16 Mac 2024, 16:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Nik Mohd Hafiz Abdullah melaporkan sesi perkongsian ilmu penulisan skrip drama Fairul Pujangga demi “Teater Memanusiakan Manusia”.

Kehadiran Fairul Pujangga di Kelantan untuk berkongsi ilmu drama pentas sudah tentu mengujakan. Beliau telah berkecimpung dalam dunia teater selama 16 tahun.

“Rahsia sebuah skrip drama yang bagus terletak pada dialog,” ujar penceramah Saudara Mohamad Fairul bin Rashid atau lebih dikenali sebagai Fairul Pujangga, seorang dramatis dan penggiat teater yang tidak asing lagi.

Berbekalkan pengalaman memenangi beberapa hadiah sastera dalam penulisan skrip drama pentas serta pengalaman mengarahkan teater, seharian mendengar perkongsian beliau bagai tidak puas.

Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Perbadanan Perpustakaan Awam Kelantan, telah menganjurkan program Bengkel Penulisan Skrip Drama Pentas 2024, bertempat di Dewan Perbadanan Perpustakan Awam Kelantan, Kota Bharu, Kelantan. Program ini bertujuan untuk memberi bimbingan, pendedahan dan memantapkan penulisan skrip drama pentas bagi penulis-penulis Kelantan khususnya, serta luar Kelantan umumnya.

Kehadiran Fairul Pujangga di Kelantan untuk berkongsi ilmu drama pentas sudah tentu mengujakan. Beliau telah berkecimpung dalam dunia teater selama 16 tahun.

Fairul memulakan sesinya dengan bercerita tentang pengalamannya sebagai guru teater di Sekolah Seni Malaysia, Kuala Lumpur. Segala pengalaman tersebut amat berguna jika dapat dicurahkan kepada anak-anak muda di Kelantan, apatah lagi sudah menjadi impian Fairul untuk menabur bakti di tanah tumpahnya sendiri. Fairul, seorang anak jati Pasir Hor, Kelantan dan sudah lama menyimpan hasrat untuk kembali ke Kota Bharu.

Untuk memulakan bengkel, Fairul menerangkan beberapa jenis drama. Awal-awal lagi Fairul menyedarkan penulis betapa dangkal ilmu sendiri tentang drama pentas. Rupa-rupanya, terdapat banyak jenis drama yang penulis tidak tahu seperti farsa, melodrama dan tablo. Pada hemat penulis, pengetahuan tentang jenis drama membolehkan seorang dramatis mempelbagaikan kreativiti persembahannya. Malah, boleh saja dalam satu pementasan drama menggunakan lebih daripada satu teknik, bergantung pada keperluan seperti bajet dan kemudahan pentas.

Selain itu, Fairul juga menggariskan enam aliran drama yang sering dipentaskan. Penulis tertarik dengan unsur realisme, iaitu suatu aliran drama yang menekankan kehidupan sebenar sehari-hari, yang berupaya memberikan katarsis kepada penonton dengan mencapai kesan dramatik tanpa melanggar logik. Drama sebegini mampu mengubah persepsi penonton tentang sesuatu isu dalam masyarakat, sekali gus memberikan kesedaran kepada mereka.

Menyinggung hal ini, penulis teringat kepada dramatis terkenal, Hatta Azad Khan yang sering menghasilkan karya-karya realisme dan absurd. Karya-karya beliau sentiasa menekankan falsafah kemanusiaan yang mampu menggerakkan jiwa insan.

Oleh sebab bengkel ini mengambil masa selama hampir lapan jam, Fairul bijak mengawal momentum bengkel dengan menyelang-nyelikan teori dengan pengalaman beliau mengajar teater. Hal ini sekali gus menghilangkan rasa bosan peserta. Setelah itu, Fairul mula menyentuh topik yang lebih berat, iaitu teknik penulisan skrip drama. Peserta ditekankan dengan teknik mencari idea dan tema, menentukan watak dan perwatakan, membina latar atau seting, mempersembahkan plot serta memilih teknik penyampaian. Penulis berasa teknik ini tidak jauh beza daripada teknik penulisan cerpen, tetapi Fairul bijak menerangkan teknik-teknik tersebut bersama-sama dengan hujah yang rinci dan kemas.

Kemuncak bengkel ini adalah ketika Fairul menerangkan format penulisan. Beliau menegaskan bahawa penulis genre drama pentas mempunyai peluang cerah untuk menang pertandingan, ekoran tidak ramai yang berani menulis skrip drama pentas. Penulis percaya keadaan ini disebabkan masih ramai yang tidak tahu format menulis skrip untuk dihantar kepada penerbitan. Susulan bengkel ini, para peserta dicabar untuk menghasilkan drama pentas yang berkualiti kerana persaingan bakal menjadi lebih sengit.

Selesai makan tengah hari dan solat, bengkel disambung dengan sesi petang. Sesi petang ini, lebih kepada membedah karya daripada para peserta. Sambutan hangat daripada para peserta yang mahu karya mereka dibedah, menunjukkan betapa genre drama pentas sebenarnya mempunyai ramai peminat. Di samping itu, cadangan dan soalan spontan peserta terutamanya Sdr. Abdul Hadi Yusoff menggamatkan suasana. Penulis yakin, Abdul Hadi bakal menggegar genre drama pentas dengan skrip-skrip berkualiti pada masa depan, sementelahan beliau sudah dikenali di arena drama radio dan teater.

Bengkel ini tamat tepat pada masa yang dirancangkan. Sebelum bersurai, Fairul dan para peserta mengambil gambar sebagai kenangan. Lebih daripada itu, para peserta membawa pulang ilmu drama pentas yang diharapkan bakal memeriahkan landskap drama negara. Dengan ini, kita bakal melihat istilah “Teater Memanusiakan Manusia”, sentiasa hidup membugar bagi maslahat generasi kini dan masa depan.

_________________________

Nik Mohd Hafiz Abdullah baru berjinak-jinak dalam bidang penulisan cerpen dan puisi. Beberapa buah karyanya pernah tersiar dalam pelbagai media. Sekarang, bertugas sebagai juruteknik kardiovaskular di Hospital Pakar KPJ Perdana, Kelantan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.