Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangAmpang – Pelukis, seorang yang bermain dengan jalur garis dan warna, manakala pemuisi, seorang yang bermain dengan kata-kata, dilihat jarang duduk bersama-sama dalam suatu ruang dan suasana. Dua dunia yang seolah-olah berselingkuh dan diam sendiri dalam bentuk kesenian masing-masing.
Pameran Garis Puisi: Titik Temu Pelukis dan Penyair menidakkan hal tersebut. Pameran Garis Puisi yang mempertemukan 10 orang pelukis dan 10 orang pemuisi diadakan dari 26 Oktober 2023 hingga 11 November 2023 di HOM Arts Trans, Taman Cempaka, Ampang.
Garis Puisi merupakan pameran yang melibatkan karya seni visual dan puisi. Penganjuran pameran ini juga adalah sebagai penghubung kepada dua buah cabang kesenian yang berupaya membenihkan pengetahuan dan apresiasi seni selain memperkaya wacana berkaitan dengan dunia kritikan seni visual dan sastera.
Antara pelukis dan pemuisi yang terlibat dalam projek pameran ini termasuklah Zaim Durulaman, Jack Malik, Fadli Mokhtar, Karim Mohd, Haslin Ismail, Jaymani Sevanathan, Suddin Lappo, Affendi Salleh, Khairudin Zainudin, Cahaya Jais, Arik Wibowo, Qurratul Ain, Ajim Juxta, Abdullah Hussaini, Edroger Rosili, Petak Daud, Hisyamuddin Abdullah, Rasydan Fitri, Faizal Suhif, dan Hafiz Hamzah.
Garis Puisi ini juga merupakan usaha kesenian dan kolaboratif antara pelukis dengan pemuisi. Ada antara kedua-duanya yang tidak pernah mengenali karya seni teman kolaboratifnya namun tetap mencari titik temu dan membuang selingkuh dalam dua cabang kesenian tersebut.
Sasterawan Negara YBhg. Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP dalam ucapan perasmiannya ketika pameran tersebut menyatakan:
Pameran ini memperlihatkan pelukis dan pemuisi bergabung dalam mentafsirkan idea dan inspirasi masing-masing. Pada pandangan saya, lukisan dan puisi ada persamaan dan perbezaannya yang tertentu.
Menurutnya lagi, puisi umpama cahaya yang abstrak yang dikonkritkan dalam bentuk kristal.
Segala perasaan kita seperti sayang, rindu, marah, benci dan sebagainya merupakan sesuatu yang abstrak. Dalam puisi, yang abstrak ini kita konkritkan supaya khalayak pembaca dapat memahaminya. Yang terlahir dalam puisi ialah lukisan tanpa gambar. Pelukis juga mempunyai idea abstrak yang memindahkannya ke dalam pelbagai bentuk, garis dan warna.