Oleh Aliff Awan
11 Oktober 2023, 14:35

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tahun ini saja, kita dapat lihat bagaimana nasib kerja-kerja yang dihasilkan oleh penggiat seni dilayani oleh segelintir masyarakat dan media. Pengharaman filem yang tidak perlu. Rampasan buku tanpa sebab yang difahami. Tayangan filem secara tertutup yang dituduh sebagai sebuah “perlakuan berdosa” atas andaian-andaian yang merugikan.

Kalau ada 10 laluan, di Malaysia, seni tampaknya wajib menurut satu jalan saja. Jika tidak diturut, orang akan kata: kurang ajar.

Hal ini mengingatkan kita pada perjalanan Salleh Ben Joned yang kalau mengikut kata Jack Malik, “Dalam lima antologi puisi tempatan dalam perpustakaan saya (sekitar 1980-an sehingga 1990-an), nama Salleh Ben Joned tiada [pun] dalam mana-mana daftar himpunan tersebut.” (Dewan Sastera Bil.8/2023).

Kenapa? Tak ada siapa yang dapat menjawabnya, kecuali editor, penerbit dan penulis-penulis sezamannya. Namun begitu, yang kita tahu, ramai beranggapan bahawa karya-karya Salleh terlalu lantang, garang dan sekali lagi, kurang ajar. Lewat puisi-puisi dan artikel-artikel tulisannya, beliau dianggap sebagai “pengalaman paling traumatik dalam sastera Melayu.”

Awal tahun ini, Aliff Awan mengambil peluang untuk memahami tulisan-tulisan arwah Salleh selepas menerima panggilan daripada seorang pengarah teater yang pernah mewakili Malaysia dalam Hektomeron Project, Syafiq Syazim. Hektomeron merupakan sebuah projek yang menghimpunkan lebih 100 pengarah dari 100 negara di seluruh dunia.

Dalam penelitiannya, Aliff menemui satu-satunya skrip drama pentas yang dikarang oleh Salleh Ben Joned. Beliau menghulurkan skrip itu kepada Syafiq. Selepas membacanya, Syafiq meluah tegas, “Jom buat show!” dan buat julung-julung kalinya, The Amok of Mat Solo akan dipentaskan di Panggung Eksperimen ASWARA pada 19 hingga 21 Oktober 2023.

Aliff Awan menghubungi semula Syafiq Syazim untuk mengetahui titik mula perkenalannya terhadap karya arwah Salleh Ben Joned dan mengapa memilih skrip dramanya untuk dipentaskan.

Pementasan teater ini saya kira adalah sebagai pembuka mata untuk masyarakat agar lebih mengenali siapa susuk Salleh Ben Joned itu.

DS: Sejak bila kenal dengan arwah Salleh Ben Joned?

Syafiq: Saya baru kenal dengan Salleh Ben Joned pada hari kematian beliau pada tahun 2020. Tiba-tiba saja media arus perdana membuat liputan tentangnya. Berita Awani, New Straits Times, MalaysiaKini, The Star. Sebelum ini, memang tak pernah tahu tentang kewujudannya dalam dunia sastera.

Saya mula cari siapa orangnya dan karyanya, dan selepas membaca kebanyakannya, saya tanya hati, ‘Kenapa karya sebagus ini tak disebut-sebut dalam media arus perdana sebelum ini? Atau aku yang kurang cakna dengan penulis sastera di Malaysia?’

Sebelum membaca karyanya, secara jujur, ada satu perasaan yang macam, “Hebat sangat ke Salleh ni? Apa yang dia dah buat?” Persepsi ini timbul kerana kenyataan-kenyataan dan tulisan daripada kawan-kawannya yang dikira terlalu mengangkat dirinya. Saya terus bertanya, ‘Kalau betul hebat, kenapa aku tak kenal? Kenapa selama ini dia “menyorok”?’ hal itu sebelum saya bacalah. Selepas baca, baru saya faham kenapa beliau diangkat.

Awal tahun ini, Fasyali Fadzly menghubungi saya untuk mengarahkan satu slot teater, dipanggil Selective Stage. Tahun ini, edisi yang keempat. Pelawaan itu saya sambut dengan mencari naskhah hikayat untuk dikerjakan semula, tapi bayangan Salleh muncul secara tiba-tiba, membuatkan saya rasa nak terokai karyanya.

Ada beberapa tulisan Salleh yang menyengat, tapi yang paling kuat sengatannya ialah sajak “Rentak Haram Jadah”. Selepas membaca sajak itu, seluruh badan saya semacam menggeletar. Saya tak pasti apakah perasaan itu. Boleh jadi takut, terkejut atau seperti dirasuk oleh “semangat”.

Rima yang Salleh gunakan sangat tepat dan sedap. Pedas. Untuk orang teater seperti saya, ia sangat teaterikal dan dramatik kalau dideklamasikan di khalayak ramai.

DS: Kenapa pilih untuk pentaskan satu-satunya skrip arwah? Bukankah beliau lebih terkenal dengan puisi-puisinya?

Syafiq: Agak sukar untuk mencari buku-buku beliau di kedai buku biasa. Paling mudah untuk saya dapatkan ialah Sajak-sajak Saleh terbitan Fixi. Selepas khatam buku tersebut, saya faham kenapa beliau dianggap berbeza. Kemudian, esei-eseinya pula dicari di internet melalui blog hasil inisiatif anak perempuannya, Anna Salleh, yang mengumpul hasil-hasil tulisan arwah dari dulu.

Memang pada awalnya saya berminat untuk mengambil satu atau dua sajaknya dan mengadaptasinya ke dalam bentuk teater. Tapi, saya terjumpa satu-satunya naskhah lakon pentas yang ditulis oleh beliau: “The Amok of Mat Solo”.

Kenapa naskhah yang ditulis pada tahun 1994 dan diterbitkan pada tahun 2011 ini tidak pernah diangkat oleh sesiapa? Sedangkan arwah ada ramai kawan yang terlibat dengan teater? Saya fikir, ini mungkin peluang untuk kita buka ruang atau hidupkan semula karya Salleh Ben Joned supaya boleh ditatap oleh orang masa kini. Kalau bukan sekarang, bila lagi?

DS: Sebagai orang baharu yang mengenali karya arwah, macam mana anda cuba untuk memahami dengan lebih lanjut personaliti dan kepengarangannya?

Syafiq: Secara jujurnya, karya-karya Salleh ini ada yang agak kompleks untuk difahami. Saya ambil pendekatan untuk cari dan baca sebanyak yang boleh apa-apa tulisan tentang beliau. Ada buku, jurnal, artikel, petikan akhbar, dan blog. Saya juga berjumpa dengan beberapa kenalan yang tahu dan pernah berjumpa dengan susuk Salleh Ben Joned, seperti Jack Malik dan Aliff Awan. Mereka sedikit sebanyak memberikan saya beberapa konteks untuk lebih faham dan kenal dengan Salleh.

Dalam proses pembikinan teater yang sedang dikerjakan ini, saya ada juga menggunakan khidmat dramaturg untuk membantu menganalisis teks “The Amok of Mat Solo”, seperti Ali Alasri. Beliau merupakan menantu kepada pelakon Fatimah Abu Bakar yang juga pernah sepentas dengan Salleh Ben Joned dalam teater terbitan Five Arts Centre yang bertajuk 1984: Here and Now.

Untuk memahami keperibadian Salleh ketika arwah menjawat jawatan pensyarah di Universiti Malaya dahulu, saya kutip beberapa kisah yang diceritakan oleh Ramzi Ramli dan Azlim Ibrahim, senior-senior di Universiti Malaya. Mereka juga berkongsi cerita insiden di Dewan Bahasa dan Pustaka dan Balai Seni Negara.

Setakat ini, saya masih lagi merancang untuk berjumpa dengan beberapa lagi kenalan arwah, seperti Amir Muhammad, Mark Teh, Marion D’Cruz, Adman Salleh, dan juga anak Salleh sendiri, Anna Salleh. Insya-Allah dalam masa terdekat.

DS: Selepas melalui proses penyediaan pementasan The Amok of Mat Solo, siapa sebenarnya Salleh Ben Joned di mata anda?

Syafiq: Pada peringkat awal mengenali Salleh Ben Joned, ada satu perasaan yang kurang senang dengan karya-karyanya. Saya macam, “Eh, kurang ajar betul dia ni!”. Lama-kelamaan saya mula faham kenapa perlu ada sifat kurang ajar ini. Macam ungkapan Sasterawan Negara Usman Awang yang juga rakan Salleh, dalam sajak “Kurang Ajar”: “Suatu bangsa tidak menjadi besar/tanpa memiliki sifat kurang ajar.”

Sebenarnya, ada sebab kenapa Salleh sangat lantang dan “kurang ajar”. Perkara yang dikesatkannya ialah fakta dan kebenaran. Beliau memang sangat ekspresif terhadap perkara-perkara yang ramai antara kita rasakan hal itu sensitif atau tabu untuk dibincangkan.

Pementasan teater ini saya kira adalah sebagai pembuka mata untuk masyarakat agar lebih mengenali siapa susuk Salleh Ben Joned itu. Tugas saya sebagai pengarah hanyalah mengangkat pemikiran daripada teks tulisan beliau ke pentas. Hal ini tidak bermakna saya mesti atau bersetuju 100 peratus tentang segalanya yang dicurahkan oleh penulis. Malah, saya juga ambil beberapa peluang untuk memberikan respons terhadapnya.

Dalam naskhah “The Amok of Mat Solo” ini, Salleh banyak menggunakan perkataan-perkataan yang jarang digunakan, seperti sanggar mara, cintamani dan kundalini. Malah, beliau juga gemar menggabungkan dua perkataan menjadi satu, seperti bumiguois dan sukadara. Hal ini menunjukkan betapa kuat penguasaan bahasanya yang menimbulkan persoalan awal tadi: Mengapa seniman seperti Salleh Ben Joned disorokkan?

Proses pembikinan teater ini agak mencabar kerana yang pertama, gaya bahasa yang Salleh gunakan terlalu banyak aras. Ada yang high english, ada yang bahasa Melayu klasik, Sanskrit, dan ada juga petikan-petikan puisi dari Timur Tengah dan Barat. Hal ini sudah tentu mencabar saya.

Dengan bilangan watak dan babak yang banyak, juga arahan pentas yang spesifik, peranan saya sebagai pengarah sangat teruji apabila perlu membuat pilihan sama ada perlu mengikut saranan penulis atau memberikan makna yang baharu. Teks ini bukan teks biasa, ia sebuah naskhah absurd menurut Andrew Hock Soon Ng (2021).

Proses ini memerlukan bantuan third eye atau dramaturg dalam usaha menganalisis teks yang berlapis-lapis maknanya. Yang ketiga, saya berdepan dengan beberapa batas. Batas di sini bermaksud saya tidak boleh membuat keputusan terus atau direct decision tanpa memikirkan beberapa aspek seperti masa, tenaga kerja dan censorship. Boleh dikatakan, sepanjang mengarah teater selama lebih daripada 10 tahun, naskhah ini ialah naskhah yang paling mencabar.

Salleh Ben Joned pada saya, seorang seniman yang amat istimewa. Beliau tidak memerlukan spotlight daripada media arus perdana. Beliau pejuang pada apa-apa yang dipercayai dan dipegangi. Berani dan lantang membogelkan kebenaran yang padanya, wajib didedahkan dan diberitahu. Saya kira, Salleh Ben Joned ialah Melayu sejati yang paling asli. Bukan hipokrit yang perlukan undi, yang kononnya memperjuangkan bangsanya sendiri.

_________________________

Pementasan ini akan menampilkan Muhammad Ibrahim, Jerrica Xufei Lai dan Sri Irdina sebagai pelakon utama. Harga tiket yang serendah RM20, bersedia untuk dapatkan tiket pementasan di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.