama”, dilahirkan di Umbai, Melaka pada 21 Oktober 1932, dan dibesarkan dan mendapat pendidikan di Singapura.

Drama pertama yang diarahnya ialah pantomin Ratapan Ibu Pertiwi di Singapura pada tahun 1956.

Gantung Tak Bertali pula drama terawal beliau yang dipentaskan di Panggung Victoria, Singapura sekali gus telah mengangkatnya dalam bidang teater dan penulisan skrip.

Seterusnya, skrip dan pementasan Sial Bertuah dan Drama Sebabak Anak Nazar Tujuh Keramat sekitar tahun 60-an telah menyerlahkan lagi nama arwah dalam bidang teater.

Selain itu, “Anak Nazar Tujuh Keramat” juga dipentaskan di London dengan judul Debat. Drama sebabak ini cukup popular dalam kalangan pemain teater tanah air, malah pernah dijadikan teks kajian mata pelajaran Kesusasteraan Melayu  peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melalui buku Drama Tiga Zaman (DBP, 1984) yang diselenggarakan oleh Zakaria Ariffin.

Allahyarham juga telah menggembara dari Singapura ke London untuk mendalami ilmu dalam bidang teater.

Pengalamannya ini dapat dibaca melalui tulisannya dalam buku 72 hari Mengembara dari Singapura ke London (Toko Buku Abbas Bandung, 1965) dan telah dikembangkan lagi melalui buku Fatamorgana: Kembara dari Nusantara ke Eropah (Penerbit UKM, 2003).

Pada tahun 2018, Allahyarham telah menerima Anugerah Khas dalam Festival Teater Malaysia dari Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) atas sumbangan beliau kepada pembangunan teater tanah air.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.