Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSeminar Pemikiran Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail berlangsung pada 1 dan 2 November lalu di Balai Seminar Tun Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Wisma DBP. Raja Yusoff Ariffin yang hanya mengikuti seminar pada hari kedua, tertarik dengan sesi pembentangan kertas kerja terakhir. Namun begitu, hal yang tercetus semasa soal jawab/perbincangan sesi tersebut lebih menarik perhatian beliau.
Sastera dan seni lukis memang berbeza, tetapi bukan bermakna kedua-duanya tidak boleh bertemu-bergabung.
Berbeza bidang atau disiplin pengkaryaan bukanlah untuk tujuan yang berbeza. Dalam apa-apa pun perkara yang bertujuan baik dan membina, perbezaan perlu diraikan sebagaimana kebersamaan. Perbezaan dan kebersamaan yang diuruskan dengan baik atau bijaksana boleh melahirkan kecemerlangan, serta situasi menang-menang.
Begitu juga dengan bidang sastera. Untuk lebih jelas dan khusus, saya akan terus menyatakan maksud tulisan ini. Sebarang perbincangan mengenai sastera serta karya dan tokohnya menerusi persidangan, kolokium, seminar, wacana, perbincangan, dan forum, tentulah perlu tertumpu pada bidangnya sahaja.
Kalau sesekali tergelincir daripada “landasan” dan tindih-menindih, mengikut pengalaman saya, hal itu perkara biasa yang tidak menjadi “kudis”, apatah lagi “kudis buta”. Tiada permusuhan yang (akan) berlaku, kecuali kalau ada karyawan yang memang mahu memusuhi karyawan lain, melabelkannya sebagai sampah, dan sanggup menyebut/menyelar adalah lebih baik karyawan terbabit tidak berkarya, serta meminta editor jangan lagi menyiarkan karyanya!
Sastera dan seni lukis memang berbeza, tetapi bukan bermakna kedua-duanya tidak boleh bertemu-bergabung. Jika tidak dapat bersatu atau berkolaborasi pun, janganlah pula saling merendahkan, atau menjatuhkan.
Tidak mustahil atau bukan aneh apabila seseorang itu berbakat dalam dua bidang, misalnya menulis dan menyanyi, menulis dan berlakon, ataupun menulis dan melukis. Jika mencari contoh karyawan yang mampu menulis, menyanyi dan berlakon, kita ada Sani Sudin yang dikenali ramai, malah telah diangkat sebagai Tokoh Puisi Kebangsaan 2023 bagi Kuala Lumpur. Ahli kumpulan Kopratasa ini juga boleh melukis.
Kalau mahu menyebut tokoh seni yang lebih besar, Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, 73 tahun, Sasterawan Negara ke-14 hebat menulis dan melukis. Beliau juga pernah berlakon teater semasa muda dahulu, tetapi bakat tersebut tidak diteruskan, malah jauh sekali daripada giat sebagaimana menulis dan melukis.
Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Siti Zainon Ismail dengan tema Siti Zainon Ismail: Kembara Seni Berpadu dalam Puisi dan Prosa, dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Selama dua hari, seminar ini diisi oleh empat buah sesi pembentangan kertas kerja. Sesi Pembentangan IV dijayakan oleh Prof. Madya Dr. Nik Rafidah Nik Muhamad Affendi, Dr. Ariff Mohamad, Tuan Haji Che Abdullah Che Ya, dan Encik Zainal Palit atau lebih dikenali dengan Zaen Kasturi sebagai ahli panel. Dr. Faezah Muhayat bertindak sebagai moderator.
Bagaimana suasana Sesi Pembentangan I dan II saya tidak tahu kerana terlepas. Walau bagaimanapun, Sesi Pembentangan IV menarik dan segar dengan gaya daripada percakapan ahli panel dan moderatornya.
Percayalah juga bahawa penggiat sastera tanah air tidak berniat merendah-rendahkan penggiat bidang lain, dalam konteks ini, seni lukis dan pelukis.
Saya percaya kehadiran Puan Zanita Anuar dalam seminar tersebut atas jemputan DBP, dan minat beliau sendiri kerana merangkap pelukis, Dr. Siti Zainon juga ialah rakannya. Atas apa-apa alasan pun, tahniah dan terima kasih atas kehadiran beliau itu. Memang sastera tidak menutup pintu kepada sesiapa pun, dan demikian juga diharapkan pada bidang lain.
Percayalah juga bahawa penggiat sastera tanah air tidak berniat merendah-rendahkan penggiat bidang lain, dalam konteks ini, seni lukis dan pelukis. Siti Zainon sendiri telah lama menjadi bukti dan testimoni bahawa sastera dan seni lukis tanah air tidak bermusuhan atau terpisah.
Sebagai individu yang mesra seni lukis dan menghabiskan banyak masa dengan pelukis dan karya mereka, tidak hairan jika Zanita cenderung mempertahan pelukis dan seni lukis. Sebagai mantan Pengarah Bahagian Koleksi dan Pameran Balai Seni Negara (BSN), beliau berhak cakna. Cuma saya fikir tidak perlu terlalu sensitif dan bersalah sangka.
Dr. Ariff sendiri semasa membentangkan kertas kerjanya, “Imej Visual, Penyataan Teks dan Makna Siratan Unsur Alam dalam Pepatah Petitih Melayu, Alam Terkembang Jadi Guru, 100 Malay Proverbs: An Open Ground for Knowledge”, berkali-kali menyebut beliau hanya menyentuh soal bahasa dan tidak mengulas aspek lukisan karya Siti Zainon yang turut membantu hujah perbincangan beliau, kecuali memuji kehebatannya.
Saya yakin semua yang hadir, termasuk Siti Zainon sendiri mendengar kata-kata Ariff itu. Memang sebagai pensyarah Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris, perbincangan Ariff sesuai dan wajar berlegar di sekitar bahasa sahaja. Beliau juga berkali-kali telah merendahkan diri bahawa beliau tidak arif dalam seni lukis, dan tidak mahu “memandai-mandai”.
Jadi, dakwaan bahawa sastera menindih seni lukis tidak benar, kerana seminar berkenaan menumpukan pemikiran Siti Zainon dalam karya sastera beliau, bukan dalam lukisannya!
Sebagai bukti tiada permusuhan, salah seorang pemakalah seminar berkenaan, Ts. Dr. Mohd. Saipuddin Suliman tampil memberikan pencerahan menjawab rungutan Zanita, yang sekali gus mengendurkan ketegangan yang baru bermula. Pensyarah di Jabatan Pengajian Warisan, Fakulti Teknologi Kreatif dan Warisan, Universiti Malaysia Kelantan ini menganjurkan pemurnian.
Beliau yang membentangkan kertas kerja “Pemanfaatan Elemen Teknologi Realiti Berperantara (AR) dalam Mengangkat Idea Menerusi Kumpulan Puisi Kasih Bonda: Kampung Paya Kami” pada hari pertama mengatakan yang ahli panel, atau khususnya Ariff, tidak menghina atau merendahkan seni lukis dan pelukis.
Lebih daripada itu, walaupun Seminar Pemikiran Sasterawan Negara (SN) untuk setiap SN ini tidak pernah ada sambungan atau rentetan, tetapi Ts. Dr. Mohd. Saipuddin mencadangkan agar pihak Zanita dan Balai Seni Negara (BSN) menganjurkan semacam seminar dan mengundang sasterawan sebagai ahli panel/pemakalah.
Walaupun mungkin sukar kerana Zanita bukan lagi kakitangan BSN, tetapi cadangan Dr. Saipuddin itu mendapat tepukan tanda sokongan daripada hadirin.
Hal tersebut turut disentuh oleh Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP, Tuan Haji Razali Che Mat kemudiannya. Dalam ucapan penutupan seminar, meskipun tidak menyebut secara khusus, beliau mengatakan persamaan dan perbezaan wajar diraikan kerana itulah keindahan dan manfaat besar untuk semua.
Betapa sastera-seni lukis boleh bersahabat ternyata dibuktikan oleh Siti Zainon apabila beliau tidak memberi respons semasa naik ke pentas menyampaikan cenderamata kepada para panel. Secara santai beliau hanya menyebut serba sedikit pengalaman bersama-sama setiap ahli panel. Zanita juga tidak menyambung dakwaannya.
Kredit Gambar: Europena/Unsplash
______________________________
Raja Yusoff Ariffin menulis puisi (sajak dan pantun), cerpen, rencana, ulasan, kritikan, dan berita sejak tahun 1982. Antara karyanya termasuklah buku esei Raja (Yusoff Ariffin) dalam Sastera Rakyat (1991), kumpulan drama remaja Sketsa Bas Mini (DBP, 1993), novel kanak-kanak Bangsal di Tepi Pantai (Vital Star, 1997), serta kumpulan puisi Belum Selesai (ITBM, 2016).