Oleh M. Farez Karim
12 Disember 2023, 09:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Rencana M. Farez Karim ini merupakan nota lanjutan pameran seni Garis Puisi yang telah dianjurkan oleh HOM Art Trans dengan kerjasama Studio Kaukab pada 26 Oktober–11 November 2023.

Dalam pertemuan itu, Bayu membentangkan projek ini dan menyenaraikan 10 nama pelukis yang akan terbabit. Bayu kemudian memberikan saya senarai 10 sasterawan muda tanah air yang diperolehnya daripada seniman mapan Pyanhabib.

Antara matlamat utama pameran ini adalah sebagai jambatan yang menghubung antara dua silang bidang, iaitu seni lukis dan seni penulisan (sastera). Pihak penganjur berharap dengan adanya pameran ini akan mencetuskan lebih banyak penganjuran berbentuk silang bidang sebegini oleh pihak-pihak lain yang berkaitan.

Saya sebagai penganjur bersama juga maklum inisiatif sebegini bukanlah yang pertama kali. Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pernah mewujudkan Sudut Penulis yang terbuka kepada pelukis, pengarca dan penyair untuk mengadakan pelbagai program kesenian. Antara pameran seni silang bidang yang perlu dijadikan rujukan termasuklah Manifestasi Dua Seni I (1970), Manifestasi Dua Seni II (1971) dan Toward Mystical Reality (1974). Inilah antara sebab kami menjemput Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan selaku Pengerusi Lembaga Pengelola DBP sebagai perasmi pada malam pembukaan. Dalam ranah seni rupa dan sastera tempatan, kumpulan Anak Alam sebagai sebuah grup pengkarya yang terdiri daripada seniman multidimensi juga sering disebut-sebut apabila membicarakan hubungan silang bidang antara kedua-duanya.

Sebermula Titik

Saya menerima mesej WhatsApp daripada Bayu Utomo Radjikin pada 27 Mac 2023 dan diajak untuk berkolaboratif dalam penganjuran sebuah pameran yang melibatkan pelukis (seniman visual) dan penyajak (seniman susastera). Dua hari kemudian kami berjumpa di HOM Art Trans, Taman Cempaka, Ampang. Dalam pertemuan itu, Bayu membentangkan projek ini dan menyenaraikan 10 nama pelukis yang akan terbabit. Bayu kemudian memberikan saya senarai 10 sasterawan muda tanah air yang diperolehnya daripada seniman mapan Pyanhabib.

Pada tahun 2015, HOM Art Trans pernah menganjurkan sebuah pameran Melukis Puisi: Sebuah Pencitraan Puisi-puisi Pyanhabib. Puisi-puisi Pyanhabib “dilukis” oleh 31 orang pelukis yang aktif menghasilkan karya waktu itu, daripada yang muda sehingga yang ternama. Namun begitu, projek pameran yang kami anjurkan ini amat berbeza daripada Melukis Puisi tahun 2015 itu yang lebih kepada “komunikasi sehala”.

Bayu kemudian menamakan projek ini Garis Puisi, iaitu titik temu antara pelukis dengan penyair dalam proses menghasilkan karya. Secara falsafahnya, menurut Bayu, kedua-dua pengkarya baik pelukis dan penyair pastinya mempunyai perasaan dan pengalaman yang tertentu sebelum meluahkan di medium yang mereka praktik; secara visual mahupun tekstual.

Seorang pengunjung asyik memerhati lukisan karya Haslin Ismail berjudul Yang Tersembunyi pada malam pembukaan.

Dalam Garis Puisi, Studio Kaukab sebagai sebuah penerbitan mandiri yang aktif dalam dunia perbukuan tempatan sejak tahun 2013 dijemput oleh HOM Art Trans sebagai penyelenggara yang akan menjemput dan menerangkan kepada para penyair terlibat tentang projek ini dan bertanggungjawab untuk menyediakan teks-teks maklumat yang berkaitan.

 Titik Bertemu Titik

Pada 1 Mei, semua pengkarya dijemput bermesyuarat melalui aplikasi Google Meet. Dalam perjumpaan secara dalam talian ini, para pelukis dan penyair diperkenalkan buat pertama kali secara bersemuka. Sebelumnya, mereka saling berkenalan dalam kumpulan WhatsApp melalui profil dan biodata setiap seorang. Bayu dan saya menerangkan dengan lebih mendalam tentang hala tuju dan matlamat projek Garis Puisi. Sesi soal jawab “agak meriah”, dengan idea dan sumbang saran setiap pengkarya walaupun pada awalnya ada beberapa yang kelihatan tidak begitu jelas kerana majoriti pengkarya tidak pernah terlibat dalam projek seumpama ini. Mesyuarat disudahi dengan tugasan untuk pengkarya. Mereka diminta untuk menghasilkan dua karya setiap seorang dalam dua fasa. Untuk fasa pertama, karya adalah bebas dan khusus untuk penyair; mereka perlu menghantar karya yang belum pernah terbit dalam mana-mana medium. Tempoh menghasilkan karya pertama ini ialah dua bulan.

Kemudian, pada bulan Julai, mereka ditemukan sekali lagi dalam satu majlis tertutup secara fizikal di HOM Art Trans. Dalam “majlis kenduri” ini, para pengkarya digandingkan antara satu sama lain melalui cabutan undi. Setelah dipasangkan, mereka kemudian membawa pasangan masing-masing ke karya fasa pertama masing-masing yang siap dipamerkan di dinding galeri, termasuklah puisi. Di sini, setiap mereka menerangkan proses pengkaryaan, maksud dan pengalaman untuk dikongsi bersama-sama pasangan.

Pelukis, Arik Wibowo dan penyair, Qurratul ‘Ain menerangkan karya kolaboratif mereka kepada SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan pada malam pembukaan pameran Garis Puisi.

Selesai perjumpaan di HOM Art Trans, setiap pasangan diberi tugasan untuk fasa kedua, iaitu menghasilkan karya kolaboratif bersama. Dalam fasa ini, kedua-dua seniman dianjurkan untuk mengadakan pertemuan, diskusi dan perkongsian dalam penghasilan karya tersebut. Proses pengkaryaan fasa ini melibatkan kerjasama mutlak antara kedua-dua pengkarya yang digandingkan. Penghasilan judul, konteks dan pemahaman karya bergerak secara kerjasama berpasangan (duo). Akhir sekali, kesemua karya daripada fasa satu dan fasa dua dikumpulkan untuk dipamerkan di HOM Art Trans. Di sinilah saya secara peribadi berpendapat, ada sedikit “kelonggaran” yang kemudiannya kelihatan seperti sebuah “kelompangan”. Hal ini akan dijelaskan dalam subjudul terakhir.

Garis Mula Bersilang

Proses pengkaryaan seni bagi kedua-dua bidang ialah hal yang mujarad dan bersifat peribadi. Namun begitu, unsur peribadi dalam pameran ini masih lagi tertakluk dalam konteks ‘perkongsian’.

Sewaktu pameran berlangsung, ada dua hantaran di media sosial X yang mengulas secara kritis tentang pameran Garis Puisi. Ada juga ulasan liputan dalam JendelaDBP, The Star dan kolum Majoriti7. Setakat penulisan ini diketik pula, ada dua esei respons daripada pengamat seni tempatan; satu kritikan daripada Danial Fuad di portal BASKL, dan satu lagi ialah “ulasan tambahan” daripada Abdullah Jones di Malaysiakini yang beliau juga penulis prakata untuk e-katalog Garis Puisi.

Dalam dunia sastera perdana, melalui portal JendelaDBP, baru saja surut (walaupun masih beriak kecil) polemik antara penulis tua dengan muda. Dunia seni rupa pula kebanyakannya asyik berpameran mengikut hala tuju dan tema yang ditentukan oleh galeri, “cita rasa kolektor” dan ekspo seni demi mengikut kehendak pasaran. Ditambah pula dengan meletusnya tragedi genosid di Gaza, tumpuan khalayak seni dan sastera mula mengarah ke Palestin. Melalui komentar di platform X oleh Alina Abdullah, “Saya tak pasti apa kaedah yang diguna, tapi jika dilihat dari sudut tema, karya yang saya kira mencapai objektif ialah karya Qurratul ‘Ain-Arik Wibowo dan yang hampir, Suddin Lappo-Affendi Salleh. Yang lain saya lihat berat sebelah, atau sekadar tampalan, atau jalinan tangkap muat.”

Para pengunjung pameran Garis Puisi pada malam pembukaan dan perasmian oleh SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan.

Seorang lagi seniman dan penulis seni, Muhammad Amir (Tuk Kura) pula menulis, “Sekadar seimbas lalu, kebanyakan karya terasa seperti berdiri sendiri tanpa (atau kurang) unsur kolaborasi. Seperti apabila aku membaca puisi, kemudian melihat visualnya, seolah-olah tidak ber“jalan sehala” (memetik tajuk esei nukilan Abdullah Jones [dalam E-Katalog]). Ada antara puisinya kuat, mempunyai suara namun apabila melihat visualnya seperti terlalu sayu. Macam tidak sama frekuensi antara kedua-dua penulis dan pelukis.”

Tuk Kura menambah, “Ada pasangan penulis-pemuisi yang berjaya menampilkan karya yang jitu dan padu seperti Suddin Lappo dan Affendi Salleh. Kedua-dua karya (puisi dan catan) seperti saling berborak dan bersembang. Bukan semata-mata diada-adakan kebersamaan itu. Karya lain yang aku kira berjaya seperi Memalamkan Duka, kolaborasi Arik Wibowo dan Qurratul ‘Ain yang menggabungkan kekuatan kedua-duanya. Karyanya saling menyokong antara satu sama lain.” Tuk Kura juga mengangkat karya Edroger Rosili dan Petak Daud yang dikiranya sebagai berjaya dalam konteks sebuah karya kolaboratif.

Saya juga terbaca komentar Jaafar Ismail, seorang kurator dan pemilik Galeri Fergana Art di hantaran Facebook milik Pakhruddin, seorang pengumpul seni tempatan yang ternama. Komennya, Aku minat juga nak tengok sama ada pasangan seni rupa dan puisi dalam pameran ini berpolemik semasa ataupun ekspresi jiwa eksistensialis serta jiwang (sic).”

Garis Bergerak Sehala atau Terus Noktah

Seperti yang dijelaskan dalam matlamat dan harapan penganjur, Garis Puisi sebagai satu pameran yang menghimpunkan para pengkarya muda daripada dua bidang berbeza bertindak sebagai jambatan yang menghubungkan. Proses pengkaryaan seni bagi kedua-dua bidang ialah hal yang mujarad dan bersifat peribadi. Namun begitu, unsur peribadi dalam pameran ini masih lagi tertakluk dalam konteks “perkongsian”. Contohnya, umat Islam (malah, seluruh manusia yang ada hati dan perasaan) berkongsi rasa amarah juga simpati terhadap apa-apa yang berlaku di Gaza.

Berbalik pada persoalan “kelonggaran” yang menjurus pada “kelompangan”, saya mengajak khalayak meneliti semula proses pengkaryaan untuk fasa kedua Garis Puisi, yang mana setiap pasangan pengkarya bekerjasama menghasilkan sebuah karya baharu, sama ada (a) saling menterjemahkan karya masing-masing atau (b) membentuk sebuah karya yang baharu dengan mengangkat tema, pengalaman yang juga baharu. Satu frasa yang perlu digariskan, “penganjur memberi sepenuh kebebasan kepada pengkarya untuk menghasilkan karya kolaboratif.” Maka, di sinilah terjadi perkara yang dirasakan oleh Alina dan Tuk Kura, iaitu karya-karya yang kelihatannya “berat sebelah”, “sekadar tampalan”, “jalinan tangkap muat”, “berdiri sendiri”, dan “tidak berjalan sehala”.

Dalam satu perbincangan kami berdua, Bayu juga pernah memberikan pandangan bahawa apabila karya seni lukis dan puisi digandingkan dalam sebuah pameran seni visual, biasanya format visual itu yang lebih menonjol daripada sastera. Garis Puisi ini sebenarnya lebih kepada “kad undangan” daripada kelompok seni rupa kepada kumpulan seniman “kata-kata” (puisi) untuk bekerjasama. Mungkin apabila kelompok sastera pula menjemput para pengkarya yang bergelumang dalam seni rupa, hasil yang terjadi adalah sebaliknya. Untuk menikmati hal sedemikian, kita semua perlu tunggu dengan penuh kesabaran.

Dari kiri; penulis, SN Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, SN Datuk Dr. Siti Zainon Ismail dan Bayu Utomo Radjikin.

Secara akademiknya, Garis Puisi: Titik Temu Pelukis dan Penyair mengutamakan proses pengalaman tentang bagaimana komunikasi dibentuk secara dua hala oleh dua pengkarya dalam bidang yang berbeza. Apakah perhubungan mereka sewaktu berpameran itu bertaut rapat atau sekadar bertegur sapa? Apakah mereka masih berhubungan selepas selesai pameran atau mulai berkolaboratif untuk projek kesenian yang seterusnya? Memetik kata-kata Roy Lichtenstein (1923–1997) seorang pelukis, “Kepentingan seni itu adalah dalam proses melakukannya, dalam pengalaman pembelajaran di mana seniman berinteraksi dengan apa-apa sahaja yang dibikin.”

Mungkin hal yang perlu digerakkan selepas ini ialah pameran lukisan yang bekerjasama dengan seni teater, seni filem, tari, silat, dan sebagainya. Hanya orang seni yang berupaya merancakkan industri seni, jika kita bicara dalam konteks seni sebagai sebuah industri. Pada malam pembukaan, saya sempat berbual dengan Abdullah Jones dan kami bersetuju bahawa zaman Anak Alam, banyak seniman bersatu kerana masa itu kurangnya (atau hampir tiada?) kolektif seni. Zaman sekarang, dalam kalangan seniman yang sama bidang pun tidak bersehaluan kerana medium dan platform sudah bercambah ke merata arah.

Kredit Foto: Adib Zulkifli

_________________________

M. Farez Karim ialah seorang usahawan seni (artrepreneur) yang adakala mereka bentuk grafik buku dan menulis puisi di platformnya sendiri, sajak.mfarez.com. Beliau menubuhkan sebuah penerbitan mandiri Studio Kaukab sejak tahun 2013, yang telah menerbitkan lebih daripada 10 judul buku, kebanyakannya dalam genre sastera/puisi. Dilantik sebagai editor tamu majalah Senikini (terbitan Balai Seni Negara) dari edisi #28–kini. Projek terbaharunya ialah pameran seni Garis Puisi: Titik Temu Pelukis dan Penyair anjuran bersama HOM Art Trans di bawah pengurusan Bayu Utomo Radjikin.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.