31 Julai 2023, 16:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

A.Affendi0937 @ Lekir mencatat semula pembicaraan yang dihadirinya tentang penulisan puisi, yang disampaikan oleh Zaen Kasturi dan Dr. Mohamad Shahidan.

Hal ini mengingatkan penulis pada perbicaraan Zaen Kasturi pada awalnya yang juga menyatakan, penulis akan mati setelah dia menulis dan karyanya tersiar. Biarlah pembaca dan pengkaji atau pengkritik yang membicarakan soal karyanya. Penulis terpukul dengan kata-kata ini. Benar, usah kita menjadi hantu yang bangkit daripada kubur untuk mengganggu pembaca. Biarlah mereka melontarkan segala macam ulasan, kritikan atau pujian ke atas karya.

Genap dua minggu setelah penulis menghadiri Wacana Ilmu anjuran Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 16 Julai 2023. Dua tajuk besar dibentangkan oleh ahli panel. Saudara Zaen Kasturi, penyair dan penulis yang bukan calang-calang, malah penerima SEA Write Award 2010 membicarakan wacana tentang “Intuitif, Imaginatif dan Impresif” dalam puisi, manakala penyelidik dan pengkaji sastera, Dr. Mohamad Shahidan pula memperkatakan tentang “Tanda Puitik dalam Puisi”. Ucapan ribuan tahniah kepada PENYAIR dan DBP atas cetusan ilham untuk merealisasikan sebuah wacana dengan jayanya, berlangsung di Sudut Karyawan di Wisma DBP.

Sebagai seorang penulis baharu atau pemula, penulis diselubungi oleh rasa teruja dan ingin tahu apa yang akan dibincangkan dalam Wacana Ilmu oleh dua orang tokoh tersebut, yang telah mengambil waktu berhibur dan rehat penulis pada hujung minggu. Mungkin rasa ini timbul kerana inilah wacana ilmu kesusasteraan (puisi) yang pertama kali disertai oleh penulis. Penulis hanyalah seorang penulis baharu atau pemula, malah seorang peminat sastera sejak di bangku sekolah, namun penulis lebih banyak menghabiskan masa belajar dalam bidang kejuruteraan kimia untuk peringkat Sarjana Muda sehingga di alam pekerjaan.

Mula-mula sekali, Saudara Zaen Kasturi mengungkapkan sesuatu yang menarik ketika memulakan bicaranya, dengan memetik kata daripada James Ellison, “You write your first draft with your heart, and you rewrite with your head.” Kita tulis draf pertama kita dengan hati, kemudian menulisnya semula dengan akal.

Ujar Zaen Kasturi, intuitif ialah gerak hati penulis yang mengandungi rangkaian rasional dan interlektual yang mampu memahami sesuatu subjek sebelum diterjemahkan ke dalam penulisan. Beliau berpesan kepada peserta, terutamanya penulis baharu/pemula agar memberikan fokus penulisan kepada sesuatu yang kecil. Barangkali hal itu akan menjadi besar pada impaknya. Hal ini seperti suatu latihan mengasah ketajaman minda berfikir dan menulis. Metod ini amat bersesuaian bagi penulis tahap baharu/pemula untuk “bermulalah daripada sesuatu yang kecil”.

Imaginatif pula ialah kemampuan menterjemahkan sesuatu dalam bentuk penulisan yang selalunya datang daripada pengalaman seseorang. Ramai penulis menggunakan pengalaman sendiri sebagai bahan penulisan dan hal ini ternyata dapat menghasilkan sesuatu yang baik. Dalam hal ini, impresif atau “kesan” perlu ada dalam sesebuah sajak yang baik bagi menarik minat pembaca menekuni bait-bait dan rangkapnya, sehingga menjumpai makna sajak yang dinukilkan.

Dari kiri: Dr. Mohamad Shahidan, En. Saifullizan Yahaya sebagai pemudah cara, dan Sdr. Zaen Kasturi dalam Wacana Ilmu yang membicarakan penulisan puisi yang baik pada 16 Julai yang lalu.

Zaen Kasturi juga menyatakan hal “anjakan makna” dalam sesebuah sajak. Hal ini merupakan salah satu tanda aras atau tahap bagi sesebuah puisi yang boleh dianggap sebagai Puisi Berimpak Tinggi. Puisi yang ditulis dengan sesuatu maksud mampu beralih kepada maksud yang lain daripada kata asal dalam sesebuah sajak, mengikut pemikiran dan situasinya. Hal ini melahirkan pelbagai pemikiran pada setiap lapis pembacaan dan penulis fikir, hal ini boleh meningkatkan tahap interlektual dalam sesebuah karya. Contohnya seperti sajak-sajak nukilan Sasterawan Negara (SN) Prof. Muhammad Haji Salleh dan SN Rahman Shaari. Sebagai penulis baharu, penulis disarankan oleh ahli panel untuk terus membaca karya-karya yang baik dan berimpak tinggi sebagai rujukan dan memahami gaya penulisan dalam sesebuah karya.

Dr. Mohamad Shahidan pula memulakan perbentangan wacana dengan melontarkan persoalan, siapakah yang menentukan tahap sesuatu puisi itu sama ada bagus atau sebaliknya? Pembaca, ya pembaca yang menentukannya, bukan penyair/penulis itu sendiri. Hal ini mengingatkan penulis pada perbicaraan Zaen Kasturi pada awalnya yang juga menyatakan, penulis akan mati setelah dia menulis dan karyanya tersiar. Biarlah pembaca dan pengkaji atau pengkritik yang membicarakan soal karyanya. Penulis terpukul dengan kata-kata ini. Benar, usah kita menjadi hantu yang bangkit daripada kubur untuk mengganggu pembaca. Biarlah mereka melontarkan segala macam ulasan, kritikan atau pujian ke atas karya.

Mohamad Shahidan menggariskan empat tahap puisi yang dianggap tahap rendah, iaitu (1) Puisi Langsung, (2) Puisi Cacat, (3) Puisi Memperagakan Bahasa, dan (4) Puisi yang Mempraktikkan Bahasa Puisi. Baginya, kata-kata yang indah sahaja tidak menjadikan puisi itu bagus. Sesebuah puisi sepatutnya datang bersama-sama dengan falsafah atau pemikiran yang lahir daripada pengalaman yang kental dan pekat daripada seorang penyair. Kata-kata Mohamad Shahidan membawa penulis kembali merenung kritikan Kassim Ahmad dan Mohd. Affandi Hassan tentang sajak Latiff Mohiddin yang kurang mengisi persoalan sosial mahupun falsafah untuk masyarakat (dlm. Rahman Shaari, Di Sekitar Sastera dan Kritikan, 1981). Beliau mengingatkan para penulis agar usah ghairah menggunakan perkataan yang tidak memberikan apa-apa makna kepada sajak. Hal ini hanya akan menonjolkan lagi kelemahan sesebuah sajak.

Pembentangan sebenar, iaitu tentang tanda puitik dalam puisi daripada Dr. Mohamad sungguh menarik perhatian. Pembentangannya dimulakan dengan maksud puitik, iaitu pemaknaan puisi. Beliau membawa peserta membedah sajak “Aku” tulisan penyair terkenal Indonesia, Chairil Anwar untuk mencari tanda puitik dalam sajak tersebut. Frasa “Aku ini binatang jalang” ialah tanda puitik yang dijumpai menjadikan sajak tersebut kuat, malah frasa itulah yang memberikan keseluruhan makna terhadap sajak “Aku”. Hal ini mungkin juga boleh dikaitkan dengan istilah “nucleus word” atau “kata inti” bagi sesebuah sajak. Sehingga hari ini, ramai orang mengingati sajak “Aku” dengan merujuk frasa “Aku ini binatang jalang”.

Aku ini binatang jalang
Dari kumpulang yang terbuang
Biar peluru menembus kulitku
Aku tetap meradang menerjang

(“Aku”, Chairil Anwar, 1943)

Selain itu, Mohamad Shahidan memberikan contoh sajak “Petang Condong” tulisan penyair T. Alias Taib dan baris “mati itu persinggahan” daripada salah sebuah sajak SN Baha Zain sebagai tanda-tanda puitik yang ada dalam puisi yang baik. Beliau juga menyatakan hal penyimpangan dalam sajak yang akan menjadikannya sebuah karya yangu berimpak tinggi, seperti sajak “Lautan di Waktu Subuh” karya Zaihasra dan “Menangguhkan Kebenaran” daripada Baha Zain. Kedua-duanya melakukan penyimpangan dan melontarkan persoalan sosial kepada pembaca dan masyarakat umumnya.

Semasa sesi soal jawab, penulis mengambil peluang untuk bertanyakan kepada kedua-dua ahli panel tentang cara untuk meningkatkan kualiti penulisan dan tahap puisi yang boleh dianggap berimpak tinggi, adakah cukup melalui pembacaan atau pengalaman? Penulis juga melontarkan soalan, adakah pembacaan esei, ulasan dan kritikan yang terdapat dalam jurnal, majalah atau buku dapat meningkatkan tahap penulisan seseorang, terutamanya para penulis baharu/pemula?

Mohamad Shahidan bersetuju bahawa pembacaan esei, ulasan dan kritikan boleh meningkatkan gaya dan mutu penulisan seseorang. Beliau mengesyorkan agar para penulis baharu/pemula juga membaca karya-karya besar dan lama daripada para penulis dan penyair terkenal sebagai bahan ulang kaji dan rujukan. Selain itu, beliau titipkan beberapa nasihat kepada penulis pemula, terutamanya tentang persoalan penghargaan. Penulis perlu bersedia untuk tidak dihargai atau dikritik tetapi janganlah berputus asa. Tetaplah menulis dengan sepenuh hati dan bukan mengharapkan penghargaan atau kemenangan.

Penulis merumuskan bahawa Wacana Ilmu yang berlangsung dari pagi hingga petang itu berjaya dari segi pembentangan dan perbincangan, khususnya perbincangan dua hala yang berlaku antara panel dengan peserta. Perbincangan yang berlaangsung lebih terperinci jika dibandingkan dengan bengkel atau kelas asas menulis puisi biasa yang pernah dihadiri. Oleh itu, wacana sebegini patut diadakan lagi oleh pihak penganjur dari semasa ke semasa bagi melengkapkan para penulis pemula dengan tip dan ilmu tambahan tentang penulisan agar mereka mampu menghasilkan karya-karya besar, sepertimana yang disyorkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang ke-10 baru-baru ini. Penulis juga mencadangkan agar Wacana Ilmu PENYAIR dan DBP ini boleh menarik lebih banyak lagi peserta dalam kalangan penulis baharu/pemula, bukan hanya daripada golongan penulis yang mapan atau sudah lama hadir dalam dunia penulisan puisi.

Kredit Gambar: davisuko/Unsplash

_________________________

A.Affendi0937 @ Lekir ialah nama pena Airul Affendi Ali. Beliau dilahirkan di Pahang dan kini menetap di Puchong, Selangor. Karyanya pernah terpilih dalam beberapa antologi puisi bersama dan pernah tersiar dalam Wilayahku, Harian Ekpres Sabah, Berita Harian, Suara Sarawak, Utusan Borneo, Mingguan Malaysia, dan Dewan Sastera.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.