3 November 2023, 16:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kubang Kerian – Pertubuhan Seni Rupa Jiwa bersama-sama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Timur (DBPWT) dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu (IPGKB), Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Pertubuhan Anak Seni Pendidikan Kelantan (ASPEK) serta Jalinan Anak Seni Teater, Tari dan Sastera (JASTERA) telah mementaskan teater eksperimental; Raja Kubang Labu (RKL) pada 24 dan 25 Oktober yang lepas.

RKL merupakan skrip oleh Allahyarham Zakaria Sabri Muhammad dan mengisahkan sejarah peperangan yang menimpa istana atau kota Kubang Labu. Dalam teater ini, keindahan penggunaan bahasa istana Melayu silam, diselitkan dengan kekayaan dialek Kelantan sebagai keunikan memberi gambaran latar tempatan dan seni budaya pada zaman dahulu.

Puan Ariza Che Ismail, Pengarah DBPWT, berkata pementasan ini memberi peluang kepada penggiat, peminat teater dan para pelajar menonjolkan bakat dalam bidang seni dan budaya. Ujar beliau;

Melalui teater ini diharapkan dapat menyemai minat dalam kalangan generasi muda terhadap seni teater.

Teater ini menyampaikan mesej kepada masyarakat agar sejarah terdahulu tidak luput ditelan zaman dan sebagai salah satu sesi pembelajaran seni budaya, mengenal kerajaan dan masyarakat Melayu terdahulu khususnya di negeri Kelantan. Tambah beliau;

Saya yakin para hadirin, khususnya para pelajar dan mahasiswa di institusi pendidikan di Kelantan turut dapat mendalami sejarah Kesultanan Melayu Kelantan melalui pementasan ini.

Peri penting nilai sejarah itu perlu disemai dalam konteks yang lebih besar, iaitu nilai dan teladan dan bukannya sekadar naratif kosong. Sudah tiba masanya sejarah di Malaysia, khususnya di Kelantan diadaptasikan dalam bentuk teater sebegini.

Jihan Megha Ismail, Pengarah pementasan teater pula mengulas bahawa ruang teater ini memberikan pendedahan kepada khalayak berkenaan konsep tradisional dan eksperimental melalui persembahan yang berinformatif dan menghiburkan dengan membawa pengajaran yang berguna.

Pementasan teater ini, dapat memupuk semangat kerjasama dan berkumpulan demi menghasilkan pementasan yang berkualiti tinggi dan bermutu untuk tontonan umum.

Teater ini dipentaskan melalui acuan eksperimental, suatu acuan yang diharapkan mampu memberi nafas baharu kepada teater sejarah seperti Raja Kubang Labu. Hal ini bukan sahaja memfokuskan kepada struktur persembahan dramatik, konsep estetika, mahupun struktur teknikal yang belum pernah diaplikasikan sebelum ini, bahkan model ini adalah anti-tesis kepada naturalisme dan realisme.

Pementasan teater ini telah menarik minat lebih 1600 orang khalayak, penerapan muzik kontemporari, pencahayaan dan gerak fizikal kreatif menjadi eleman penguat mendukung kepada penyerlahan teater RKL.

Turut hadir menyaksikan persembahan teater ini ialah Norzila Mamat Ghani, Timbalan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Negeri Kelantan, Dato’ A. Aziz Deraman, Presiden PERADABAN dan Mantan Ketua Pengarah DBP, Dr. Nik Hassan Seman, mewakili Pengarah Institut Pendidikan Guru Kota Bharu (IPGKB), Wan Mohd Arizuddin Wan Mohd Nor, wakil Pengarah Pusat Kebudayaan UMK, Nik Ahmad Farhan Azim@Nik Azim, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Seni Rupa Jiwa.

Pelakon yang menerajui pementasan teater ini, antaranya ialah Norhafis Mustaffar (Long Muhammad), Ahmad Subhi Abdul Halim (Long Gafar), Muhammad Fakhrush Syakirin Muhammad Azhar  (Long Yunus), Amnan Sabri (Long Deraman), Abdul Hadi Yusoff (Bendahari Encik Min) dan gabung jalin pelakon, korus dan produksi daripada pelajar IPG Kampus Kota Bharu, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), JASTERA dan ASPEK.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.