25 Ogos 2023, 10:23

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kajang – “Penghasilan puisi intelektual akan berjaya jika akal diletakkan atas perasaan”, ujar Sasterawan Negara (SN) Rahman Shaari dalam ucapannya sebagai panel dalam acara “PuiSHE di Hatiku” yang dianjurkan oleh Syahida Hassan Enterprise (SHE) di Kafe Kebun Puisi di Kg. Batu Lima, Kajang.

Beliau turut mengemukakan sajak karya Barupawati Utamaju berjudul “Izinkan Aku Menulis” sebagai contoh dalam memperkatakan tentang tahap intelektual penulisan puisi.

SN Rahman Shaari ketika memperkatakan tentang puisi-puisi intelektual.

Dalam sajak berkenaan, beliau menyatakan bahawa kandungan sajak berkenaan merupakan satu saranan kepada penyair yang lain untuk menulis perkara yang baik.

Izinkan aku menulis
hanya yang baik
walau banyak kejahatan
di antara liku mimpi
dengan arus kehidupan.

Izinkan aku menulis
hanya yang cantik
walaupun banyak yang jelik
di antara kata bersilangan.

Izinkan aku menulis
hanya yang indah
walau bernafas
sesekali payah.

Izinkan aku menulis
hanya yang bersih
sebaris doa yang putih.

Beliau mengupas isi sajak berkenaan yang menonjolkan sisi intelektualisme penulis. Menurutnya, dalam kehidupan, kita tahu adanya banyak kejahatan seperti kejahatan yang ada dalam fikiran manusia, iaitu ingin berbuat jahat (kejahatan dalam liku mimpi) dan kejahatan yang wujud dalam masyarakat (kejahatan dalam arus kehidupan).

Menerusi sajak berkenaan juga, beliau mengulas dengan lebih jelas maksud yang hendak disampaikan bahawa penyair mahu keluar daripada kedua-dua jenis kejahatan dan mahu menulis karya yang baik sedangkan di sekelilingnya ialah kejahatan. Unsur intelektual dalam puisi berkenaan menyeru pembaca terutamanya penyair untuk melihat peristiwa di sekeliling supaya dapat mengelak daripada lingkungan kejahatan.

Untuk memberi citra lebih jelas, SN Rahman Shaari mengemukakan contoh lain iaitu sajak SN Zurinah Hassan berjudul “Semalu”. Dalam sajak berkenaan, SN Zurinah Hassan dilihat membuat perbandingan dan menggunakan semalu sebagai analogi. Hal ini dilihat jelas dalam petikan sajak berikut:

Seorang pengembara di ujung padang
terbaring lemah
telah turun angin mengganggu perjalanan
dan ia kehilangan arah
saat itu ia merasa putus asa
dengan kekerdilan tubuhnya.

Tiba-tiba di ujung padang itu
ia tersentuh serumpun semalu
rumpun kecil berbunga kecil
sekecil dirinya
daun-daun yang menguncup
seperti mengalah
seperti lemah selemah dirinya.

Tiba-tiba ia merasa kesakitan
ada duri kecil menyedarkannya
pada ketajaman
yang tersembunyi di celah-celah kekerdilan.

 Lalu seketika itu
ia kembali menemui
kekuatan diri.

Analogi semalu yang ditonjolkan dalam sajak menunjukkan bahawa terdapat kekuatan dalam diri orang yang dianggap lemah. Kata-kata perbandingan tersebut membangkitkan keyakinan kepada pembaca.

Seterusnya, SN Rahman Shaari mengemukakan pula sajak bertajuk “Sajak untuk Penakut” nukilan SN Muhammad Haji Salleh.

sekali aku penah takut pada penakut
yang mengumpul pengamat
di lorong sepi
atau membayar penyokong
dengan janji atau puji.

sekali di lorong lalang
aku ketemu sekampung
pemburu pangkat
yang merancang masa depan
dengan lidah fitnah
atau tikaman sulit selaran.

tapi sekarang aku tahu
serangan melukis jiwa sumbernya
cacian hanyalah kata
ugutan tidak lebih dari keras suara
kebenaran tidak mungkin dilukakan
harga diri tidak luntur
oleh setahun serangan.

SN Muhammad Haji Salleh menonjolkan intelektual dalam karyanya dengan pesanan bahawa kita seharusnya tidak menghiraukan pemfitnah kerana orang yang memfitnah merupakan seorang penakut. Menurutnya, karya ini sarat dengan ungkapan intelektual.

Menurutnya lagi, tahap intelektual dalam sesebuah puisi dapat dilihat melalui aspek bahasa. Aspek bahasa dalam puisi intelektual memuatkan personifikasi, metafora dan ironi. Beliau turut menegaskan bahawa nilai keaslian penulisan haruslah dititikberatkan.

Antara contoh yang dikemukakan dalam aspek bahasa termasuklah:

  1. Malam ialah perantau dalam karya AGI mempunyai elemen personifikasi.
  2. Suara merangkak bersama ombak, ke daratan, tiba-tiba membisu dalam sajak Latiff Mohidin mempunyai elemen personifikasi.
  3. Dari cermin itu, tumbuh janggut dan uban dalam karya T. Alias Taib mempunyai elemen metafora.
  4. Subuh tadi, ketam merobek pipi. Kataku, adakah engkau sakit? Tidak malah kami terasa bertambah cantik dalam karya Saleeh Rahamad mempunyai elemen ironi.

Seterusnya, beliau menjelaskan bahawa keindahan puisi intelektual akan dicacatkan dengan beberapa unsur seperti truisme, imejan bercampur dan klise. Kecacatan itu menyebabkan puisi tidak bersifat intelektual. Antara contohnya termasuklah:

  1. Angin lembut membelai tubuh: Komen: Semua angin lembut. Jika tidak lembut ialah ribut.
  2. Selagi darah merah kumiliki: Komen: Yang putih (mitos) ialah darah Mahsuri sahaja.
  3. Keras seperti batu: Komen: Amat biasa.  Jika keras, semua orang teringat batu dan besi.
  4. Nun di kejauhan, terlihat kehijauan: Komen: klise.

Di akhir program tersebut, salah sebuah pantun SN Rahman Shaari yang dimuatkan dalam buku Antologi Pantun Duri Semalu terbitan SHE dinyanyikan secara spontan oleh Adinda Amiro (Saidin Omar) yang merupakan komposer lagu popular.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.