Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangRabi’ahtuladawyah Md. Saleh mencatat butir nasihat yang berguna untuk menulis puisi daripada Sasterawan Negara Dato’ Rahman Shaari.
Dalam isu citraan bercampur ini, Rahman Shaari menjelaskan bahawa citraan bercampur menjadi konflik yang tersembunyi dalam diri penulis. Kebiasaannya, penulis tidak menyedari hal ini berlaku terhadap karyanya. Penulis tidak menggunakan diksi yang tepat atau bersesuaian dengan latar citra yang digambarkan semasa menghasilkan puisi.
Pada 16 Julai 2023 yang lalu, berlangsung sebuah program wacana anjuran Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang sangat bermakna di Wisma DBP. Dua panel penuh bitara berentap ilmu dalam penulisan puisi; Saudara Zaen Kasturi, penerima SEA Write Award 2010 dan pengkaji serta pengkritik yang cukup tajam pengamatannya dalam bidang puisi, Dr. Mohamad Shahidan.
Ruang yang diberikan oleh penganjur amat bermakna kepada pencinta seni penulisan puisi. Kebersamaan Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari pada program Wacana Ilmu ini menempah peluang terbaik kepada peserta untuk menimba langsung pengalaman dan ilmu daripada tokoh penyair ini.
Dalam ucapan penutup program ini, beliau memberikan dorongan kepada penulis agar terus berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha mencari ilmu untuk memperbaiki lagi penulisan puisi yang dihasilkan. Panduan, teguran serta kritikan oleh ahli panel hendaklah diberikan perhatian sekiranya penulis mahu hasil penulisannya menjadi lebih baik dan berkualiti.
SN Dato’ Rahman turut memberikan maklum balas kepada perkongsian Dr. Mohamad Shahidan yang menyatakan bahawa terdapat banyak penulisan puisi yang memilih atau menggunakan diksi yang tidak tepat.
Bukan sahaja kepada puisi atau sajak tetapi hal ini turut berlaku pada karya lirik lagu popular. Malangnya, masyarakat menikmati karya-karya ini tanpa menyedari wujudnya kecacatan pada karya tersebut. Hal ini sememangnya berlaku dalam penulisan puisi. Dalam ilmu sastera, hal ini disebut sebagai citraan bercampur (mixed imagery).
Dalam isu citraan bercampur ini, SN Rahman Shaari menjelaskan bahawa citraan bercampur menjadi konflik yang tersembunyi dalam diri penulis. Kebiasaannya, penulis tidak menyedari hal ini berlaku terhadap karyanya. Penulis tidak menggunakan diksi yang tepat atau bersesuaian dengan latar citra yang digambarkan semasa menghasilkan puisi. Ada dalam kalangan penulis puisi yang tidak menghayati latar yang digunakan selain perkara-perkara yang menyokong latar yang dipilih. Hal ini mengakibatkan penulis tidak dapat membina kerangka puisi dengan baik, apatah lagi untuk membina makna pada puisi tersebut.
Beliau turut memberikan contoh sesetengah penulis yang menggunakan latar lautan dalam mengetengahkan abstrak puisinya, namun metafora berkaitan laut, sama ada ombak, badai, gelora, pantai, pasir, dan sebagainya, tidak pula mengiringi diksi puisi tersebut, malah menggunakan pula metafora lain yang benar-benar pincang sehingga menyebabkan rosaknya keindahan sesebuah karya puisi.
Menurutnya lagi, contoh lain yang boleh diamati apabila seseorang penulis mengetengahkan citraan seperti ungkapan “kolam hatiku terbakar”. Citraan bercampur telah berlaku dengan ketara pada konteks frasa ini. Bagaimanakah ‘kolam’ yang mengandungi unsur air boleh ‘terbakar’ (sesuatu yang bercirikan unsur api). Unsur-unsur ini bertentangan dengan logika realiti.
Begitu juga contoh lain yang boleh ditekuni bersama, iaitu bagaimana penulis mengalami konflik dalam menghasilkan karya apabila berlaku halangan untuk mengabstraksikan citraan puisi yang hendak dihasilkannya. Abstraksi ini tidak dapat dilihat bentuknya, tetapi dapat dirasakan oleh seseorang, antaranya termasuklah perasaan, semangat, perjuangan, asa, lelah, marah, dan sebagainya. Emosi yang ingin dibina oleh penulis dalam karyanya menghadapi masalah apabila tidak mengkonkritisasinya dengan baik. Konkritisasi dalam pengkaryaan puisi pula menurut beliau ialah proses menggambarkan atau mencitrakan maksud puisi dalam bentuk metafora oleh penulis.
Menurut Dato’ Rahman, penulis boleh meminimumkan konflik sedemikian dalam berkarya dengan menghayati semula penulisannya sambil meneliti setiap diksi yang dipilihnya. Seseorang penulis mestilah berupaya menghasilkan karya yang logik dan bertepatan dengan latar metafora yang dipilih. Penulis perlu memiliki ilmu penulisan puisi di samping bakat penulisan yang ada pada diri masing-masing. Kelak, karya yang dihasilkan akan menjadi karya yang unggul dan kekal dihayati oleh ramai pembaca.
Pesanan beliau lagi, penulis mestilah selalu meneliti dan bersabar apabila mengarang sesebuah puisi. Elakkan menggunakan diksi yang bombastik (melampau-lampau atau keterlaluan) sehingga memisahkan puisi dengan estetikanya. Panduan demikian sudah tentu akan dapat melatih penulis yang mula berjinak-jinak dengan penulisan genre sastera ini dan juga kepada penulis lainnya.
Sememangnya, puisi ialah ungkapan-ungkapan yang mengandungi gagasan pemikiran. Seseorang penulis bertanggungjawab untuk melahirkan pemikirannya dengan tidak menimbulkan konflik terhadap bentuk puisi itu sendiri selain dapat difahami oleh pembacanya.
Kredit Gambar: Firus Fansuri/MidJourney
Kredit Foto: Nur Muhammad Fansuri/Facebook
_________________________
Rabi’ahtuladawyah Md. Saleh perancang bahasa Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.