18 Julai 2023, 15:52

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dalam ucapan penutupnya, Sasterawan Negara merangkap Presiden Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR), Dato’ Rahman Shaari menyatakan kepuasan hati, dan menganggap penganjuran Wacana Ilmu Bersama Zaen Kasturi dan Dr. Mohamad Shahidan oleh Persatuan PENYAIR di Sudut Karyawan (lebih dikenali sebagai Stor Teater), Wisma DBP pada 16 Julai lalu sebagai amat berjaya.

Wacana sehari yang dikendalikan oleh Ketua Bahagian Penyelidikan Sastera DBP, Encik Saifullizan Yahaya itu bertujuan untuk membantu para penulis mencipta karya yang bermutu dan berimpak tinggi.

SN Rahman Shaari turut menegaskan walaupun PENYAIR tidak terlalu kerap menganjurkan acara, namun begitu persatuan tersebut tetap memastikan semua acara anjurannya penting dan memberi manfaat besar.

Dato’ Rahman Shaari selaku Presiden PENYAIR memberi ucapan alu-aluan sebelum wacana bermula di Stor Teater DBP, pada hari ahad yang lalu.

Dalam wacana yang disertai kira-kira 40 orang hadirin, Zaen Kasturi membicarakan tentang intuitif, imaginatif dan impresif. Dr. Mohamad Shahidan yang juga pengkaji puisi dan mantan pegawai/editor DBP pula membincangkan tanda puitis dalam puisi.

Zaen yang juga penerima Anugerah Penulis Asia Tenggara 2010 (SEA Write Award) menjelaskan bahawa intuitif ialah gerak hati, iaitu kemampuan memahami sesuatu tanpa melalui pemikiran rasional dan intelektual. Pemahaman itu, tambah beliau, kelihatan tiba-tiba sahaja datang dari dunia lain dan di luar kesedaran. Jelasnya lagi,

Imaginatif pula adalah kemampuan menghasilkan dan mensimulasikan objek baharu, sensasi dan idea dalam minda tanpa sebarang input segera daripada deria. Ia juga pembentukan pengalaman dalam fikiran yang berupaya menjadi penciptaan semula.

Sebagai sebuah karya sastera yang diharapkan memberi kesan dan menarik minat, puisi perlulah impresif atau berkesan. Dalam hal ini, beliau menjelaskan bahawa impresif mampu menerbitkan atau menimbulkan kesan yang kuat dan mendalam.

Zaen Kasturi sebagai panel pertama membuka wacana dengan menerangkan makna “Intuitif, Imaginatif dan Impresif” kepada khalayak yang hadir di Stor Teater DBP.

Mengenai sajak prosaik seperti karya-karya Zahari Hasib, Zaen menyetujui pandangan salah seorang peserta wacana dan juga pengkritik bahawa persoalan yang cuba ditampilkan terkandung dalam satu atau dua baris terakhir yang diistilahkan sebagai “pancungan”. Bagi Zaen, sajak-sajak prosa oleh Zahari turut mencapai tahap berimpak tinggi.

Dr. Mohamad pula menyentuh soal tingkatan nilai yang terdiri daripada realiti, asumsi dan falasi. Puisi memang tidak dapat lari daripada tingkat-tingkat berkenaan kerana ia karya manusia yang masih ada kekurangan dalam beberapa perkara.

Ada sajak yang dihasilkan daripada realiti seperti kejadian, pengalaman dan tokoh tertentu. Ada juga yang bertolak daripada asumsi atau andaian/tanggapan penyair terhadap sesuatu. Tidak dinafikan juga ada sajak yang hanya berisi pembohongan ataupun falasi yang boleh disanggah atau dipertikai.

Dr. Mohamad Shahidan menjelaskan “Tanda Puitik dalam Puisi”  dengan mengemukakan beberapa contoh puisi serta lirik lagu dalam wacana tersebut.

Beliau turut menarik perhatian peserta wacana kepada lirik lagu Cinta Hampa nyanyian kumpulan D’Lloyd apabila menyentuh soal penggunaan perkataan yang tidak tepat dan citra yang bercampur. Terangnya,

Saya mengambil contoh lirik lagu kerana sukar untuk mengkritik karya penulis sekarang yang enggan menerima kritikan atau memusuhi pengkritik.

Perkataan dahan dalam frasa “pabila tersentuh dahannya bergoyang”, kata beliau, tidak tepat kerana keladi bukan pokok yang berdahan, sebaliknya berpelepah. Lagipun tambahnya, jika dahan, mustahil mudah bergoyang meskipun tersentuh sedikit sahaja.

Mengenai tanda puitis, beliau menjelaskan ia adalah perkataan atau frasa yang berkaitan dengan pemaknaan puisi. Perkataan atau frasa, katanya, dipuisikan apabila ia merujuk kepada kumpulan kata yang sedia ada dalam puisi. Katanya,

Ia berfungsi menjana puisi dan merealisasikannya dalam teks puisi, merumuskan kata intinya, melambangkan struktur puisinya, dan juga sebagai ”interpretant’ dalam pembacaan – peranan yang dirasionalkan oleh pembaca bahawa tanda puitis itulah lambang niat penyair dalam menulis puisinya.

Frasa “petang condong” dalam baris puisi karya T. Alias Taib, iaitu “petang condong tiba di usiaku”, jelas beliau merupakan tanda puitis bagi puisi tersebut.

Selainnya, beliau turut memberikan contoh puisi Aku, karya Chairil Anwar. Katanya, walaupun perkataan atau ayat secara keseluruhan hanya biasa sahaja, tetapi puisi ini terus diingati kerana baris “aku ini binatang jalang” yang lebih menonjol, mudah diingati, dan sering dipetik. Terangnya lagi,

Faktor lain ialah ia baris yang metaforikal. Frasa ‘binatang jalang’ merupakan tanda puitis yang memang merupakan kod dalam budaya Melayu seperti “kerbau jalang.

Beliau juga menganggap Chairil menguasai sesuatu yang dianggap klise serta melakukan sedikit penyimpangan. Baginya, puisi Menangguhkan Kebenaran karya SN Baha Zain dan Lautan di Waktu Subuh ciptaan Zaihasra juga merupakan penyair yang melakukan penyimpangan dan menyentuh persoalan taboo yang menarik perhatian pembaca.

Turut hadir dalam wacana tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari, Timbalan Presiden PENYAIR, Encik Md. Radzi Mustafa; penyanyi dan komposer lagu puisi, Ahmad Ramli dan Sani Sudin, serta pelakon terkenal, Zaidi Omar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.