22 September 2023, 11:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching –  Wacana ilmu dengan topik “Penerbitan dalam Era Malaysia Madani” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) telah menampilkan editor Dewan Sastera, Fadli al-Akiti sebagai pembentang, baru-baru ini.

Beliau memulakan wacana dengan menyebut tentang kedudukan sastera di Sarawak bahawa kelebihan tradisi ilmu, iaitu sastera lisan yang penuh dengan ilmu, budaya dan falsafah.

Lantaran itu, beliau mencadangkan agar dirangka sebuah projek penerbitan antologi sastera lisan yang merangkumkan sastera tradisional 27 etnik besar dan 74 etnik kecil di Sarawak. Ujar beliau;

Banyak perkara boleh disentuh seperti mitos sebagai elemen paling penting dalam pembinaan jati diri dan asal usul sesebuah tamadun.

Beliau melihat dan percaya bahawa penerbitan itu kelak akan menjadi rujukan penting kepada peradaban dan ketamadunan masyarakat di negeri Sarawak.

Malahan, penerbitan tersebut sekali gus membuka ruang penelitian dalam bidang-bidang ilmu seperti psikologi dan sosial, selain akan mengembangkan peluang interpretasi terhadap mitos-mitos tradisi dalam bentuk yang lain seperti filem dan seni visual.

Sebagai contoh, pengiktirafan Hikayat Panglima Nikosa sebagai novel pertama di Sarawak dan di Malaysia turut disebut dalam pembentangan serta turut menggesa agar DBPCS atau pihak luar meneruskan usaha untuk mengenal pasti karya-karya awal dalam genre puisi, cerpen, skrip drama, dokumen dan esei-esei penting yang boleh diangkat dan diiktiraf sebagai sumber rujukan khazanah Sarawak.

Barisan panel dalam Wacana Ilmu anjuran DBPCS, baru-baru ini.

Tambah beliau lagi, karya kontemporari penulis Sarawak, contohnya Pemberontakan oleh Jong Chian Lai, turut boleh dipertimbangkan untuk diterima secara rasmi sebagai karya kontemporari besar Sarawak. Menurutnya;

Sarawak sudah lama bergerak ke arah pemerkasaan dan pemugaran sasteranya, yang perlu dilakukan sekarang ialah meneruskan penerokaan peluang untuk mengembangkan potensi sastera Sarawak.

Di samping itu, beliau turut menggalakkan penulis-penulis Sarawak untuk menghantar karya dalam beberapa ruangan dalam Dewan Sastera. Selain esei, puisi dan cerpen, penulis-penulis Sarawak juga dialu-alukan untuk menghantar skrip drama, ulasan buku, surat kepada pembaca, dan terjemahan sastera antarabangsa.

Wacana ini turut menampilkan editor Suara Sarawak, Encik Radin Azhar Ahmad dan editor DBPCS, Puan Saidatul Faiqah Samasu.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.