Oleh Rasoul Manan
17 Disember 2023, 01:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Persatuan Penyair Malaysia (PENYAIR) dengan Kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah mementaskan teater Petua Perkahwinan di Stor Teater, Wisma DBP pada malam tadi.

Petua Perkahwinan merupakan kisah seorang pemuda yang telah putus tunang sebanyak tujuh kali, lalu pemuda tersebut mendapatkan janji temu untuk bertemu dengan Kapten Aman Jantana bagi meminta tip dalam mengekalkan hubungan sebelum berkahwin.

Selain pemuda tersebut, terdapat juga kisah seorang wanita muda yang turut mengalami nasib malang dalam percintaan lantas bertemu dengan Kapten Aman Jantana untuk mendapatkan nasihat. Wanita tersebut merupakan anak kepada kenalan Kapten Aman Jantana.

Kapten Aman Jantana ketika berhadapan dengan dua watak utama yang ingin mendapatkan nasihatnya tentang soal pertunangan dan percintaan.

Watak Kapten telah dilakonkan oleh Sasterawan Negara (SN) Dato’ Rahman Shaari. Malah beliau turut mengarahkan dan menulis skrip teater ini. Ketika ditemui oleh wartawan JendelaDBP, beliau menjelaskan bahawa kisah-kisah yang ditampilkan menerusi teater tersebut ialah kisah yang lahir daripada pengamatan beliau terhadap sahabatnya dan kisah yang terilham berdasarkan pembacaan cerita-cerita yang dipaparkan dalam surat khabar mengenai kisah putus cinta. Ujar beliau,

Antara babak pemuda dan bekas tunangannya yang dipentaskan dalam Petua Perkahwinan di Stor Teater DBP, pada malam tadi.

Saya sering ke Utusan. Di sana saya akan bertemu dengan beberapa wartawan yang menulis kisah-kisah ini. Daripada situ, munculnya ilham untuk saya menulis skrip dan diselitkan dengan puisi ‘Mencari Isteri’ yang pernah memenangi Hadiah Sastera Malaysia pada tahun 1982.

Selain beliau, barisan pelakon yang menjayakan pementasan ini ialah Roydy Rodiky, Abot, Aya Rohaiyah, Anna Natasha dan Anne RR.

SN Dato’ Rahman Shaari sebagai watak utama, iaitu Kapten Aman Jantana ketika menasihati pemuda (yang dilakonkan oleh Roydy Rodiky) tentang soal pertunangan dan perkahwinan.
Aksi Dato’ Rahman Shaari dan Abot ketika menjayakan Petua Perkahwinan.

Teater ini bukan sahaja memaparkan kisah pertunangan dan perkahwinan malahan membawa falsafah yang tinggi, iaitu manusia jangan berharap agar segala cita-citanya boleh dicapai tetapi manusia hendaklah bersyukur sekiranya sudah memperoleh sebahagian daripada cita-citanya. Manusia juga tidak perlu kecewa jika segala impian yang dihajati tidak dapat dicapai sepenuhnya. Hal ini demikian kerana meletakkan impian yang terlalu tinggi dan mewajibkan diri untuk mencapai semuanya dan kemudian gagal akan menyebabkan neurotik (separuh gila).

Pelbagai persoalan dan mesej lain turut ditampilkan dalam teater yang dipentaskan ini. Antaranya termasuklah kebijaksanaan dalam menyelesaikan masalah dalam pertunangan atau percintaan, kesabaran, ketepatan masa, sikap saling menghormati dan kasih sayang serta mesej penting ialah nilai keimanan dan ketuhanan. Perkara yang menarik yang ditampilkan dalam teater ini ialah penggunaan bahasa yang tidak tepat yang digunakan oleh watak dan diperbetul oleh Kapten Aman Jantana seperti “temu janji” kepada “janji temu”. Teater ini juga disulam dengan alunan muzik, puisi, bahasa berirama dan jenaka yang mencuit hati penonton.

Pementasan teater ini telah dihadiri oleh Mantan Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Dato’ Seri Utama Isa Samad dan Isteri; Ketua Pengarah DBP, Dr. Hazami Jahari; SN A. Samad Said;  Ketua Bahagian Promosi dan Pengiktirafan, Puan Roziah Md Yunus; dan Ketua Editor Bahagian Majalah, Dr. Rosmani Omar.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.