Oleh Suyuthi Yusuf
1 November 2023, 15:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Karya-karyanya yang pelbagai bidang atau genre seperti seni lukis, puisi, cerpen, novel dan kajian ilmiah terus mengalir hingga dapat disimpulkan sebagai pancawarna yang indah”, ulas Dr. Rosnah Baharudin menerusi ucapan ucaptamanya yang bertajuk “Menerokai Pancawarna Karya Seni SN Dr. Siti Zainon Ismail” dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) Siti Zainon Ismail di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir yang berlangsung pada pagi tadi.

Seminar tersebut melibatkan 17 para pembentang yang membentangkan kajian mereka terhadap karya-karya SN Siti Zainon. Karya-karya yang dibincangkan termasuklah novel, cerpen, puisi dan karya kembara beliau.

Dalam perkembangan kesusasteraan Melayu, SN Siti Zainon berjaya mencipta nama sebagai peneliti sastera yang berwibawa. Beliau juga dikenali sebagai penulis wanita yang mampu menghasilkan pelbagai bentuk penulisan kreatif. Selain itu, beliau terkenal sebagai pengkaji seni dan budaya serantau, khususnya seni rupa dan pakaian tradisional Melayu.

Dr. Rosnah semasa menyampaikan ucaptamanya dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) Siti Zainon Ismail.

Ujar Dr. Rosnah dalam ucaptamanya,

Beliau mewujudkan keberadaan penulis wanita yang berwibawa teguh dan mapan dalam bidang-bidang tersebut setelah sempat tumbuh dan berkembang dengan menempuh pelbagai cabaran. Faktor yang mendorongnya adalah kerana ada kesedaran yang mendalam bahawa bidang yang dipilihnya ini bukanlah kerja main-main jika hendak berjaya.

Selain itu, SN Siti Zainon juga mengembangkan pengalaman kehidupannya sendiri yang dipadukan dengan baik melalui pemerhatian terhadap persekitaran, keluarga dan didorong oleh pelbagai bahan bacaan terutamanya karya agung Melayu seperti Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nafis.

Segala pengalaman kehidupan beliau tersebut tercermin dalam karya-karyanya seperti buku kumpulan puisi Bait Senandung Malam: Dari Stesen ke Stesen, Acheh: Suara dari Hujung Tambak, buku kumpulan cerpen Rindu Pala Muda, novel Pulau Renik Ungu, dan Delima Ranting Senja. 

Selain menulis karya kreatif, SN Siti Zainon juga menghasilkan kajian akademik dan ilmiah berkaitan dengan kesusasteraan, kesenian dan kebudayaan Melayu. Antara buku kajiannya termasuklah Getaran Jalur dan Warna, Percikan Seni, Tekstil Tenunan Melayu: Keindahan Budaya Tradisional, Pakaian Cara Melayu, dan Memasuki Taman Puisi.

Dr. Rosnah turut menyatakan bahawa keberadaan individu seperti SN Siti Zainon yang memiliki bakat dan kesungguhan yang mendalam dan penuh cinta terhadap bidang kreatif dan kajian ilmiah yang diceburi merupakan sesuatu yang langka.

Pencinta sastera, budaya dan seni harus berbangga dengan ketokohan SN Siti Zainon, seorang insan yang dianugerahi Allah SWT memiliki berbagai ilmu persuratan, kesenian dan budaya.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.