Oleh Suyuthi Yusuf
20 Januari 2024, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – “Pembaca akan mendapat pencaran makna apabila membaca buku kumpulan puisi SN Anwar Ridhwan ini”, jelas Zaen Kasturi apabila membicarakan buku Tercipta dari Kala terbitan Kata-Pilar. Buku ini telah dilancarkan oleh Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), YBrs Dr. Hazami Jahari di Stor Teater, Wisma DBP pada pagi tadi.

Dalam majlis yang sama turut dilancarkan buku kumpulan puisi SN Baha Zain, iaitu Malam Berbau Lilin. Wacana dan pelancaran kedua-dua buku ini merupakan anjuran bersama antara penerbit Kata-Pilar dengan DBP menerusi Bahagian Penyelidikan Sastera.

Buku terbaharu karya SN Anwar Ridhwan ini menghimpunkan pilihan puisi-puisi daripada dua buku kumpulan puisi terdahulu, iaitu Tercipta dari Tanah dan Tercipta dari Tanya selain memuatkan 30 buah puisi terbaharu beliau.

Buku ini turut diberi kata pengantar oleh penyelenggaranya, iaitu Fahd Razy dan Rasydan Fitri. Dalam kata pengantar tersebut, kedua-dua penyelenggara menyebutkan bahawa nama SN Anwar Ridhwan sudah sinonim dengan prosa dan menyebabkan masyarakat sastera janggal melihat beliau sebagai seorang pengarang puisi.

Tetapi puisi telah menawarkan sisi lain seorang Anwar Ridhwan… Puisi beliau pula membelok ke daerah yang lebih batini, falsafi dan manusiawi; ruang diri yang pernah disifatkan oleh Rahman Shaari sebagai ‘puisi-puisi introspektif”.

Ketika membicarakan buku tersebut, Zaen Kasturi juga menyatakan bahawa walaupun terdapat 3o puisi baharu dalam buku tersebut yang memberikan latar yang berbeza, namun rohnya tetap sama dengan puisi-puisi lama beliau.

Setiap pembaca akan berasakan perasaan masing-masing. Tidak ada kesan yang tunggal. Kita juga dapat melihat bahawa puisi-puisi SN Anwar Ridhwan ini memberikan suatu pengalaman batin, pencarian dan pengembaraan yang kita dapat rasa sendiri.

Selain itu, Zaen Kasturi juga turut menyentuh keunikan perkataan “tercipta” yang menandai kepengarangan SN Anwar Ridhwan dalam puisi.

Saya melihat ”tercipta’ itu merupakan suatu konsep yang dipegang oleh beliau. ‘Tercipta’ itu sudah terwujud dan diciptakan selain merupakan sesuatu yang baharu; memiliki dan menempati ruang sama ada dalam bentuk jasad/jisim atau roh.

Menurutnya lagi, puisi-puisi dalam kumpulan Tercipta dari Kala ini juga menawarkan suatu bentuk pengucapan batin yang bertitik tolak daripada sesuatu yang ‘tercipta’ (baharu) dalam perjalanan menuju ‘cahaya’, bukan bersandarkan logik akal dan evaluasi fikiran, namun berpaksi kepada logik eksistensi hakiki.

Pembaca boleh mendapatkan buku ini di sini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.