Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangJurufoto: Puan Zaidah Zakaria
Kuala Lumpur – Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail dan sesi penutupan seminar tersebut yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah berlangsung dengan jayanya pada pagi tadi di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP.
Dalam ucapan penutupan Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, YBrs. Tuan Haji Razali Che Mat menyatakan bahawa seminar seperti ini sewajarnya diteruskan kerana sejak dahulu lagi, DBP tidak pernah lekang dengan wacana berbentuk ilmiah yang banyak memberi manfaat kepada masyarakat.
Ujarnya lagi,
Saya berharap seminar seperti ini akan menjadi medan pemikiran kepada para sastera, sarjana, pengarang, sasterawan, dan peminat sastera.
Sesi terakhir seminar yang dipengerusikan oleh YBrs. Dr. Faezah Muhayat mengupas tentang beberapa perkara berkait yang dibentangkan oleh empat orang panel, iaitu YBrs. Prof. Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi (Pensyarah Jabatan Bahasa Melayu, Universiti Putra Malaysia), YBrs. Dr. Ariff Mohamad (Pensyarah Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Universiti Pendidikan Sultan Idris), YBrs. Tuan Haji Che Abdullah Che Ya (Pensyarah di Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia), dan Encik Zainal Palit (Zaen Kasturi) (penulis).
Menurut kajian yang dibentangkan oleh YBrs. Prof. Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi, penerapan psikologi dalam sastera kanak-kanak yang melibatkan pemahaman mendalam tentang perkembangan emosi, kognitif, dan sosial kanak-kanak ternyata dapat direfleksikan dalam karya dan kepengarangan SN Siti Zainon Ismail dalam Koleksi Cerita Siti iaitu dalam buku Rumah Semut Kuala Abai, Mimpi Si Ikan Kaloi, Kampung Pulai Kelapa, dan Kebun Rama-rama.
Selain itu, hasil kupasan kajian YBrs. Dr. Ariff Mohammad terhadap buku Pepatah Petitih Melayu Alam Terkembang Guru ini memperlihatkan bahawa SN Sti Zainon Ismail mempunyai bakat seni yang luar biasa dan unik dalam bidang seni visual selain daripada menghasilkan novel, puisi, cerita kanak-kanak, dan kritikan sastera.
Ujar pengerusi,
Dalam buku ini, SN Siti Zainon menyerlahkan bakat seni beliau melalui imej visual, iaitu gambaran lukisan, penyataan teks, iaitu maksud peribahasa dan makna siratan, iaitu berkaitan dengan kehidupan yang digabungjalinkan sehingga menjadi sebuah buku yang unik dan menarik.
Sementara itu, kupasan yang dibentangkan oleh pembentang ketiga, iaitu YBrs. Tuan Haji Che Abdullah Che Ya ialah berkisar tentang gambaran wanita yang diketengahkan oleh SN Siti Zainon Ismail dalam Novel Pulau Renek Ungu. Melalui novel tersebut, terdapat lima citra wanita yang diketengahkan oleh Siti Zainon Ismail, iaitu wanita yang mengutamakan pendidikan, wanita yang berdikari, wanita yang teguh beragama, wanita yang rasional, dan wanita yang bijak membuat keputusan, dan wanita yang cekal dalam kehidupan.
Pembentang keempat, iaitu Encik Zainal Palit telah mengupas dua buah kumpulan puisi SN Siti Zainon Ismail, iaitu puisi Putih Sang Kekasih, dan Kasih Bonda: Kampung Paya Kami. Berdasarkan penelitian Encik Zainal Palit, sebilangan besar puisi SN Siti Zainon Ismail dalam dua buah kumpulan puisi tersebut dikatakan berupaya menghadiahkan beberapa bentuk pengucapan dan tanggapan terhadap norma kehidupan melalui petunjuk normatif berteraskan akal budi dan akal fikir bangsa.