19 Februari 2024, 09:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuching – Persembahan Dendang Nurani Malam Bersama Palestin anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS) sempena dengan Festival Bahasa Jiwa Bangsa 2024 telah menyentuh hati para penonton di Balai Budaya, baru-baru ini.

Persembahan yang berdurasi selama satu jam lebih itu menceritakan sebuah makna perjuangan, keadilan dan kemanusiaan yang tidak pernah menemui titik akhir. Pelbagai corak seni pengucapan seperti deklamasi dan lakon (DEKON), pentomin dan nyanyian digarap dengan baik bagi mewarnai persembahan tersebut.

Antara persembahan yang disajikan buat penonton.

Penggiat seni teater, Abdul Wahab Firdaus Hairaf telah bertindak sebagai pengarah. Beliau menjelaskan, Malam Bersama Palestin ingin menunjukkan sisi kemanusiaan dan melaungkan keadilan supaya menyedarkan mata yang melihat kekejaman dilakukan.

Mereka yang kejam itu bukan insan tetapi haiwan, mereka yang rakus itu semakin gila menghapus, mereka yang ganas itu telah kehilangan waras. Ada yang mengeluh tetapi hanya berpeluk tubuh, ada yang bersimpati tetapi terbungkam dalam sepi, ada yang bersuara tetapi jauh dalam gema yang terus hilang.

Persembahan ini juga menampilkan bakat baharu, yakni Liew Shan Li, pemenang Pertandingan Deklamasi Sajak Festival Pelbagai Kaum 2023.  Karyawan DBPCS, iaitu Mohamad Faizal Jamil, Saiful Bahri Jamil dan Nur Hijrah Yahya juga menyertai dan menampilkan bakat masing-masing.

Berlatarkan masjid di Palestin, persembahan telah menyebabkan penonton berasa seperti dalam kancah peperangan.

Majlis pada malam itu, diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat Datuk Hajah Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 Dan Hubungan Negeri-Persekutuan). Di akhir persembahan, beliau telah berdiri sambil memberikan tepuk sanjungan.

Malah, turut hadir menyaksikan persembahan ini ialah Abang Haliman Haji Abang Julai, Pengarah DBPCS; Datuk Abang Abdul Wahab Haji Abang Julai, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak; Dr. Hasnalee Tuba, mewakili Pengarah Institut Pendidikan Guru Kampus Batu Lintang dan Ruzaimir Malek, Timbalan Pengarah Dewan Bandaraya Kuching Utara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.