19 September 2023, 15:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) dengan kerjasama Pustaka Negeri Sarawak serta Kerajaan Negeri Sarawak telah mengadakan Seminar 60 Tahun Sarawak Maju Makmur, di Balai Budaya DBPCS, baru -baru ini.

Seminar ini dianjurkan oleh DBPCS bersempena dengan Festival 60 Tahun Sarawak Maju Makmur dan bertujuan untuk menyebarluaskan pengetahuan tentang bahasa, sastera atau seni sastera sebagai elemen penting dalam aspek keintelektualan yang signifikan  dalam memaknakan kemerdekaan di Sarawak.

Terdapat tiga sesi yang dibincangkan, iaitu sesi pertama dengan tajuk “Sastera Kebangsaan dan Malaysia Madani” telah dibentangkan oleh Dr. Dilah Tuah (UNIMAS), Encik Ja’afar Haji Hamdan (DBP CS), Puan Hafizah Iszahanid (Berita Harian) dan Encik Shamsul Idzam Jamil selaku moderator.

Dalam pengisian tersebut, para pembentang menekankan bahawa penggiat sastera, khususnya di Sarawak digalakkan untuk mengetengahkan nilai-nilai yang positif serta pembaharuan yang segar dalam karya mereka seiring dengan konsep MADANI yang berteraskan nilai, etika dan akhlak untuk memartabatkan seni yang berkualiti di Sarawak.

Manakala dalam sesi kedua yang bertajuk “Tinta Inspirasi Sastera Sarawak” telah menampilkan tiga orang Sasterawan Negeri (SN) Sarawak, iaitu Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah (SN Sarawak ke-3), Encik Jong Chian Lai (SN Sarawak ke-4) dan Encik Zainal Abidin Suhaili (SN Sarawak ke-5) serta Encik Mohamad Faizal Jamil sebagai moderator.

Dalam pembentangan ini, usaha dan peranan penggiat sastera dibincangkan bagi membantu pihak kerajaan untuk mempromosikan keunikan yang terdapat di Sarawak ke persada dunia melalui sastera pelancongan.

Memetik kata-kata Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah, beliau dengan jelas berharap;

Penulis mempunyai banyak pilihan untuk kekal relevan dalam persekitaran sosiobudaya yang semakin berkembang maju pada masa kini.

Datu Dr. Haji Adi Badiozaman Tuah, SN Sarawak ke-3 menyampaikan isi-isi penting sewaktu seminar diadakan di Balai Budaya, DBP Cawangan Sarawak.

Oleh itu, bergerak aktif sebagai kumpulan penting yang menyokong dan menyampaikan agenda pembangunan kepada setiap lapisan masyarakat. Malah, penulis turut berperanan sebagai penganalisis dan pengkritik yang bertanggungjawab dalam agenda pembangunan demi kebaikan rakyat Sarawak keseluruhannya.

Akhir sekali, sesi ketiga yang membincangkan isu “Suara Penulis Muda tentang Sastera” yang dibentangkan oleh penulis-penulis muda yang bergiat aktif dalam penulisan cerpen dan novel, iaitu Encik Benedict Samling, Puan Nur Azshielda Sahran, Encik Frankie Latit dan moderator, Encik Nur Farhan Aini.

Skop yang dibentangkan dalam seminar ini menyuarakan pendapat panel tentang langkah dan cabaran dalam karier penulisan. Menurut Puan Nur Azshielda Sahran atau nama pena, Shield Sahran, pengalaman estetik yang dimiliki oleh setiap penulis mampu mendewasakan mereka serta mempengaruhi kualiti karya yang dihasilkan.

Pengarah DBP Cawangan Sarawak, Encik Abang Haliman Haji Abang Julai bersama-sama Sasterawan Negeri Sarawak serta para pembentang.

Menurutnya lagi, setiap penulis mempunyai proses kejayaan yang berbeza dan bergantung kepada sumbangan yang bermakna serta pemahaman mengenai sastera untuk membantu mereka terus tumbuh sebagai penulis yang mahir dalam membudayakan ilmu tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

Yang Berkaitan

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.